Monday 29 July 2013

Berhenti rokok di bulan Ramadan


Merokok dengan banyak dan mendadak sebaik sahaja berbuka puasa boleh memberikan kesan negatif kerana tahap nikotina yang naik mendadak. - Gambar hiasan
 
PEROKOK tegar pasti akan terus menyalakan rokoknya sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang ketika bulan puasa. 

Bagi mereka, menahan lapar dan dahaga tidak memberi kesan seperti berpuasa rokok.
Malah senario perokok menghabiskan bilangan batang rokok yang lebih banyak daripada hari biasa sewaktu iftar merupakan perkara biasa dek ketagihan. 

Menurut pakar di sebuah hospital di Emiriah Arab Bersatu (UEA), merokok sebaik sahaja berbuka puasa dikatakan boleh membawa maut. 

Menurutnya, merokok amat merbahaya buat orang yang berpuasa kerana badan mereka dalam keadaan memerlukan air dan tenaga setelah seharian suntuk berpuasa. 

Badan memerlukan cecair, glukosa dam oksigen ketika waktu berbuka puasa dan merokok dikatakan boleh menyebabkan pengecutan salur darah lalu menghalang pengaliran oksigen.

Malah, beliau mendakwa merokok dalam keadaan berlapar boleh menyebabkan darah memekat lalu menyebabkan pelbagai komplikasi lain seperti arteri tersumbat dan darah tinggi. 

Menurut Pakar Perubatan Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. Abdul Malik Jamal Buhari, merokok merbahaya dan membawa maut untuk jangka masa yang panjang tetapi menafikan tindakan merokok sebaik sahaja berbuka boleh membawa maut. 

“Bagaimanapun, merokok dengan banyak dan mendadak sebaik sahaja berbuka puasa boleh memberikan kesan negatif kerana tahap nikotina yang naik mendadak. 

“Mereka akan berasa resah dan sukar tidur malah berdebar-debar akibat nikotina yang naik mendadak.
“Walaupun ia tidak membawa maut, tetapi ia membuatkan perokok berasa tidak selesa dan sukar melakukan sesuatu pekerjaan.

“Bulan Ramadan boleh dijadikan waktu yang paling sesuai untuk berhenti daripada merokok," ujarnya ketika ditemui di Pusat Perubatan Kelana Jaya, baru-baru ini.
Kesan

Tegas, Dr. Abdul Malik, walaupun merokok sebaik sahaja waktu berbuka puasa tidak memberikan kesan buruk yang nyata ketika itu, merokok itu sendiri suatu perbuatan yang amat bahaya kepada kesihatan. 

“Nikotina hanya menyebabkan ketagihan, tetapi beratus-ratus kandungan bahan kimia beracun lain di dalam sebatang rokok yang memberi pelbagai kesan negatif kepada badan. 

“Antara kesan buruk akibat merokok ialah kerosakan paru-paru dan pelbagai jenis kanser membawa maut seperti kanser tekak, perut, esofagus dan pundi kencing. 

“Kanser paru-paru mula sering kelihatan sekitar 1990-an, sama waktu rokok mula menular," ujarnya. 

Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di ‘kamar gas maut’ bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. 

Jelasnya lagi, asap rokok turut memberi kesan buruk kepada orang sekeliling. 

Menurut Dr. Abdul Malik, asap yang dikeluarkan lagi bahaya daripada daripada yang disedut perokok kerana ia sudah bergabung dengan udara sekeliling dan membentuk reaksi kimia yang lebih bahaya. 

“Sebab itu kini ramai wanita menghidap kanser paru-paru walaupun dia tidak merokok kerana asap rokok daripada suami merupakan antara puncanya," kata beliau.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment