SOALAN
SAYA sedang hamil dan tinggal serumah dengan keluarga mertua. Adik ipar saya menghidap cacar air. Perlukah saya mengelak daripada mendekati orang yang menghidap cacar air? Apakah risikonya jika saya dijangkiti cacar air semasa hamil? Bagaimana saya boleh tahu sekiranya bayi saya telah dijangkiti? Jika saya tidak pernah menghidap cacar air, perlukah saya mengambil vaksin? Mohon doktor berikan penjelasan.
SAYA sedang hamil dan tinggal serumah dengan keluarga mertua. Adik ipar saya menghidap cacar air. Perlukah saya mengelak daripada mendekati orang yang menghidap cacar air? Apakah risikonya jika saya dijangkiti cacar air semasa hamil? Bagaimana saya boleh tahu sekiranya bayi saya telah dijangkiti? Jika saya tidak pernah menghidap cacar air, perlukah saya mengambil vaksin? Mohon doktor berikan penjelasan.
n Rokiah Terengganu
Jawapan
Cacar air (chicken pox) boleh menjadi lebih teruk jika anda
dijangkiti ketika sedang hamil, dan anda lebih berkemungkinan untuk
mengalami komplikasi yang berbahaya seperti radang paru-paru
(pneumonia). Oleh itu, penting bagi anda memaklumkan kepada doktor jika
anda mengalami masalah pernafasan atau simptom-simptom baru yang lain
semasa anda menghidap cacar air.
Doktor mungkin akan mencadangkan anda mengambil acyclovir, iaitu
rawatan antivirus yang mengurangkan simptom-simptom cacar air dan
memendekkan tempoh penyembuhan. Tetapi ini hanya boleh berlaku sekiranya
rawatan ini dimulakan dalam masa 24 jam daripada anda mula mendapat
ruam.
Jika usia kehamilan anda di bawah 20 minggu, doktor mungkin tidak
mengesyorkannya kerana terdapat risiko ubat tersebut boleh membahayakan
bayi dalam kandungan.
Menghidap cacar air semasa hamil tidak meningkatkan risiko keguguran
dalam trimester pertama, tetapi masalah mungkin berlaku jika virus ini
menjejaskan bayi anda semasa dalam kandungan atau semasa baru
dilahirkan. Masalah-masalahnya termasuklah kecacatan semasa lahir
seperti parut, masalah mata dan anggota badan yang pendek.
Risiko cacar air membahayakan bayi bergantung kepada masa anda
dijangkiti virus tersebut. Jika anda dijangkiti sebelum minggu ke-13,
risikonya sangat rendah, dengan hanya setengah peratus bayi menerima
kesan sampingannya. Pada minggu ke-13 dan ke-20, risikonya meningkat
sedikit hingga kurang sedikit daripada satu peratus bayi yang terjejas.
Pada minggu ke-20 dan ke-36 kehamilan, bayi anda berkemungkinan besar
tidak akan terjejas. Sebaliknya, dia mungkin akan mendapat kayap dalam
beberapa tahun pertamanya. Selepas minggu ke-36, risikonya meningkat
sekali lagi. Jika anda dijangkiti pada masa ini, maka bayi anda
mempunyai satu dalam dua kemungkinan turut dijangkiti, tetapi
simptom-simptomnya mungkin tidak muncul kerana pelalian dalam badan anda
telah disalurkan kepadanya. Jika anda mendapat cacar air tujuh hari
sebelum atau selepas melahirkan, bayi anda berada dalam risiko yang
serius kerana dia tidak akan menerima banyak antibodi daripada anda
untuk meningkatkan sistem imunnya.
Sekiranya anda termasuk dalam kes yang terakhir, bayi anda akan
diberi suntikan varicella-zoster immune globulin (VZIG) yang mengandungi
antibodi terhadap cacar air. Kira-kira separuh daripada bayi dalam
kategori ini akan mendapat cacar air tetapi VZIG akan melemahkan
simptom-simptomnya. Rawatan antiviral menggunakan acyclovir juga
merupakan satu pilihan bagi bayi-bayi baru lahir yang mendapat cacar
air.
Jika anda tidak pasti sama ada anda pernah mendapat cacar air sebelum
ini ataupun belum, doktor anda boleh menjalankan ujian darah untuk
memeriksa sekiranya anda mempunyai antibodi terhadap cacar air. Lebih
cepat ujian ini dilakukan selepas pendedahan terhadap virus ini, lebih
baik, kerana keputusan makmal mungkin mengambil masa di antara 24 hingga
48 jam.
Jika keputusannya menunjukkan bahawa anda tidak mempunyai antibodi
terhadap virus ini, doktor anda akan memantau kes anda dan mungkin
mencadangkan supaya anda mengambil suntikan VZIG untuk melindungi anda
dan bayi anda.
VZIG akan mengurangkan keterukan jangkitan, tetapi anda perlu
mengambilnya dalam masa 10 hari selepas dijangkiti untuk memastikan ia
berkesan. Jika anda masih mendapat ruam, maklumkan perkara ini kepada
doktor anda secepat mungkin.
Sekiranya, dalam masa tiga minggu atau lebih selepas mengambil VZIG,
anda bersentuhan sekali lagi dengan seseorang yang menghidap cacar air
atau kayap, anda mungkin perlukan satu lagi dos vaksin tersebut.