PUTRAJAYA 7 Sept. - Obesiti merupakan masalah kesihatan yang kini
menjadi ancaman terbesar kepada rakyat Malaysia dengan seorang daripada
tiga penduduk mengalami masalah itu atau mempunyai berat badan
berlebihan berikutan terlebih makan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam (gambar) yang
bimbang dengan perkembangan itu memberitahu, setakat ini, 8.5 juta
penduduk Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan dengan 4.4
juta orang obes.
Menurutnya, masalah tersebut berlaku kerana pengambilan makanan
berlebihan yang diburukkan lagi dengan kecenderungan kepada makanan
manis.
Beliau berkata, bilangan rakyat Malaysia yang gemuk dijangka terus
meningkat jika tiada inisiatif dilakukan masyarakat untuk mengurangkan
berat badan dengan mengamalkan gaya hidup sihat.
Kementerian terus menekankan cara hidup sihat dalam kalangan
masyarakat kerana masalah berat badan berlebihan di kalangan mereka
telah mencecah 29.4 peratus dan obesiti pula sebanyak 15.1 peratus.
Masalah tersebut kini telah menjadi ancaman terbesar kepada
kesihatan masyarakat. Bayangkan ketika ini seorang daripada tiga
penduduk negara ini obes atau mempunyai berat badan berlebihan," katanya
pada sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Nak Sihat Sempena Gegar
10,000 Langkah Merdeka, di Dataran Wawasan Presint 2 di sini hari ini.
Menurut Subramaniam, kerajaan amat komited untuk membudayakan amalan
bersukan dan melakukan aktiviti fizikal sebagai rutin harian di kalangan
rakyat kerana kajian menunjukkan purata setiap individu melakukan
aktiviti senaman selama 20 minit sehari.
Mengulas mengenai Kempen Nak Sihat Sempena Gegar 10,000 Langkah
Merdeka, Subramaniam berkata, seramai 70,000 orang yang majoritinya
belia mengambil bahagian dalam kempen berkenaan yang dilancarkan
serentak di seluruh negara.
Kempen yang diadakan untuk tahun keempat itu katanya, memfokuskan
kepada peningkatan kesedaran golongan belia terhadap kepentingan
melakukan senaman sebagai amalan hidup seharian.
Cara hidup orang muda sudah berbeza kerana mereka berada dalam dunia
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Mereka kurang melakukan
aktiviti fizikal kerana sudah ketagih dengan permainan dan penggunaan
media sosial dari pagi hingga malam.
ICT sudah menjadi budaya golongan belia sekarang. Sememangnya diakui
ICT meningkatkan komunikasi sosial, namun keperluan kehidupan yang
aktif tidak boleh diketepikan," katanya.
Katanya, kerajaan akan memainkan peranan dalam memastikan golongan
muda sentiasa mengamalkan kehidupan sihat dengan memperbanyakkan
kemudahan beriadah di kawasan perumahan antaranya kempen berjalan
10,000 langkah sehari merupakan aktiviti intensiti rendah dan sesuai
semua peringkat umur.
Dianggarkan berjalan 10,000 langkah bersamaan tujuh kilometer sehari mampu membakar 385 kalori," katanya.
No comments:
Post a Comment