Soalan
SEJAK kebelakangan ini saya kerap mengalami
masalah sembelit. Untuk pengetahuan doktor, saya sedang hamil anak
pertama. Mengapakah saya sering mengalami masalah tersebut? Apakah yang
boleh saya lakukan untuk mengatasi masalah tersebut ?Adakah sembelit
semasa hamil boleh menjadi masalah yang serius? Mohon bantuan.Terima
kasih.
* Amalin, Selangor
Jawapan
Sembelit ialah masalah biasa semasa hamil. Kira-kira 30 hingga 40
peratus wanita hamil mengalami sembelit. Ini diakibatkan perubahan
hormon semasa hamil yang memperlahankan pergerakan makanan melalui salur
penghadaman anda. Tekanan oleh rahim yang semakin membesar ke atas
rektum juga boleh mengakibatkan sembelit. Sesetengah pil zat besi juga
boleh membuatkan sembelit menjadi lebih teruk.
Pertama, perhatikan bila dan bagaimana anda pergi ke tandas. Biasakan
diri pergi ke tandas pada kali pertama anda rasa mahu membuang air
besar. Waktu awal pagi atau kira-kira satu jam selepas waktu makan
adalah masa-masa yang sesuai untuk anda cuba ke tandas. Cuba ambil masa
lebih sedikit untuk bersendirian, walaupun ini agak sukar jika anda
mempunyai anak-anak lain untuk dijaga.
Kaedah-kaedah lain juga boleh membantu. Anda perlu mengawasi diet
anda. Pastikan anda minum air secukupnya dan melakukan senaman secara
tetap. Perlu makan makanan berserat tinggi seperti bijirin bijian penuh,
roti bijian penuh dan buah-buahan serta sayur-sayuran segar setiap
hari.
Anda juga dinasihatkan minum banyak air atau jus buah-buahan dan
sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. Jus prun juga boleh membantu.
Lakukan aktiviti seperti biasa. Bersenam seperti berjalan, berenang
dan menunggang basikal senaman, kerana kesemuanya boleh membantu
mengurangkan sembelit, dan membuatkan anda berasa lebih cergas dan
sihat. Suplemen pranatal yang mengandungi zat besi juga boleh
menyebabkan sembelit. Tanyalah doktor jika ada pilihan lain.
Jangan ambil ubat-ubatan berbentuk julap yang boleh didapati di
pasaran tanpa mendapat nasihat daripada doktor anda terlebih dahulu.
Jika perubahan pada diet dan gaya hidup tidak membantu, mungkin doktor
anda boleh memberi ubat yang selamat diambil semasa hamil.
Sembelit bukanlah satu masalah besar bagi kebanyakan wanita hamil,
tetapi jika berlarutan, maklumkan kepada doktor anda. Kadang-kala,
sembelit yang berpanjangan boleh menyebabkan buasir. Ini boleh jadi
menyakitkan, gatal dan tidak selesa. Ada juga yang mengalami pendarahan
semasa membuang air besar. Buasir biasanya reda sendiri tidak lama
selepas bersalin.
No comments:
Post a Comment