Wednesday 20 March 2013

Mengundang pelbagai penyakit


menonton televisyen sambil duduk di sofa dalam masa yang lama juga memberi kesan pada kesihatan kerana anda tidak melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam. - Gambar hiasan 
 
ADA ketikanya kesakitan itu hadir seumpama tikaman mata pisau. Ataupun rasa sengal yang berpanjangan atau berulang-ulang di bahagian belakang tubuh. Ia amat meresahkan kita, khususnya apabila bekerja dalam keadaan duduk yang lama.

Anda mungkin menganggap kerusi atau sofa yang anda duduk itu sebagai tempat berehat tetapi bertukar sebaliknya apabila anda berasa sakit, letih dan stres. 

Di pejabat, anda mungkin menghabiskan masa sehingga 10 jam duduk di hadapan komputer menyiapkan kerja. Itu belum lagi ditambah masa di dalam kereta jika tersangkut dalam kesesakan lalu lintas. 

Di rumah pula, anda akan menonton rancangan televisyen kesukaan untuk tempoh dua jam. Ada pula yang duduk membaca buku kegemaran berjam-jam. Bayangkan dalam sehari anda duduk hampir 15 jam.

Tahukah anda duduk terlalu lama bukan sahaja menyebabkan tulang belakang anda mengalami masalah tetapi boleh meningkatkan risiko kematian?

Kajian yang dilakukan American Journal of Epidemiology mendapati duduk terlalu lama boleh meningkatkan risiko sakit belakang, atritis, obesiti, kerosakan postur badan, tekanan darah rendah dan penyakit jantung.

Dalam pada itu, sekumpulan penyelidik Australia mendapati individu yang menghabiskan masa selama 11 jam dengan duduk boleh meningkatkan risiko kematian sehingga 15 peratus.

Secara puratanya, individu dewasa menghabiskan 90 peratus waktu lapang mereka dengan duduk dan kurang separuh memenuhi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya melakukan aktiviti fizikal sederhana selama sekurang-kurangnya 150 minit setiap minggu.

Mereka yang tidak aktif atau duduk terlalu lama boleh menggandakan risiko kematian awal dalam tempoh tiga tahun berbanding mereka yang kurang duduk .

Sakit belakangPakar Perunding Pembedahan Ortopedik Tulang Belakang Pusat Perubatan Pakar Sri Kota Klang, Dr. John Ooi Tzen Chuong memberitahu, sakit belakang adalah kesan yang selalu dihadapi oleh mereka yang duduk terlalu lama.

Tambah Dr. John, kebanyakan kes sakit belakang di Malaysia berpunca daripada kerja yang memerlukan duduk terlalu lama seperti pemandu teksi, lori dan bas.

"Kebanyakan golongan ini mengadu sakit belakang dan saya mendapati mereka bekerja dengan cara duduk (memandu) dalam tempoh yang terlalu lama," ujarnya.

Katanya, 90 peratus sakit tulang belakang berpunca daripada kecederaan pada otot rangka yang kronik disebabkan tabiat posisi, ergonomik dan biomekanik. 

Misalnya, sakit otot berpunca daripada postur duduk tidak betul dalam tempoh yang lama. Akibatnya, otot pada bahagian belakang berasa sakit disebabkan tekanan. 

Bagi mereka yang bekerja di pejabat, keadaan kerusi dan meja perlu sesuai iaitu jangan terlalu rendah dan tinggi.
Sebaik-baiknya, mereka yang bekerja di pejabat mengambil inisiatif seperti melakukan regangan atau berdiri setiap dua jam.

"Kita boleh melakukan senaman ringan untuk kelegaan otot khususnya bahagian belakang. Pekerja-pekerja juga perlu diberi meja dan kerusi yang sesuai dengan ketinggian mereka ketika duduk. 

Jika anda duduk terlalu rendah, tulang belakang akan membongkok, sebaliknya jika terlalu tinggi tulang belakang akan terlalu tegang. Sakit belakang yang teruk boleh membawa kepada masalah diska tergelincir," ujarnya.
sakit otot bahagian belakang berpunca daripada postur duduk tidak betul dalam tempoh yang lama. 
 
Diska tergelincir adalah satu masalah kecederaan pada tulang lembut atau diska yang juga dikenali sebagai diska intervertebral. 

Menurut Dr. John, masalah ini kerap berlaku pada peringkat umur 30 hingga 50 tahun dan mereka yang memandu lama (bekerja sebagai pemandu), perokok dan mereka yang obes.

Tambah beliau, bengkak pada diska akan menekan urat saraf di belakang. Keadaan menjadi lebih serius apabila ia pecah menyebabkan isinya atau nucleus polposus keluar dan menekan urat saraf. Ini menyebabkan sakit belakang teramat sangat apabila duduk lama.

Dr. John menjelaskan, rawatan sakit belakang termasuk masalah diska tergelincir bergantung kepada tahap kecederaannya seperti rehat sepenuhnya dengan berbaring untuk mengurangkan tekanan pada diska intervertebral.

Lain-lain termasuklah ubat-ubatan dan fisioterapi serta pembedahan untuk kes-kes yang teruk ataupun tidak pulih selepas dirawat.
Walaupun ada rawatan bagi sakit belakang, Dr. John menasihatkan agar orang ramai mengelak masalah ini dengan melakukan senaman, mendapatkan berat badan ideal dan berhenti merokok.

Obesiti dan penyakit lainKenapa dikatakan duduk terlalu lama dikaitkan dengan mereka yang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti? Keadaan ini disebabkan mereka yang duduk lama dikaitkan dengan mereka yang tidak aktif. 

Maknanya, tiada proses pembakaran lemak yang berlaku dan akan mengakibatkan peningkatan tahap kolesterol di dalam tubuh mereka.
Bayangkan selepas anda makan tengahari sama ada di rumah atau pejabat, anda akan berehat dengan duduk di hadapan televisyen atau menghadap semula komputer menghabiskan kerja.

Seperti yang diketahui umum, obesiti adalah punca penyakit lain seperti sakit jantung dan tekanan darah tinggi dan angin ahmar.
Oleh itu, Dr. John menggalakkan orang ramai mendapatkan berat badan ideal dengan melakukan senaman.

Katanya, masalah-masalah kesihatan akibat duduk terlalu lama boleh menyebabkan kurangnya produktiviti kerja kerana pekerja mula mengambil cuti sakit.

"Kadang-kadang kita tak dapat menghindar duduk terlalu lama kerana kerja kita memerlukan kita untuk duduk dalam kadar yang lama seperti pemandu bas ekspres atau lori, mahupun pekerja pejabat yang perlu menyiapkan tugasan yang banyak. Justeru, untuk mengurangkan risiko mendapat kesan sampingan, ambil peluang berehat seketika dan melakukan senaman kecil dengan menggerakkan sendi dan otot.

"Rasanya tidak ada masalah jika anda berehat atau bersenam lima hingga 10 minit," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tuesday 19 March 2013

Beruang ketagih hidu minyak

ARKIB : 19/03/2013

Seekor beruang perang Rusia menghidu bau minyak kerosin di Hutan Simpan Kronotsky, South Kamchatka di timur Rusia. - AGENSI 
 
SOUTH KAMCHATKA, Rusia 18 Mac - Seorang jurugambar Rusia, Igor Shpilenok berjaya 'membongkar' aktiviti sekumpulan beruang perang Rusia yang ketagih menghidu minyak kerosin dan gasolin.

Dia melakukan tugas itu selama tujuh bulan di Hutan Simpan Kronotsky, South Kamchatka di timur Rusia.

Beruang-beruang itu kelihatan gembira bermain dengan tong-tong minyak yang tidak digunakan lagi.

Shpilenok sempat memerhati gelagat mamalia tersebut menarik nafas panjang selama beberapa minit sebelum memasukkan hidung mereka ke dalam lubang tong itu dan kemudian 'khayal' dalam alam mereka sendiri.

Menurutnya, minyak itu digunakan bagi menghidupkan penjana dan juga helikopter yang digunakan oleh pekerja hutan simpan tersebut.

Jurugambar berusia 52 tahun itu berkata, sesetengah haiwan tersebut akan mengintai helikopter yang mendarat di kawasan itu bagi tujuan membuang minyak.

Sejurus helikopter itu beredar, beruang-beruang tersebut akan menghampiri kawasan itu dan mula menguis tanah untuk menghidu minyak yang telah dibuang itu.

"Dalam beberapa kes, terdapat helikopter yang membawa beberapa tong gasolin untuk ditinggalkan kepada pekerja hutan simpan di situ.

"Bagaimanapun, disebabkan pekerja taman itu tidak mengambil tong tersebut tepat pada masanya, seekor beruang betina yang diberi nama Suzemka, yang sudah ketagih dengan bau bahan itu, mengambil kesempatan untuk melakukan aktiviti kegemarannya," katanya.

Beruang perang Rusia dipercayai merupakan beruang perang paling besar di dunia dengan berat kira-kira 544 kilogram. - AGENSI

--- UTUSAN MALAYSIA

Monday 18 March 2013

Rokok elektronik berbahaya


ROKOK elektronik yang dianggap sebagai alat bantu berhenti merokok masih diragui kesahihannya. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan tidak memperakui rokok elektronik sebagai alat bantuan berhenti rokok dan tidak menggalakkan orang ramai untuk menggunakannya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, keberkesanannya sebagai alat bantuan berhenti merokok masih belum disahkan serta keselamatan cecair nikotin rokok elektronik juga diragui.

Menurutnya, kementerian telah menjalankan analisis terhadap beberapa jenama cecair rokok e-elektronik yang dijual di pasaran dan mendapati kesemua cecair tersebut mengandungi nikotin iaitu bahan racun yang dikawal di bawah Akta Racun 1952.

“Cecair rokok tersebut dikesan mengandungi bahan-bahan kimia berbahaya seperti Diethylene glycol yang beracun dan Nitrosamine yang boleh menyebabkan kanser.

“Pengambilan nikotin yang berlebihan juga boleh menyebabkan keracunan manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebelum ini pernah memberi amaran bahawa kemasukan nikotin terus ke dalam paru-paru berkemungkinan boleh menyebabkan kesan keracunan dan ketagihan yang lebih memudaratkan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tuesday 12 March 2013

Memilih Makanan Yang Selamat



   

Ditulis Oleh  Zamanhuri Umordin Friday, 12 August 2011 10:20

Mengapa memilih makanan yang selamat?

Memilih makanan yang selamat penting untuk mengelakkan keracunan makanan.
Bagaimana untuk memilih makanan yang selamat?
Pilih bahan mentah yang SEGAR:
  • Sayur-sayuran dan buah-buahan
  • Tidak layu, kecut, bertukar warna dan busuk
  • Ikan
  • Kulit yang bersinar dan berwarna terang dan tidak diselaputi oleh lendir yang tebal
  • Cerah dan matanya tidak tenggelam
  • Segar dan insangnya berwarna merah cerah (bukan perang atau kering)
  • Tidak berbau busuk
  • Isi yang kenyal
  • Udang
  • Tidak rosak, kulitnya lutsinar tanpa tompok-tompok hitam
  • Tidak berbau busuk
  • Daging
  • Segar dan tidak berselaput
  • Tidak busuk
  • Unggas
  • Segar
  • Tidak busuk dan tidak bertukar warna
  • Lihat kepada kegemukan di dada dan kelicinan kulitnya
  • Telur
  • Tidak retak atau bocor
  • Tidak terlalu tua atau terlampau banyak najis dan kotoran pada kulit telur
  • Bijirin/kekacang
  • Tidak berkulat
  • Tidak dicemari oleh serangga atau bahan asing
  • Tidak dicampur dengan bahan lain yang lebih murah
Pilih makanan yang SELAMAT:
  • Makanan dalam tin
  • Tin itu tidak kemek, kembung atau berkarat
  • Tudungnya tidak kembung
  • Tidak bocor
  • Belum tamat tarikh luput
  • Makanan yang dibungkus
  • Tidak bocor atau kotor
  • Tidak menggunakan bahan bercetak (majalah dan surat khabar) untuk membungkus.
Pilih makanan yang telah DIMASAK dengan SEMPURNA:
  • Daging yang telah dimasak dengan sempurna, berwarna perang di bahagian dalamnya
  • Ayam yang telah dimasak mempunyai jus yang berwarna jernih dan tidak berwarna merah jambu apabila dicucuk dengan garfu
  • Ikan yang telah dimasak mesti mudah dipisahkan isi dari tulang dan tidak berwarna merah jambu
  • Telur kuning dan putih tidak jernih atau lutsinar
Pilih makanan yang BARU DIMASAK:
  • Elakan dari memakan makanan yang disediakan terlalu awal dari masa untuk dimakan
  • Lebih baik untuk makan sebaik sahaja selepas dimasak
  • Panaskan dengan sempurna makanan yang telah dihidangkan untuk beberapa lama
Pilih makanan yang DISIMPAN dengan BETUL (lihat FAQ: Panduan Untuk Menyimpan Makanan Dengan Selamat)
  • Bahan mentah yang mudah busuk (daging, ayam dan ikan) sepatutnya disimpan pada suhu yang betul
  • Makanan yang telah dimasak tidak disimpan bersama dengan bahan mentah
  • Elakkan dari membiarkan makanan terhidang pada suhu bilik terlalu lama (lebih dari 4 jam)
  • Bungkus atau tutup makanan untuk disimpan
  • Makanan yang sedia untuk dimakan yang dipamerkan harus ditutup dengan sempurna
Pilih TEMPAT makan yang BERSIH:
  • Tidak terlalu hampir dengan jalan raya dan laluan yang sibuk
  • Jauh dari tempat ternakan haiwan, parit atau tangki septik
  • Ada keperluan asas seperti air yang bersih untuk membasuh, elektrik, tempat membuang sampah yang betul dan tandas yang bersih
  • Menyediakan tempat untuk membasuh tangan dan sabun
  • Menggunakan gelas dan pinggan yang bersih dan tidak pecah atau retak
  • Elakkan gerai jalanan yang tidak bersih
  • Tempat penyediaan makanan yang selamat dan bersih
  • Bebas dari haiwan seperti kucing, anjing, tikus, lalat, serangga, burung dan pepijat
  • Utamakan premis yang mempunyai pengesahan dari pihak berkuasa tempatan sebagai bersih dan selamat
Pilih premis makan yang mengutamakan KEBERISHAN DIRI dan PENGENDALIAN MAKANAN yang betul:
  • Memakai pakaian yang betul dan bersih
  • Memakai penutup kepala
  • Mengutamakan kebersihan diri (kuku yang bersih dan pendek), tidak merokok, meludah, batuk ke arah makanan, tidak menggunakan tangan untuk menyentuh makanan, menggunakan tuala yang bersih, tidak menjilat dan menggunakan jari untuk merasa
  • Tidak menyediakan makanan berhampiran dengan tandas atau longkang
  • Menggunakan tuala yang berbeza untuk mengeringkan tangan, mengelap meja dan peralatan
Kepada siapa aduan mengenai premis makanan yang kotor hendak diajukan?

Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri yang terdekat.

Thursday 7 March 2013

Kementerian Kesihatan Gesa Pengilang Makanan Dapat Sijil Kesihatan


KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Bagi memastikan tahap kebersihan dan keselamatan makanan terjamin, Kementerian Kesihatan menggesa pengilang makanan yang tidak melaksanakan apa-apa skim jaminan keselamatan makanan mendapatkan pensijilan Skim Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (Mesti) untuk produk mereka.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pensijilan ini juga secara tidak langsung boleh dijadikan sebagai alat penjenamaan kukuh bagi memberi keyakinan kepada pengguna tentang standard keselamatan dan kebersihan makanan serta melariskan jualan sama ada di pasaran tempatan ataupun antarabangsa.

"Bagi mencapai tujuan itu, skim ini menyediakan satu garis panduan kepada pengusaha Enterpris Kecil dan Sederhana (EKS) bagi memudahkan mereka mencapai syarat-syarat mendapatkan pensijilan itu di setiap produk makanan.

"Antara syarat-syarat asas yang perlu dipatuhi oleh pengilang makanan dalam memperoleh pensijilan ini adalah dari segi tahap kebersihan premis, peralatan serta kawalan proses makanan dan ia akan dipantau oleh pegawai kementerian," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Mesti di sini, Khamis.

Turut hadir Ketua Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Noraini Othman.

Liow berkata selain itu, skim ini juga menawarkan khidmat bimbingan teknikal kepada pengusaha EKS yang mematuhi keperluan peraturan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan serta membenarkan mereka menggunakan logo itu di atas produk mereka

Katanya, sejak skim ini dimulakan pada Julai 2012, sebanyak 337 enterpris makanan telah memperoleh pensijilan Mesti.

"Setakat ini sebanyak 15,000 EKS yang terlibat dalam bidang pemprosesan makanan di seluruh negara dan kami menyasarkan sebanyak 400 hingga 500 dapat memperolehi pensijilan itu pada tahun ini.

"Bagi mewujudkan skim Mesti, kami juga bekerjasama dengan pelbagai agensi antaranya Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Group), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan pihak swasta," katanya.

Katanya, buat masa ini pihak kementerian masih dalam proses memantau keberkesanan skim ini kepada pengilang makanan sebelum mewajibkan pensijilan ini adalah perlu untuk semua produk makanan.

Sementara itu, pada sidang media selepas pelancaran, Liow berkata pihaknya telah menghantar bekalan ubatan serta darah yang mencukupi ke Sabah bagi memberi perkhidmatan kesihatan kepada anggota keselamatan yang terlibat dalam Op Daulat.

"Setakat ini, kami telah menghantar bantuan sebanyak RM4 juta kepada tiga hospital di negeri itu iaitu di Sandakan, Lahad Datu dan Semporna bagi menampung keperluan mereka dari segi ubatan dan peralatan," katanya.

-- BERNAMA