Friday 29 April 2011

8 pelajar keracunan

Oleh Yusmawati Mhd Yusof & Mohd Zaidi Ya’acob

MELAKA: Seramai lapan pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Malim, dekat sini, terpaksa dikejarkan ke Hospital Melaka (HM) apabila mengadu sakit perut dipercayai keracunan makanan selepas menikmati hidangan nasi goreng dan kentang pada waktu rehat di kantin sekolah, pagi semalam.

Semua mereka dibawa dengan tiga ambulans dan dimasukkan ke unit kecemasan bagi pemeriksaan sebaik tiba di hospital dengan ditemani guru.

Menurut seorang ibu pelajar berkenaan yang enggan dikenali, dia dimaklumkan pihak sekolah berhubung kejadian itu melalui panggilan telefon yang menyatakan dua anak perempuannya dibawa ke HM kerana disyaki keracunan makanan.

“Pihak sekolah menelefon saya kira-kira jam 12 tengah hari tadi (semalam) mengatakan anak saya mengadu sakit perut dan disyaki keracunan makanan selepas makan nasi goreng di kantin sekolah pada jam 10 pagi.

“Sebelum ini anak saya beberapa kali mengadu mengenai makanan di kantin sekolah yang kurang memuaskan,” katanya yang ditemui di HM, semalam.

Seorang pelajar yang ditemui mendakwa selain nasi goreng, makanan lain seperti kentang goreng yang dijual operator kantin kelihatan berlendir dan lembap ketika dibeli.
“Saya sakit perut selepas makan makanan itu,” katanya.

Tinjauan Harian Metro kira-kira jam 2 petang di bahagian Farmasi Klinik Pakar Hospital Melaka mendapati beberapa pelajar sedang mendapatkan ubat.
Bagaimanapun, usaha menemubual pelajar sukar kerana dihalang beberapa guru manakala ibu bapa pelajar yang ditemui juga enggan mengulas lanjut dipercayai atas arahan sekolah.

Bagaimanapun, semua pelajar meninggalkan perkarangan hospital selepas kira-kira dua jam kemudian.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Belia dan Sukan negeri, Datuk Gan Tian Loo berkata beliau akan meminta Jabatan Pelajaran Negeri dan Jabatan Kesihatan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/04/29

--- HARIAN METRO