BAGI pengacara dan selebriti tempatan, Sasha Bashir,
pengalaman menghidap demam denggi lima tahun lalu mengubah persepsinya
tentang penyakit tersebut. Personaliti televisyen itu juga terlantar di
hospital selama lima hari kerana penyakit yang mengancam nyawa itu.
"Sebelum itu hanya demam biasa. Namun saya langsung tidak mengalami
gejala demam denggi seperti loya, muntah atau sakit sendi. Saya
mengesyaki ini hanya perkara biasa," ujarnya ketika berkongsi pengalaman
menghidap demam denggi anjuran SC Johnson dengan kerjasama Kementerian
Kesihatan sempena Hari Denggi ASEAN, di Petaling Jaya, Selangor,
baru-baru ini.
Seterusnya Sasha memberitahu, dia berkunjung ke klinik mendapatkan
ubat bagi melegakan demam, namun suhu badan tetap tidak surut.
"Doktor ada mengingatkan saya, jika demam tidak baik dalam masa tiga
hari, saya perlu datang semula ke klinik untuk pemeriksaan susulan.
"Selepas itu, saya dapati suhu panas badan masih tidak turun. Wajah saya juga menjadi pucat.
"Saya segera memberitahu suami dan dia terus menghantar ke klinik
yang akhirnya menyuruh saya merujuk ke hospital kerana suhu badan yang
panas," kata Sasha.
Ketika di hospital, dia terus dimasukkan ke wad kecemasan selama setengah jam untuk membuat ujian darah.
Setelah disahkan menghidap demam denggi, dia dimasukkan ke wad selama lima hari.
Pada mulanya, Sasha mengakui agak keliru apabila disahkan menghidap demam denggi.
Bagi Sasha, pengalaman menghidap denggi itu menyebabkan dia trauma apabila melihat nyamuk berterbangan.
Selepas dua tahun, suaminya pula disahkan menghidap demam denggi.
"Saya sangat takut ketika itu namun bersyukur kerana semuanya
selamat. Sejak itu, kami begitu mementingkan kebersihan alam sekitar.
"Penyakit ini boleh berlaku kepada sesiapa saja dan tidak mengira
tempat. Disebabkan itu, kami lebih peka dengan kebersihan tidak kira di
mana," katanya..
Jelas Sasha, apabila berada di tempat letak kereta yang ada sampah
atau air bertakung, dengan segera dia dan suami akan membersihkannya.
Seorang lagi yang pernah menghidap demam denggi dan berkongsi pengalaman, Suzanne Selvarajah, menyatakan dia diserang virus berkenaan sebanyak dua kali.
"Ketika itu pada tahun 2000, saya disahkan menghidap demam denggi dan
dimasukkan ke wad selama empat hari dan mengambil ujian darah bagi
menentukan tahap jangkitan.
"Selepas empat hari, virus denggi dalam tubuh semakin pulih dan kehidupannya kembali seperti sedia kala,"katanya.
Namun, katanya, kejadian sama berulang pada tahun 2008 dan dia
mengalami gejala sama iaitu demam pada suhu tinggi melebihi 39 darjah
celsius walaupun sudah mengambil ubat.
"Sekali lagi saya dimasukkan ke wad. Tiga hari berada di situ saya
dimasukkan plasma beku dan tidak lama selepas itu bintik merah muncul
pada seluruh badan.
"Ketika itu, doktor membawa saya ke bilik air dan menyiram air sejuk
ke atas badan bagi mengurangkan rasa gatal selepas dimasukkan plasma.
"Ini begitu menakutkan apabila suhu badan saya tidak menunjukkan
sebarang penurunan. Akhirnya, saya terpaksa menggunakan ais untuk
menyejukkan badan yang terlalu panas," katanya yang menetap di Kajang,
Selangor, ketika itu.
Mengakui dihantui rasa trauma, Suzanne berkata, dia tidak
teragak-agak menggunakan penyembur serangga setiap kali berada di rumah
pada waktu petang.
"Mujur saya tidak mendapat sebarang komplikasi yang biasa dikaitkan
dengan demam denggi sehingga mengakibatkan risiko kerosakan buah
pinggang dan hati serta denyutan jantung berhenti.
"Saya tidak boleh membayangkan sekiranya anak kecil terkena penyakit demam denggi ini, ia memang amat menyakitkan.
" Saya kini memastikan memasang wap penghalau nyamuk 24 jam dan
mengenakan semburan penghalau nyamuk pada tubuh saya dan anak ketika
keluar rumah," katanya yang mengakui paranoid terhadap nyamuk.
No comments:
Post a Comment