Sunday 14 July 2013

Elak penularan virus MERS


KAHERAH 13 Julai - Arab Saudi tidak akan mengeluarkan visa haji tahun ini kepada jemaah warga emas dan penghidap penyakit kronik dalam usaha mereka mencegah penularan virus Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) semasa musim haji yang akan datang.

Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan, Khalid al-Mirghalani kepada akhbar Arab News, syarat terbaharu itu akan digunapakai terhadap jemaah haji yang menunaikan rukun Islam kelima tersebut pada Oktober ini dan jemaah umrah selepas itu.

Bagaimanapun, pegawai itu tidak mendedahkan tentang had umur, namun menyatakan warga emas yang secara perubatannya tidak sihat untuk mengerjakan haji tidak akan dipertimbangkan untuk visa.
Khalid berkata, untuk itu, warga emas dan penghidap penyakit kronik dinasihat menangguhkan ibadat haji serta umrah.

Selain itu, Kementerian Kesihatan menerusi laman webnya turut menasihatkan individu yang mudah terdedah kepada penyakit seperti wanita hamil dan kanak-kanak supaya menangguhkan dua ibadat tersebut.

Sebanyak 38 orang maut setakat ini akibat virus menyamai Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) itu sejak September tahun lalu, menurut pihak berkuasa kesihatan. 

Virus tersebut buat pertama kalinya ditemui tahun lalu pada seorang lelaki di negara ini.
Ia dilaporkan menular dalam kalangan penduduk di Perancis, Jordan, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Jerman, Tunisia dan Britain. - DPA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.m

No comments:

Post a Comment