Monday 18 October 2010

Melioidosis penyakit 100 tahun lalu kembali ancam negara

Oleh Prof Dr Rahmah Mohamed
2010/10/18
SEJENIS penyakit yang boleh mengancam nyawa dikesan di Kuala Lumpur hampir 100 tahun lalu dan berlaku sekali sekala hingga 1932, kini kembali menghantui kita. Rakyat Malaysia jelas terkeliru dengan kemunculan penyakit itu bulan lalu.

Penyakit ini dikenali sebagai melioidosis. Ramai tertanya-tanya apakah melioidosis? Bagaimana penyakit itu muncul dan merebak di Malaysia baru-baru ini, tidak diketahui sepenuhnya. Hakikatnya, ia memberi cabaran kepada kesihatan negara. Paling tidak, ia harus mencetuskan keazaman politik untuk menyekatnya merebak melalui diagnosis, rawatan dan pengurusan lebih baik. Kesedaran orang ramai terhadap penyakit itu perlu ditingkatkan.

Sistem kesihatan awam pula perlu dibangunkan dan mendapat sokongan baik dari segi teknikal mahu pun keperluan kakitangan untuk mengesan dan menyekat penyakit yang mengancam ini daripada terus merebak.

Tentu pembiayaan untuk membolehkan penyelidikan berterusan oleh saintis harus ditambah dan diperluaskan kepada aspek strategik mengenainya supaya ia dapat ditangani dengan lebih baik.

Penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) sedang mengkaji penyakit itu dari segi genetik melalui faktor yang ditentukan bahan dalam genomnya. Di Universiti Malaya, satu lagi kumpulan mengkaji manifestasi klinikal melioidosis bagi meningkatkan diagnosis, rawatan, pencegahan dan mengurangkan kematian.

Penyakit itu dikesan di Yangon, Myanmar pada 1912 mengorbankan 38 orang akibat radang paru-paru di kalangan penagih morfin dan rakyat miskin. Pada 1913, penyakit sama berlaku kepada penagih dadah dikesan dalam makmal haiwan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur. Ia diikuti satu lagi laporan jangkitan pada 1917 dari Kuala Lumpur menyebabkan kertas laporan ringkas mengenai penyakit itu dibuka dan kejadian sekali sekala dilaporkan di Malaya sehingga 1932.

Penyelidikan terhadap penyakit yang tidak banyak diketahui itu sekali lagi diaktifkan di Malaysia pada 1960-an oleh saintis, pelajar institut penyelidikan dan UKM. Penyakit B pseudomallei yang merebak dari manusia ke manusia juga dilaporkan berlaku ketika itu.

Penyakit melioidosis tidak perlu dilaporkan menyebabkan orang ramai dan kakitangan kerajaan termasuk pakar perubatan tidak mengenalinya. Kumannya boleh merebak melalui beberapa cara termasuk sedutan, makan atau suntikan menerusi luka pada kulit dari tanah tercemar.

Penyelidik kita banyak memberi pemahaman lebih baik mengenai melioidosis. Ahli akademik dan pelajar universiti juga menyelongkar penyakit itu dari pelbagai peringkat siasatan saintifik termasuk asas mikrobiologi, asal-usul dan perkembangan, pertahanan diri dan kajian punca penyakit.

Kumpulan penyelidik di UKM memulakan siasatan terhadap asal-usul dan perkembangan melioidosis seawal 1977 di kampus sementara di Jalan Pantai, Kuala Lumpur. Ini membawa kepada pemahaman mengenai bagaimana kuman itu menyebabkan penyakit pada peringkat molekul. Melioidosis ialah penyakit lama di rantau tropika. Hari ini ia sudah merebak ke kawasan jarang berlaku akibat mudahnya perjalanan antarabangsa.

Saintis di Malaysia sudah lama menyedari butiran mengenai melioidosis dan adalah penting kerana ia mengancam nyawa. Jika tidak dirawat, pesakit boleh maut. Walaupun kuman menyebabkan penyakit itu menyerang ternakan dan binatang, betapa ia semakin banyak menyerang manusia menarik perhatian sejak akhir-akhir ini.

Ia didapati merebak di Asia Tenggara dengan kebanyakan jangkitan terhadap manusia di Thailand, Malaysia, Vietnam, Kemboja, Laos dan Myanmar. Di Thailand 2,000 hingga 3,000 kes baru dirawat setiap tahun. Di Malaysia, pendedahan kepada B pseudomallei adalah tinggi menurut penyelidikan serologi; 17-22 peratus di kalangan pesawah dan 26 peratus penderma darah.

Kuman B pseudomallei adalah penghuni asal tanah dan air di kawasan tropika dan berada di kawasan basah atau lembap seperti bendang, ladang getah dan tali air.

Kegiatan meneroka hutan dan pembangunan kawasan tanaman mengganggu tanah dan menggalakkan pengeluaran kuman ini. Kewujudan penyakit baru adalah ancaman getir di Dunia Ketiga. Sejak 20 tahun lalu, sejumlah penyakit lama muncul kembali termasuk batuk kering, malaria, taun, sakit kerongkong dan radang paru-paru.

Dalam pada itu muncul penyakit baru yang sesetengahnya belum ada vaksin melawannya. Contoh paling dramatik adalah AIDS yang muncul 35 tahun lalu dan menjangkiti 24 juta orang di seluruh dunia.

Sumber Portal Berita UKM dan diterjemahkan Abdul Ghani Nasir. Penulis ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UKM dan penyelidik melioidosis.
 
 
--- BERITA HARIAN