senario di mana seseorang jatuh sakit secara tiba-tiba tanpa
tanda-tanda awal semakin kerap berlaku dalam kalangan masyarakat hari
ini.
Keadaan ini bukanlah menunjukkan bahawa masyarakat tidak peka dengan
kesihatan diri masing-masing, tetapi penyakit hari ini dilihat semakin
'bijak' kerana apabila berada di tahap yang kritikal barulah ia
menunjukkan simptom-simptomnya.
Untuk itu setiap orang disaran agar menjalani pemeriksaan secara
berkala bagi mengetahui tahap kesihatan dan mengenal pasti apa jua jenis
penyakit yang dihidapi.
Begitupun, ada penyakit yang tidak dapat dikesan pada peringkat awal
dan ada juga sakit yang tidak dapat diterangkan apakah jenis
penyakitnya.
Begitu juga dengan penyakit saraf di mana penyakit ini tidak dapat
dikesan pada peringkat awal tetapi tanda-tandanya sudah kelihatan pada
mana-mana individu yang mengalami.
Tanda-tanda kesakitan yang dialami tidak pernah di ambil berat oleh penghidapnya kerana kesakitan itu muncul secara tiba-tiba.
Malah kesakitan yang lazimnya dialami adalah kesakitan yang tidak dapat diterangkan dan ia berbeza daripada biasa.
Menurut Presiden Malaysian Association for the Study of Pain (MASP), Dr. Mary Suma Cardosa,
sekiranya mana-mana individu yang mengalami kesakitan pada mana-mana
tubuh badan tetapi tidak dapat diterangkan secara terperinci,
berkemungkinan individu tersebut mengalami kesakitan saraf.
Tambah beliau lagi, kesakitan saraf atau neuropatik adalah sejenis
kesakitan kronik yang berpunca daripada kerosakan pada saraf yang
berfungsi mengesan kesakitan, atau pada bahagian dalam sistem saraf yang
menghantar isyarat kesakitan seperti saraf tunjang atau otak.
"Kesakitan saraf boleh membawa kesan negatif yang signifikan dalam rutin harian pesakit serta kualiti kehidupan mereka.
"Ramai penghidap penyakit ini menghadapi kesukaran untuk tidur, hilang tumpuan serta selalu berasa letih dan tidak bermaya.
"Ada yang langsung tidak boleh mengenakan pakaian kerana mengalami
kesakitan yang teramat sangat apabila pakaian bersentuhan dengan kulit,"
katanya lagi ketika ditemui di ibu negara, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai penyakit tersebut, Dr. Mary memberitahu,
pesakit yang mengalami penyakit ini juga boleh mengalami kemurungan yang
teruk di samping kebimbangan yang tinggi dalam diri masing-masing.
Ini kerana mereka sentiasa berfikir bagaimana untuk menyembuhkan
penyakit tersebut selain sentiasa berfikir untuk mencari penawar bagi
menyembuhkan penyakit mereka.
Pada masa yang sama, beliau menerangkan, pesakit yang mengalami
penyakit ini sering menghadapi masalah untuk menerangkan kesakitan yang
dialami.
"Keadaan ini juga secara tidak langsung menunjukkan perbezaan dalam
fisiologi dan psikologi yang mempengaruhi cara seseorang itu menerangkan
kesakitan mereka," kata Dr. Mary.
Katanya lagi, sehingga hari ini tiada ujian diagnostik yang dapat membuktikan bahawa kesakitan itu wujud.
Bagaimanapun, dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kesakitan
saraf dan rawatan untuk keadaan kesakitan yang dialami pesakit, Pfizer
Malaysia baru-baru ini telah menjalankan sebuah siri bengkel kesedaran
penyakit dengan usahasama Persatuan bagi Kajian mengenai Penyakit
Malaysia (Malaysian Association for the Study of Pain - MASP).
Bengkel tersebut diadakan bertujuan untuk menggalakkan rakyat
Malaysia mendapatkan bantuan doktor dalam usaha mengenal pasti penyakit
yang mereka hidapi.
Menurut Pengarah Perubatan Pfizer Malaysia, Dr. Vicknesh Wellupillai,
bagi mana-mana individu yang mengalami apa jua kesakitan ataupun
mengesyaki bahawa mereka mengalami kesakitan saraf, disarankan agar
membuat temujanji untuk berjumpa doktor.
Dalam temujanji tersebut, katanya lagi, pesakit haruslah menerangkan
dengan jelas mengenai kesakitan yang dirasai dan bahagian tubuh yang
terjejas akibatnya dan sekiranya boleh tunjukkan diari kesakitan anda
kepada doktor.
"Gunakan perkataan-perkataan yang menerangkan kesakitan seperti rasa
pedih, menikam, mencucuk, berdenyut, kebas dan apa sahaja kata sifat
yang boleh memberikan gambaran yang jelas kepada doktor anda.
"Langkah yang paling penting untuk merawat kesakitan saraf adalah
dengan mempunyai pelan pengurusan kesakitan yang dibina oleh pesakit dan
doktor masing-masing.
"Ini kerana hari ini terdapat juga ubat-ubatan yang selamat dan
berkesan untuk kesakitan saraf di mana ia boleh melegakan kesakitan yang
anda alami," ujarnya lebih lanjut.
Dalam pada itu, pada Jun lalu, Pfizer Malaysia telah menjalankan kaji
selidik dalam kalangan 428 rakyat Malaysia yang berumur antara 25
hingga 65 tahun.
Objektif kaji selidik tersebut adalah untuk mengkaji pengetahuan
mengenai kesakitan dalam kalangan rakyat Malaysia dan kaedah yang
digunakan untuk merawatnya.
Kajian yang dilakukan di hospital-hospital terpilih seluruh negara turut mengutarakan 20 soalan yang berkaitan untuk dijawab.
Dan keputusan daripada kaji selidik tersebut mendapati lapan daripada
10 rakyat Malaysia menyatakan bahawa kesakitan telah menjejaskan
kehidupan mereka dan disebabkan kesakitan para pesakit mengalami
ketidakupayaan dan kualiti hidup mereka menurun.
Bukan itu sahaja, lebih daripada separuh responden turut mengalami
kesukaran menerangkan keadaan kesakitan kepada doktor masing-masing.
Yang penting hari ini pengurusan kesakitan kronik adalah langkah
terbaik bagi mengatasi sakit berpanjangan supaya pesakit boleh menjalani
kehidupan dengan lebih berkualiti.
No comments:
Post a Comment