Monday 8 October 2012

Awas rokok tidak sah


Bahdin
8 Oktober 2012
KUANTAN - Usaha mencegah aktiviti penyeludupan rokok dan menangkap dalang di sebalik kegiatan itu bukan hanya tanggungjawab Jabatan Kastam sahaja, sebaliknya meliputi semua golongan masyarakat untuk sama-sama membanteras gejala ini.

Pengarah Kastam Pahang, Sarip Ismail berkata, kegiatan penyeludupan rokok tidak sah merupakan salah satu daripada aktiviti jenayah yang terancang di mana akhirnya akan menjejaskan ekonomi negara.

Menurutnya, akibat daripada kegiatan penyeludupan ini, perolehan hasil negara akan terhad seterusnya mengakibatkan pengurangan perbelanjaan ke atas aktiviti kebajikan, pembangunan, pendidikan, kesihatan dan juga sosial.

“Bukan sahaja pembangunan negara terjejas, malah jika kegiatan ini terus menular, tahap kesihatan tidak terjaga yang mana akan mengancam segala aspek kehidupan kita.

“Bagi menangani aktiviti penyeludupan rokok ini, bermula 1 Mei 200, Kastam telah membuat satu pendekatan baru dengan mengarahkan semua pengilang dan pengimport rokok menggunakan tanda dakwat keselamatan (MY) atau Setem Cukai Kastam Diraja Malaysia pada setiap kotak rokok bagi mengenal pasti rokok yang telah dibayar cukai ataupun tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena dengan Kempen Mencegah Penyeludupan 2012 di Felda Bukit Goh di sini.

Hadir merasmikan majlis, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah.

Selain itu, Sarip menjelaskan mulai 1 Jun 2009, semua rokok-rokok yang dipasarkan di Malaysia sama ada import ataupun keluaran tempatan perlu mematuhi spesifikasi standard kotak rokok yang baru.

Di samping itu juga, berkuat kuasa 1 Januari 2010, Kementerian Kesihatan telah menguatkuasakan Peraturan Harga Minimum Rokok di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (pindaan) (nombor 2) 2009 yang mana rokok akan dijual minimum RM7 bagi 20 batang.

“Peraturan ini akan membawa tindakan segera ke atas mereka yang menjual rokok-rokok seludup dengan harga kebiasaannya sekitar RM1.50 hingga RM3.80 sekotak.

“Bagi mereka yang didapati memiliki, mengedar, menyimpan, menjual, melindungi atau menyembunyikan rokok-rokok seludup ini adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan boleh dikenakan denda, penjara ataupun kedua-duanya sekali,” katanya.

--- SINAR HARIAN