Friday 27 July 2012

Gerai ditutup: 38 orang keracunan makanan

27/07/2012 7:12pm

PORT DICKSON – Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan mengarahkan sebuah gerai bazar Ramadan di Pasir Panjang dekat sini supaya ditutup selama dua minggu mulai hari ini ekoran kejadian 38 orang mengalami sakit perut, cirit-birit dan muntah dipercayai keracunan makanan malam tadi.

Pengarahnya, Datuk Dr Zailan Adnan berkata, bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap gerai bazar Ramadan berkenaan bagi mengenal pasti punca kejadian itu.

"Ia melibatkan 33 pelajar perempuan sebuah kolej, seorang kakitangan kolej dan empat orang awam termasuk dua kanak-kanak.

"Dua belas daripada mereka dimasukkan ke Hospital Port Dickson, manakala selebihnya mendapat rawatan sebagai pesakit luar hospital yang sama. Ini adalah kes pertama yang berlaku melibatkan bazar Ramadan di negeri ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, kesemua mereka mengalami sakit perut, cirit-birit dan muntah dipercayai keracunan makanan ketika berbuka puasa di gerai berkenaan petang semalam. – BERNAMA

--- KOSMO

Thursday 19 July 2012

97 murid sekolah rendah di Jitra keracunan makanan



19 Julai 2012
JITRA - Seramai 97 murid sebuah sekolah rendah di sini mengalami keracunan makanan dipercayai selepas minum susu kotak pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi setelah kesemua murid terbabit mengadu sakit perut dan muntah selepas 10 minit minum susu tersebut.

Sebanyak 40 murid terpaksa dikejarkan ke Hospital Jitra oleh pihak sekolah bagi mendapatkan rawatan lanjut selepas keadaan mereka bertambah teruk.

Bagaimanapun, kesemua mereka dibenarkan pulang kira-kira pukul 2 petang selepas keadaan mereka dilaporkan stabil.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Ismail Abu Taat berkata berdasarkan pemeriksaan awal, susu tersebut baru tiba di sekolah berkenaan dan tidak disimpan di dalam setor.

Beliau berkata pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian yang menimpa pelajar sekolah tersebut. - Bernama

--- SINAR HARIAN

Monday 16 July 2012

72 pelajar sekolah menengah agama keracunan makanan



16 Julai 2012
SEREMBAN - Lebih 70 pelajar di sebuah sekolah menengah agama di sini mengalami keracunan makanan dengan 15 terpaksa mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) hari ini.

Bernama difahamkan kejadian sejak tengah malam tadi itu membabitkan pelajar tingkatan tiga dan lima yang tinggal di asrama sekolah berkenaan selepas menikmati hidangan di dewan makan asrama.

Pegawai Perhubungan Awam HTSJ Lathifah Abdul Hamid berkata 15 pelajar terbabit mendapatkan rawatan di hospital berkenaan kira-kira pukul 9.15 pagi sebelum dibenar pulang.

"Daripada maklumat yang kita terima seramai 72 pelajar di sekolah berkenaan mengalami sakit perut dan cirit-birit disyaki akibat keracunan makanan.

Semua pelajar terbabit telah diberikan rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata HTSJ telah menghantar sepasukan pegawai perubatan ke sekolah berkenaan bagi menyiasat kejadian.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Ismail bin Taib berkata pihaknya akan menyiasat perkara itu dan tindakan akan diambil jika didapati pengusaha makanan tersebut bersalah.

Beliau turut mengingatkan pengusaha makanan dan pengusaha kantin sekolah di negeri ini agar menitikberatkan kebersihan makanan bagi mengelak kejadian keracunan makanan.

Dalam pada itu, beberapa pelajar terbabit ketika ditemui Bernama berkata mereka mengalami sakit perut serta pening sejak malam tadi selepas menikmati hidangan di dewan makan.

Nor Syahira Mohd Shah, 16, berkata dia mula mengalami sakit perut sejak malam tadi sehingga menyebabkannya muntah dan tidak boleh tidur.

"Saya mula perasan perut saya kurang selesa selepas solat Isyak, tapi saya ingatkan pada masa itu hanya sakit perut biasa sahaja.

"Tapi sehingga lewat malam perut saya semakin sakit dan saya mula cirit birit dan muntah. Menjelang pagi saya dapati rakan sebilik saya juga turut mengalami keadaan sama sebelum saya melaporkan kepada warden asrama," katanya.

Seorang lagi pelajar, Atiqah Mohd Rafi, 13, pula berkata dia turut mengalami simptom yang sama dengan rakan-rakannya malam tadi dan terpaksa berulang-alik ke tandas selain mengalami muntah-muntah.

Bagaimanapun pihak sekolah ketika dihubungi enggan memberi sebarang komen. - Bernama

--- SINAR HARIAN

Monday 9 July 2012

Kementerian sudah ambil sampel makanan


Semalam terdapat laporan menyatakan seramai 12 pemain hoki wanita Johor disyaki keracunan makanan dengan dua daripadanya dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut.
“Saya mengesahkan Kementerian Kesihatan sudah mengambil sampel makanan itu tapi hasil ujian akan diperoleh dalam tempoh empat atau lima hari lagi.

“Apapun, kami di MSN (Majlis Sukan Negara) sudah membuat pemantauan rapi. Semua pihak tidak perlu risau kerana keadaan terkawal,” kata Pengarah Bahagian Pengurusan Acara MSN, Datuk Abdul Jalil Abdullah.

Berdasarkan laporan, barisan pemain hoki itu yang tinggal di perkampungan sukan universiti Malaysia Pahang (UMP) mengalami keracunan makanan selepas makan malam Khamis lalu.

Ia adalah kes pertama membabitkan keracunan makanan pada temasya sukan yang memasuki edisi ke-15 ini.

Akibat insiden itu, Johor yang sepatutnya turun pada perlawanan pertama bertemu Melaka pada pagi semalam, meminta menukar perlawanan mereka pada sebelah malam.

--- HARIAN METRO

Sunday 8 July 2012

30 sakit penangan bihun goreng

SUNGAI SIPUT: Hasrat 30 pelajar sebuah sekolah menengah, di sini, meneruskan kem motivasi di sekolah terbantut selepas mengadu muntah, loya, sakit perut dan cirit birit gara-gara ‘penangan’ bihun goreng dan teh tarik yang diambil sebagai sarapan.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi semalam, pelajar tingkatan tiga, lima dan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Muda Abdul Aziz itu menjamu makanan berkenaan sebelum bergegas ke tandas selepas mengadu sakit perut yang teruk.

Difahamkan, makanan dan minuman itu disediakan katering yang ditempah di luar sekolah sebagai sarapan pagi untuk pelajar sempena program motivasi dianjurkan di dewan sekolah.
Sementara itu, lebih 100 pelajar lain yang kebanyakannya bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tidak mengalami keracunan kerana tidak menjamah sarapan pagi.

Berikutan kejadian itu, pelajar yang keracunan diasingkan oleh pihak pentadbiran sekolah sebelum ditempatkan di pusat sumber sekolah untuk rawatan awal.

Seorang pelajar tingkatan lima yang enggan dikenali berkata, dia mula berasa sakit perut jam 10 pagi sebelum ke tandas ketika program berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/08


--- HARIAN METRO