Sunday 30 March 2014

Kempen Anti Denggi Fokus Daerah Petaling Mulai Minggu Ini - Subramaniam


KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Kementerian Kesihatan akan memberi tumpuan kepada daerah Petaling mulai minggu ini dalam usaha mengurangkan wabak denggi di kawasan berkenaan, kata Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata kes denggi di daerah itu menyumbang kira-kira 60 peratus kepada jumlah keseluruhan di Selangor.

Oleh itu, satu program akan diwujud bagi mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes, katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen 'Zero Dengue' di Flat Taman Sejahtera pada Ahad.

Dr Subramaniam berkata Selangor mempunyai kes demam denggi paling tinggi iaitu 13,915 dengan jumlah kematian 23 bagi tempoh 1 Jan hingga 29 Mac tahun ini.

Beliau jumlah itu adalah 56 peratus daripada jumlah keseluruhan kes di Malaysia iaitu 24,917 kes dengan 58 kematian bagi tempoh sama.

Dr Subramaniam berkata jumlah itu menyaksikan peningkatan sebanyak 308 peratus atau 18,817 kes berbanding tempoh sama pada 2013, yang mencatat 6,100 kes dengan 14 kematian.

"Pada masa yang sama, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya telah melaporkan sebanyak 2,253 kes demam denggi dengan empat kematian pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata sebanyak 1,073,958 premis diperiksa dan 2,699 kompaun berjumlah RM1,349,500 dikeluarkan sehingga 15 Mac lepas.

Dr Subramaniam juga berkata masyarakat perlu mempunyai kesedaran berhubung wabak denggi agar langkah proaktif dapat diambil bagi memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

"Banyak tempat kita tahu ada pembiakan Aedes misalnya, air bersih yang bertakung yang berada di dalam dan luar rumah serta bekas-bekas yang kita tidak sangka ada pembiakan nyamuk Aedes, contohnya tandas, pasu bunga, parit dan longkang," katanya.

-- BERNAMA

Saturday 29 March 2014

Kadar Obesiti Rakyat Malaysia Semakin Serius - Subramaniam


KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Kadar obesiti dalam kalangan rakyat negara ini semakin serius dan perlu diatasi, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata pada 1996, kadarnya mencatat 44.4 peratus namun ia meningkat 15.1 peratus pada 2011 kepada 59.1 peratus.

Katanya peningkatan ini berpunca daripada sikap masyarakat Malaysia yang sering mengamalkan budaya pemakanan yang kurang sihat dan lebih banyak duduk daripada bersenam.

"Oleh kerana terdapat pelbagai pilihan makanan, mereka makan dalam kuantiti yang banyak dalam satu-satu masa sehinggakan tidak mampu untuk mengawal nafsu makan.

"Mereka juga kerap duduk di atas kerusi selepas makan dan memberi pelbagai alasan seperti sibuk untuk mengelak daripada melakukan senaman," katanya ketika merasmikan 'Bulan Nutrisi Malaysia' (NMM) 2014 di sini Sabtu.

Justeru, Dr Subramaniam berkata rakyat perlu mengelak daripada makan secara berlebihan dan perlu kerap membuat senaman sebagai langkah utama mencegah masalah obesiti secara berkesan.

Beliau juga mencadangkan supaya orang ramai lebih kerap menggunakan tangga dan kurangkan penggunaan lift bagi mengurangkan kalori dalam badan mereka.

Diadakan sejak 2002, NMM merupakan usaha Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Persatuan Dietitian Malaysia (MDA), dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO) bagi menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.

Sempena NMM, karnival dua hari turut diadakan di Pusat Pameran Mid Valley yang menawarkan pelbagai perkhidmatan secara percuma termasuk saringan status pemakanan, pemeriksaan tekanan darah serta kaunseling tentang pemakanan.

Turut hadir pada majlis perasmian NMM ialah Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia Prof Dr Mohd Ismail Noor dan Presiden MDA Prof Dr Winnie Chee.

-- BERNAMA

Friday 28 March 2014

Peranan Aktif Combi Digiatkan, Kekang Penularan Denggi Di Daerah Petaling



PUTRAJAYA, 28 Mac (Bernama) -- Kementerian Kesihatan akan menggiatkan peranan aktif projek Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) di daerah Petaling dalam usaha mengekang penularan wabak denggi di kawasan itu.

Menterinya Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata langkah itu diambil berikutan daerah Petaling melaporkan kes denggi tertinggi iaitu antara 25 hingga 30 peratus kes di seluruh negara dan 60 peratus untuk kes di Selangor.

"Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kementerian di kawasan terbabit namun kurangnya penglibatan masyarakat dalam usaha tersebut menyebabkan kesan yang diberikan tidak begitu baik dan kita melihat adanya keperluan mengaktifkan semula peranan Combi ini," katanya dalam sidang media di kementeriannya di sini Jumaat.

Combi adalah pendekatan menggunakan komunikasi bagi mengubah tingkah laku manusia yang diperkenalkan di Malaysia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sejak 2001.

Katanya sehingga 31 Disember tahun lepas, sebanyak 2,668 lokaliti Combi ditubuhkan di seluruh negara, namun hanya 60 peratus daripadanya yang masih aktif.

Katanya di kawasan Petaling sahaja, daripada 42 lokaliti Combi yang ditubuhkan hanya 20 yang masih aktif dan kementerian amat memerlukan sokongan masyarakat setempat untuk melaksanakan aktiviti pencegahan denggi.

"Jika kita berjaya di Petaling, model yang sama akan turut diguna pakai di seluruh kawasan di Malaysia," katanya sambil menambah projek Combi ini berjaya dijalankan di Taman Paroi Jaya, Seremban, Negeri Sembilan.

"Kawasan tersebut yang dahulunya kawasan panas pada lima, enam tahun dahulu, namun sejak dua tahun berturut-turut tidak ada satu kes (denggi) pun di kawasan tersebut, " katanya.

Sementara itu, Subramaniam berkata trend kes denggi terus menunjukkan penurunan pada minggu ke-12 (bagi tempoh 16 hingga 22 Mac) di mana sejumlah 1,666 kes dilaporkan, menurun 12 peratus berbanding minggu sebelumnya iaitu 1,902 kes.

Sebanyak lima kematian dilaporkan pada minggu lepas iaitu satu di Perak, dua di Selangor dan masing-masing satu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dan Melaka.



-- BERNAMA

Wednesday 26 March 2014

Parlimen: 29 Kematian Akibat Denggi Sehingga Feb


KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Sebanyak 29 kematian akibat denggi direkodkan di seluruh negara bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata bagi tempoh itu 16,383 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara dengan Selangor mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 11 kematian dan 8,936 kes.

Ini diikuti Johor dengan lima kematian (1,064 kes), Kuala Lumpur dan Putrajaya tiga kematian (1,561 kes), Perak tiga kematian (1,133 kes), Pulau Pinang tiga kematian (376 kes) dan Kedah satu kematian (142 kes).

"Negeri Sembilan, Melaka dan Kelantan masing-masing mencatatkan satu kematian," katanya dalam jawapan bertulis kepada Lim Lip Eng (DAP-Segambut) di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

-- BERNAMA

Saturday 22 March 2014

Menteri Kesihatan Kecewa Dengan Sikap Masyarakat Basmi Wabak Denggi


KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam kecewa dengan sikap masyarakat yang tidak mengambil bahagian dalam program menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes anjuran kementerian itu.

Beliau berkata usaha membasmi wabak denggi menerusi program menghapuskan tempat pembiakan Aedes tidak akan tercapai sepenuhnya tanpa penglibatan aktif masyarakat di sesebuah kawasan.

Katanya cuaca hujan di beberapa kawasan ketika ini boleh meningkatkan risiko serangan wabak denggi jika puncanya tidak dibasmi oleh penduduk.

"Selepas hujan, jentik-jentik boleh membiak dan hidup selama enam bulan di dalam bekas takungan air. Oleh itu penduduk perlu membersihkan kawasan masing-masing daripada bekas tin kosong dan bekas terbiar," katanya.

Dr Subramaniam berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program pendidikan tinggi, 'Pathway's', di Universiti Malaya di sini hari ini.

Mengenai program pendidikan itu, Dr Subramaniam, yang juga Timbalan Presiden MIC, berkata kerajaan memperuntukkan 1,500 tempat untuk pelajar kaum India memasuki kolej matrikulasi untuk tahun ini.

Selain itu, katanya peluang dalam bidang kemahiran teknikal juga turut disediakan kepada pelajar kaum India.

Program anjuran Gagasan Pelajar India 1Malaysia dengan sokongan Biro Pengajian Tinggi Pemuda MIC itu akan diadakan di seluruh negara bermula hari ini sehingga 2 April ini.

Program berkenaan antara lain bertujuan memberi pendedahan dan khidmat nasihat untuk membantu pelajar kaum India melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi 03-40431111 atau melayari www.1mism.org dan www.facebook.com/1mism.

-- BERNAMA

Friday 21 March 2014

Sembilan Kes Kematian Demam Denggi Dilaporkan Minggu Lepas


KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Sembilan kes kematian akibat demam denggi dilaporkan di empat buah negari dalam tempoh 9 hingga 15 Mac lepas, menjadikan 53 jumlah keseluruhan kematian sejak Januari lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kematian terbaru itu melibatkan enam wanita berumur antara 25 dan 54 tahun serta tiga lelaki berusia 36 dan 62 tahun serta pelajar berumur 15 tahun.

"Lima kematian dilaporkan di Selangor, Johor (2) dan masing-masing satu di Perak dan Kelantan", katanya dalam kenyataan Jumaat.

Dr Subramaniam berkata kes demam denggi di seluruh negara dilaporkan meningkat kepada 1,902 bagi tempoh 9-15 Mac iaitu minggu ke-11 kes demam denggi dipantau, berbanding 1,630 minggu sebelumnya

"Dari Januari hingga 15 Mac 2014 pula, keseluruhan kes demam denggi yang dilaporkan adalah 21,967, peningkatan 321 peratus atau 16,746 kes berbanding 5,221 kes bagi tempoh sama tahun lepas", kata Dr Subramaniam.

Beliau berkata jenis virus serotaip DEN 2 menjadi antara faktor peningkatan kes kematian denggi.

"Jangkitan virus serotaip DEN 2 akan memberi manifestasi klinikal lebih teruk dan mempunyai risiko komplikasi lebih tinggi berbanding jangkitan serotaip lain", jelasnya.

Selain itu, beliau berkata 458 lokaliti wabak dilaporkan di 12 negeri dan daripada jumlah itu, 84 lokaliti melibatkan wabak melebihi sebulan iaitu dikategorikan sebagai 'tompok panas'.

Sejumlah 70 lokaliti tompok panas adalah di Selangor, iaitu masing-masing 32 di daerah Hulu Langat dan Petaling, Gombak (5) dan Klang (1).

Sembilan lokaliti tompok panas lain dikesan di Seremban, Negeri Sembilan; Kota Baharu, Kelantan (3); dan masing-masing satu di Kepong, Kuala Lumpur dan Putrajaya dan Melaka Tengah (Melaka).

-- BERNAMA