Monday 15 July 2013

Hormon kehamilan punca penyakit gusi


SAYA sedang hamil. Saya perasan gusi saya mudah berdarah apabila saya memberus gigi. Adakah ini normal? Apakah yang boleh saya lakukan untuk menghentikan pendarahan? Bolehkah gusi berdarah menyebabkan masalah lain? Jika saya mengalami penyakit gusi, adakah ini akan menjejaskan kesihatan bayi saya? Bilakah saya harus berjumpa doktor gigi? Ryna, Johor

Jawapan

Kebanyakan daripada kita pasti akan mengalami gusi berdarah dan gigi sensitif (gingivitis) pada satu ketika dalam hidup, tetapi perkara ini lebih kerap berlaku jika anda hamil. Hormon-hormon kehamilan boleh membuatkan gusi anda bengkak. Ini bermakna ia lebih mudah dan lebih kerap berdarah, terutamanya apabila anda memberus gigi atau memflos gigi anda. 

Tindakan
Saya agak anda mungkin akan cuba mengelak daripada melakukan apa-apa yang akan membuatkan gusi anda berdarah. Namun penting bagi anda untuk memberus gigi dengan kerap. Gunakanlah berus yang lembut jika gusi anda bengkak dan sensitif. Ketika memflos pula, buatlah dengan perlahan-lahan.

Plak (lapisan air liur, bakteria dan sisa makanan yang menyaluti gigi antara waktu memberus gigi) boleh membuat gusi anda lebih mudah berdarah. Anda boleh mengurangkan jumlah plak yang terbentuk pada gigi anda melalui
i. Memberus gigi anda selama dua minit, sekali pada waktu pagi dan sekali lagi sebelum tidur pada waktu malam, dengan menggunakan ubat gigi berfluorida
ii. Menggunakan berus gigi elektrik. Berus elektrik lebih berkesan menghilangkan plak dan mengurangkan bengkak gusi berbanding berus gigi biasa
iii. Membersihkan celah-celah gigi anda sekurang-kurangnya tiga kali seminggu untuk mengeluarkan plak dan sisa makanan. Anda boleh gunakan flos atau berus mini (interdental brushes)
iv. Berjumpa doktor gigi dengan kerap
v. Hentikan merokok. Merokok boleh membuatkan penyakit gusi semakin teruk. Ketahui bagaimana cara untuk berhenti merokok semasa hamil dan
vi. Tanyalah doktor atau doktor gigi mengenai pengkumur mulut yang selamat digunakan semasa hamil. 

Menjejaskan kesihatan bayi?
Jika anda mengalami penyakit gusi, ia tidak akan menjejaskan kesihatan bayi secara langsung. Tetapi ini bermakna, kesihatan anda secara umumnya tidak sebaik seperti sepatutnya. Jika anda rasa sukar untuk mengekalkan kesihatan yang baik, ini boleh menjejaskan perkembangan bayi anda.
Atas sebab inilah sesetengah pakar percaya bahawa terdapat kaitan di antara periodontitis dengan kelahiran bayi pramatang, bayi yang kecil atau terbantut semasa dilahirkan dan komplikasi kehamilan yang lain. 

Apa yang kita tahu ialah jika seorang bakal ibu itu tidak memperolehi makanan yang sihat dan dalam keadaan tertekan, beliau berisiko lebih tinggi melahirkan bayi pramatang. 

Jika gusi anda berdarah dan bengkak, jumpalah doktor gigi dengan segera. Gigi anda boleh dibersihkan dan digilap sebagai salah satu rawatan bagi gusi bengkak. Ambillah peluang ini dan luangkan sedikit masa untuk berbincang dengan doktor gigi mengenai cara terbaik untuk menjaga gigi anda. Jangan lupa memaklumkan doktor gigi bahawa anda sedang hamil supaya anda tidak perlu melakukan X-ray, kecuali jika terdesak dan sangat memerlukannya. Tiada masalah jika anda perlu diberikan bius setempat di bahagian mulut untuk rawatan gigi semasa anda hamil.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment