Monday 15 July 2013

34 syarikat diberi permit import

Oleh ALI MAHMOOD

Ismail Sabri Yaakob menyampaikan sumbangan dan zakat Ahli Parlimen Bera kepada salah seorang penerima di Felda Tembangau 1, Bera, Pahang, kelmarin. 
 
BERA 15 Julai - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi permit import kepada 34 syarikat bagi mengimport ayam daripada beberapa negara pengeluar seperti China, Thailand, Australia dan negara Kesatuan Eropah (EU) berkuat kuasa serta merta.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan membawa masuk ayam dari negara berkenaan dijangka dapat menstabilkan semula harga ayam di pasaran yang ketika ini mencecah RM10 sekilogram.

Menurut beliau, pengimport juga diingatkan perlu mematuhi peraturan dan syarat tertentu seperti memperoleh sijil halal Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan sijil kesihatan daripada Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata, kebenaran mengimport ayam dari negara berkenaan hanyalah dalam bentuk ayam bulat dan ayam dipotong pada bahagian tertentu.

"Pengimport terbabit tidak boleh import dari mana-mana negara yang mereka suka tetapi mesti ayam dari pusat penyembelihan yang diiktiraf Jakim sahaja dan itu kita benarkan. 

"Langkah itu dibuat kerana bimbang akan timbul isu halal dan sebagainya serta sijil kesihatan juga mereka perlu peroleh memandangkan ia adalah perkara yang wajibkan.

"Kementerian tidak mempunyai halangan untuk memberi kebenaran kepada pihak berkenaan membawa masuk ayam dari negara-negara disenaraikan tadi kerana ingin membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menstabilkan semula harga ayam di pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan dan zakat Ahli Parlimen Bera kepada 524 peneroka dari gugusan Felda Tembangau di Felda Tembangau 1, di sini semalam. 

Ismail Sabri berharap pengimport tersebut dapat membawa masuk antara 2.2 juta sehingga 2.4 juta ayam sehari yang bukan sahaja menstabilkan semula harga haiwan itu di pasaran tetapi memenuhi keperluan umat Islam sepanjang Ramadan sehingga menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.

Ismail Sabri juga menafikan pandangan Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Shaani Abdullah kononnya permintaan terhadap ayam pada Ramadan menurun.

"Sebenarnya permintaan terhadap ayam memang meningkat daripada 1.4 juta sehari kepada 2.2 juta sehari. Walaupun umat Islam berpuasa tetapi mereka makan ayam dua kali sehari seperti hari-hari biasa iaitu pada waktu berbuka puasa dan bersahur," katanya.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Ismail Sabri mengakui kenaikan mendadak harga ayam di pasaran turut berpunca kenaikan harga makanan ayam serta kos sampingan lain.
Menurutnya, Malaysia mengimport sepenuhnya makanan ternakan, namun kini -negara pengeluar seperti Australia dan Thailand mengalami masalah kekurangan sumber bekalan seperti jagung dan kacang soya.

"Sehubungan itu, masalah ini meningkatkan kos pengeluaran dan harga ayam di pasaran kerana 70 peratus daripadanya hanya untuk kos makanan ternakan sahaja," katanya.

Menurut Ismail Sabri, negara tidak mengeluarkan makanan ternakan sendiri dan kebergantungan sepenuhnya daripada sumber import sudah tentu memberi kesan kepada harga di pasaran tempatan sekiranya masalah sama berulang.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment