DEMAM denggi boleh membawa maut. Ramai beranggapan mereka yang pernah
menghidap denggi tidak akan diserang penyakit yang sama kerana tubuh
mereka sudah ada antibodi untuk melawan penyakit itu.
Bagaimanapun, profesor Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Fakulti
Perubatan Universiti Malaya, Prof. Shamala Devi Sekaran menyangkal
pandangan tersebut.
"Serangan denggi kali kedua jauh lebih teruk dan kesannya lebih
rumit. Pesakit juga mungkin mendapat penyakit lain yang lebih serius
yang boleh merosakkan paru-paru, hati dan jantung.
Pembiakan nyamuk
"Langkah pencegahan utama untuk mengurangkan kemungkinan jangkitan
denggi ialah mengawal populasi nyamuk Aedes," katanya pada sesi dialog
sempena sambutan Hari Denggi Asean di Petaling Jaya, Selangor baru-baru
ini.
Memandangkan pemindahan virus memerlukan nyamuk sebagai vektor,
penyebaran denggi boleh dihadkan dengan mengurangkan pembiakannya.
Orang ramai harus didik supaya menyedari bahawa nyamuk merupakan
vektor penyakit itu, jadi adalah berbahaya jika kawasan berhampiran
rumah mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
"Orang ramai mempunyai persepsi bahawa mereka tidak akan menghidap
denggi, namun statistik membuktikan sebaliknya. Kes denggi kini semakin
teruk.
"Langkah pencegahan yang mudah boleh dilakukan oleh setiap individu
dan memberi kesan jangka panjang. Cara terbaik untuk mengurangkan nyamuk
ialah dengan membersihkan tempat-tempat nyamuk bertelur," jelasnya.
Menurut Shamala Devi, air kotor yang bertakung bukanlah satu-satunya
tempat pembiakan nyamuk Aedes. Serangga itu masih boleh membiak dalam
air bersih seperti dalam balang seramik, bekas logam, tong simpanan air,
pasu, bekas makanan dan barangan lain yang menakung air hujan.
Denggi berlaku di kawasan bandar dan di luar bandar. Walaupun kes
denggi kerap berlaku semasa musim hujan, ia boleh menjangkiti manusia
sepanjang tahun.
Nyamuk Aedes aktif dan menggigit ketika waktu siang dan bukannya pada waktu subuh atau senja sahaja.
Nyamuk betina sahaja akan menggigit dan kita akan dijangkiti jika nyamuk betina tersebut dijangkiti.
"Nyamuk memerlukan darah bagi membolehkannya bertelur. Selepas mendapat bekalan darah, dalam masa tiga hari ia akan bertelur.
"Jika nyamuk tersebut dijangkiti virus, telurnya juga akan
dijangkiti. Nyamuk akan bertelur di permukaan air dan ia bertukar
menjadi larva kemudian pulpa dan akhirnya menjadi nyamuk dewasa dalam
tempoh lapan hingga 10 hari," katanya sambil memberitahu, nyamuk dewasa
boleh hidup sehingga tiga minggu.
Kesedaran
Nyamuk bukan saja berada di luar rumah bahkan di dalam rumah lebih-lebih lagi di tempat yang gelap.
Terdapat empat jenis virus berbeza tetapi berkait rapat yang
menyebabkan seseorang menghidap denggi. Seseorang itu perlu dijangkiti
denggi sebanyak empat kali bagi membolehkannya membina antibodi terhadap
keempat-empat virus tersebut.
"Hakikatnya, tidak susah membendung masalah denggi. Kesedaran
terhadap denggi perlu berterusan. Setiap komuniti penduduk mesti
mengadakan kempen membanteras denggi secara bulanan.
"Bersihkan kawasan yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk
Aedes. Jika semua orang melakukan peranan masing-masing, masalah denggi
dapat diatasi," ujarnya. - NURUL IZZA ROSLY
No comments:
Post a Comment