Friday 31 May 2013

Buang payu dara elak kanser?


Angelina Jolie menjalani pembedahan ketiga untuk membentuk semula payu dara dan memasukkan implan. 
 
tIDAK dinafikan ramai yang mengagumi kecantikan tubuh badan aktres antarabangsa, Angelina Jolie. Pengakuan Jolie melalui artikel bertajuk My Medical Choice yang diterbitkan oleh New York Times, telah mengejutkan dunia apabila memberitahu bahawa beliau menjalani kaedah mastektomi membuang kedua-dua payu daranya untuk mengelak diserang kanser payu dara.

Jolie berkata, dia menjalani pembedahan itu selepas mengetahui dirinya membawa gen yang boleh menyebabkannya menghidap kanser payu dara. Bagaimanapun, Jolie menyembunyikan pembedahan itu daripada pengetahuan orang ramai sehingga dia mendedahkan berita itu.

Bintang filem berusia 37 tahun itu menyatakan bahawa antara awal Februari hingga akhir April lepas, dia menjalani pembedahan ke atas kedua-dua payu daranya. Menurutnya, dia menjalani pembedahan itu adalah kerana memikirkan kepentingan anak-anaknya selepas melihat ibunya, Marcheline Bertrand meninggal dunia kerana menghidap kanser yang sama ketika berusia 56 tahun. 

"Ibu saya berjuang menentang kanser selama hampir sedekad dan meninggal dunia semasa berumur 56 tahun," katanya.

"Risiko saya mendapat kanser payu dara telah menurun daripada 87 peratus kepada lima peratus sahaja," kata.

Menurutnya, selepas menjalani ujian genetik, dia didapati membawa gen BRCA1 dan mempunyai 87 peratus untuk menghidap kanser payu dara.

Proses pembuangan payu daranya itu bermula pada 2 Februari lalu. Menurutnya, dua minggu kemudian, dia membuang tisu payu daranya. Jolie berkata, sembilan bulan kemudian, dia menjalani pembedahan ketiga untuk membentuk semula payu dara dan memasukkan implan.

"Saya tidak berasa sebarang kekurangan sifat kewanitaan. Ia (pembedahan itu) merupakan pilihan yang paling tepat," katanya. 

Walaupun telah menjalani mastektomi, aktres tersohor itu bagaimanapun masih mempunyai peluang lima peratus diserang kanser payu dara . Jolie juga kini dilaporkan tidak akan teragak-agak membuang rahimnya untuk mengelak diserang kanser rahim pula.

Kanser payu daraLAZIMNYA kanser payu dara dikaitkan dengan kaum wanita walaupun terdapat sebilangan kecil daripada kaum Adam yang menghidapinya.

Pengalaman mereka yang pernah menghidap kanser ini, sudah pasti trauma atau umpama mimpi ngeri dan tidak ingin berulang ke atas diri sendiri lagi.

Manakan tidak, mereka yang ingin membuang barah tersebut terpaksa membuat pilihan sama ada kehilangan payu dara atau menempah maut.

Hal inilah yang seringkali membelenggu kebanyakan penghidap kanser payu dara terutamanya wanita yang mementingkan kecantikan dan penampilan diri.

Tindakan berani Angelina Jolie menunjukkan beliau tidak mahu kehilangan nyawa kerana kanser sebaliknya dia sanggup membuang payu dara walaupun belum disahkan menghidap kanser.

Menurut Pakar Runding Pembedahan Am, Dr . Jonah Azariah, Jolie mengambil keputusan yang baik dengan membuang payu daranya kerana dia mengetahui dirinya berisiko tinggi menghidap kanser kerana faktor genetik. Pun begitu, tidak bermakna dengan membuang payu dara, bahagian organ badan lain tidak berisiko diserang kanser. Dalam hal ini, usaha Jolie dilihat positif kerana cuba mencegah daripada diserang kanser payu dara walaupun keputusan ini sangat sukar dilakukan terutamanya mereka yang sudah disahkan menghidap kanser.

Dr. Jonah memberitahu, ramai pesakit walaupun sudah berada di peringkat kanser serius tidak mahu membuang payu dara mereka kerana malu dan takut disisihkan keluarga dan masyarakat.

Jelasnya, lebih teruk daripada itu, terdapat juga sesetengah wanita yang langsung tidak menyedari bahawa payu daranya telah diserang barah walaupun telah berulang kali menjalani pemeriksaan di hospital atau pemeriksaan sendiri payu dara (PSP).

"Setiap wanita perlu mencegah di peringkat awal lagi. Lebih selamat ialah dengan cara menjalani proses pengimbasan kanser menggunakan pengimbas mammografi yang mampu mengesan ketumbuhan membabitkan kanser payu dara pada peringkat awal dengan tepat.

Dalam kes ini, wanita yang berusia 40-an lebih sesuai untuk kaedah mamogram," ujarnya yang ditemui di Pusat Perubatan Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor.

Ramai yang tidak tahu mereka berpeluang untuk mendapatkan payu dara baru dengan kaedah implan dan pembentukan semula payu dara .

"Sikap wanita tersebut tidak boleh disalahkan ini kerana setelah beberapa tahun hidup tanpa payu dara mereka telah pasrah dan mula menganggap hidup mereka tidak lagi bermakna ekoran seringkali berhadapan dengan tekanan yang bersifat psikologi. Dalam hal ini, sokongan keluarga terutamanya suami sangat penting," katanya.

Tambah beliau, perasaan sedemikian tidak perlu timbul lagi kerana kemajuan bidang perubatan dunia tidak pernah menyisihkan golongan ini.

Malah, kajian demi kajian dijalankan oleh pakar berkaitan semata-mata mencari penawar penyakit tersebut.

"Kini wanita boleh tampil semula lengkap dengan pakej 'wanita sejati' melalui proses pembentukan dan pengimpalan semula payu dara atau 'breast reconstruction' yang telah sinonim dengan pesakit kanser payu dara di Eropah.

"Malaysia agak lewat sedikit kerana saya difahamkan kebanyakan pesakit tidak mendapat pendedahan khusus mengenai peluang mendapatkan payu dara baru daripada pakar-pakar yang merawat mereka," katanya.

'Breast reconstruction' adalah pembedahan atau pengimpalan payu dara untuk mengembalikan semula bentuknya selepas kedua-dua atau separuh daripada payu dara pesakit kanser musnah oleh sel-sel barah hinggakan ia terpaksa dibuang sepenuhnya (mastectomy) atau separuh sahaja (lupectomy).

Dalam pada itu, Dr. Jonah menasihati wanita supaya mengenali simptom-simptom kanser payu dara termasuk ketulan dalam payu dara , perubahan dari segi saiz dan bentuk payu dara serta pengeluaran bendalir daripada puting.

"Pengesanan kanser payu dara awal boleh dilakukan menerusi pemeriksaan sendiri atau melalui mamografi dari semasa ke semasa. Kesemua kaedah ini membantu mengesan kanser lebih awal. 

Rawatan kanser payu dara antaranya termasuk radiasi, kemoterapi, terapi hormon dan mastektomi. Mastektomi adalah sejenis pembedahan yang selamat dengan sebilangan besar pesakit pulih tanpa sebarang komplikasi.

Seperti pembedahan, tiada satu yang boleh dilakukan tanpa risiko. Antara risikonya bagi sebarang pembedahan termasuk pendarahan, jangkitan atau kecederaan pada kawasan berdekatan dengan tisu-tisu," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

99 Peratus Bayi Dilahirkan Ibu Positif HIV Tidak Dijangkiti - Rohani

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Kira-Kira 99 peratus bayi yang dilahirkan ibu positif HIV di Malaysia tidak dijangkiti virus itu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata ini berikutan pelaksanaan program Pencegahan Jangkitan HIV daripada ibu kepada anak (PMTCT) sejak 1998 di semua pusat kesihatan kerajaan.

PMTCT merupakan usaha menyeluruh bagi mencegah jangkitan HIV daripada ibu kepada anak sebelum, semasa hamil dan melahirkan anak serta selepas bersalin.

"Liputan intervensi PMTCT di pusat kesihatan kerajaan meningkat daripada 49.7 peratus pada 1998 kepada 100 peratus pada 2011," katanya dalam ucapan pembukaan pada Forum Anggota Parlimen sempena Persidangan Global Women Deliver ke-3 di sini Selasa.

Rohani berkata kerajaan juga komited untuk menghapuskan jangkitan HIV secara vertikal menjelang 2015 menerusi penyediaan perkhidmatan PMTCT di peringkat nasional yang berkualiti dan menyeluruh.

Strategi semasa Malaysia bertujuan mendekati wanita hamil, pasangan dan bayi mereka serta populasi paling berisiko, katanya.

Rohani berkata akses lebih besar untuk perkhidmatan penjagaan profesional dan perancangan keluarga di Malaysia menyebabkan nisbah kematian ibu menurun daripada lebih 40 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup pada 1993 kepada 30 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup sejak tahun 2000.

Nisbah itu kekal pada 30 kematian bagi setiap 100,000 kelahiran hidup sehingga tahun 2010.

Mengulas pencegahan kanser dalam kalangan wanita dan remaja perempuan, Rohani berkata Malaysia merupakan satu daripada negara pertama Asia yang memperkenal program suntikan vaksin virus human papilloma (HPV) di peringkat nasional.

Beliau berkata sejumlah RM10 juta diperuntuk pada 2010 kepada Kementerian Kesihatan untuk memperkenal program itu kepada remaja perempuan berusia 13 tahun.

Pada sidang akhbar selepas itu, Rohani berkata pencapaian Malaysia dalam menjaga kepentingan wanita berhubung isu kesihatan dan penguasaan ekonomi berada di tahap yang membanggakan.

Peranan Malaysia dalam menjaga hak wanita turut mendapat pengiktirafan agensi dan persatuan wanita antarabangsa, katanya.

Beliau berpendapat kuasa politik yang stabil juga penting bagi memastikan usaha ke arah pemerkasaan peranan wanita Malaysia dapat diterus dan dipertingkat.

"Persidangan kali ini merupakan satu peluang perkongsian bermakna kepada Malaysia bagi memastikan perjalanan negara ke arah negara maju, 2020 (berjalan) lancar," katanya.



-- BERNAMA

Penyakit lazim kanak-kanak


Cabaran getir menjaga anak kecil ialah apabila mereka jatuh sakit, memandangkan pada tahap usia baru lahir hingga kanak-kanak, sistem ketahanan badan masih belum berkembang sepenuhnya.
Antara penyakit yang lazim dihidapi oleh setiap anak kecil ialah demam panas, batuk, selesema, asma dan sebagainya.

Berada dalam situasi tersebut pasti akan merisaukan apatah lagi apabila anak tidak berhenti merengek dan menangis disebabkan suhu badan meningkat.

Perunding dan Pakar Kardiologi Kanak-Kanak, Datuk Dr. Zulkifli Ismail berkata, sebagai ibu bapa, mereka harus mengetahui sekurang-kurangnya fakta asas tentang penyakit yang lazim dihidapi kanak-kanak.

Sebagai contoh katanya, suhu badan normal pada bayi yang sihat adalah daripada 36.5 darjah celcius sehingga 37.8 darjah celcius. Suhu manusia selalunya akan naik semasa siang dan turun semasa malam. 

Beliau berkata, secara umumnya bayi tidak dianggap demam kecuali apabila suhu badannya melebihi 37.7 darjah celcius pada waktu pagi atau melebihi 38.2 darjah celcius pada waktu petang.

"Jika suhu badan anak meningkat ibu bapa juga perlu tahu langkah-langkah awal yang boleh diambil di rumah sebelum membawanya berjumpa doktor.

"Antaranya, beri anak minum banyak air, tanggalkan pakaian dan tuamkan badannya.

"Berikan anak ubat demam jenis paracetamol , diclofenac atau ibuprofen untuk ubat makan, manakala bagi ubat demam melalui dubur adalah daripada jenis paracetamol dan diclofenac . EIak memberi anak makan ubat jenis aspirin," jelas Dr. Zulkifli pada Seminar Keibubapaan anjuran Positive Parenting di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, bayi berusia bawah enam bulan yang demam lebih daripada dua hari, mengalami kekejangan, lesu dan muntah-muntah hendaklah dibawa berjumpa doktor dengan segera.
Rawatan awal boleh mengelak daripada keadaan bayi menjadi lebih teruk sehingga mungkin boleh membawa maut.

Sementara itu katanya, demam kadang kala akan disertai dengan selesema dengan simptom-simptom seperti bersin, mata berair, batuk dan keletihan.

Asma pula sering dijangkiti oleh kanak-kanak berusia dua hingga tujuh tahun yang mengalami batuk (termengah-mengah) pada waktu malam.

"Jika keadaan ini berlaku disaran segera berjumpa doktor dan mendapat inhalers yang bersesuaian.
"Rumah yang ada anak mengalami asma tidak sesuai membela binatang peliharaan dan elak daripada menggunakan permaidani kerana ia mengumpul habuk .

"Diingatkan juga untuk menjemur tilam dan bantal di bawah matahari sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk menghindari habuk, serta cadar ditukar setiap minggu," jelasnya.

Menurut Zulkifli, kanak-kanak juga sering mengalami masalah cirit-birit yang mana mereka akan kerap membuang air besar dan muntah.

Bagi rawatan awal, ibu bapa boleh memberikan air yang mengandungi garam untuk penghidratan (satu paket ke dalam 250ml air).

Jelasnya, jika cirit birit berterusan disebabkan pemberian susu formula yang tidak sesuai, tukar kepada susu ibu atau susu tanpa laktosa.

"Elak memberi ubat terutama antibiotik yang akan membuatkan cirit birit semakin teruk.
"Kebersihan menjadi perkara penting dalam kes ini. Bersihkan tangan, jangan biarkan susu terlalu lama di dalam botol dan rebus air untuk menghapuskan bakteria, serta hidang makanan dengan cara bersih," kata Dr. Zulkifli.

Selain itu beliau menjelaskan, setiap kanak-kanak yang baru lahir harus melalui program imunisasi secukupnya seperti yang disaran oleh pihak berkuasa perubatan di negara ini.
Ini bagi mencegah dan melindungi anak-anak daripada penyakit.

Antara vaksin yang perlu diambil oleh setiap bayi yang dilahirkan ialah vaksin demam campak yang diambil sebanyak dua dos, manakala vaksin rotavirus pula diberikan kepada anak sebelum usianya menjangkau enam tahun

Vaksin hepatitis A pula diberikan pada anak yang menjangkau usia dua tahun. Vaksin-vaksin lain yang perlu diberi perhatian seperti, pneumoccal conjugate, meningococcal conjugate dan influenza.
Menurut Dr. Zulkifli, gejala pneumokokal telah menyebabkan kematian 1.6 juta kanak-kanak seluruh dunia setiap tahun walaupun penyakit itu boleh dicegah melalui vaksinasi.

"Sebab itu golongan paling berisiko menghidap pneumokokal ini ialah bayi baru lahir hingga usia dua tahun dan dewasa berusia 65 tahun ke atas yang disebabkan antibodi yang lemah," jelasnya.

Pneumokokal sebenarnya adalah sekumpulan penyakit yang disebabkan oleh bakteria streptococcus pneumonia yang menyebabkan jangkitan kuman dalam darah, meningitis atau jangkitan pada membran selaput otak serta saraf tunjang dan sebagainya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Semua Premis Makanan Wajib Daftar Dengan Kementerian Kesihatan Mulai Tahun Depan

 
 
 PUTRAJAYA, 29 Mei (Bernama) -- Semua premis makanan wajib mendaftar dengan Kementerian Kesihatan sebelum 1 Jan tahun depan dalam usaha untuk menentukan makanan yang dijual premis berkenaan adalah bersih.

Dalam satu kenyataan Rabu, Kementerian Kesihatan berkata premis makanan termasuk yang diusahakan oleh pengusaha kilang makanan, katering, restoran, gerai atau penjaja bergerak.

"Ini adalah selaras dengan Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang diwartakan pada 28 Februari 2009 yang mewajibkan semua premis makanan mendaftar dengan Kementerian Kesihatan.

"Pemilik makanan tersebut boleh dikenakan denda kerana tidak mendaftar," katanya.

Untuk mendaftar, layari laman web http://fosimdomestic.moh.gov.my.

-- BERNAMA

Tuesday 28 May 2013

Dickson Nwakaeme Penyelamat Kelantan Untuk Ke Pentas Final


KUALA TERENGGANU, 28 Mei (Bernama) -- Pemain import Dickson Nwakaeme menjadi penyelamat pasukan Kelantan untuk menafikan Terengganu tempat ke final Piala FA setelah menang dengan agregat 6-5 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, Selasa.

Pada separuh akhir kedua, pemain import dari Nigeria itu menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-119 masa tambahan.

Meskipun Kelantan, selaku juara bertahan Piala FA ini, tewas 4-2 ke atas Terengganu hari ini, namun semangat juang anak didik Bojan Hodak pada babak-babak terakhir perlawanan akhirnya memusnahkan harapan Terengganu yang nyata membuat kebangkitan dramatik pada perlawanan di sini.

Pada perlawanan timbal balik yang penuh mendebarkan itu, Terengganu yang tewas 1-4 pada perlawanan separuh akhir pertama, Sabtu lepas, di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, hampir mencipta keajaiban selepas mendahului 4-0.

Bagaimanapun, Terengganu yang bermain 10 orang selepas Effa Owona dibuang padang kerana membantah keputusan pengadil Suhaizi Shukri dikejutkan dengan gol Obinna Nwaneri hanya beberapa saat sebelum wisel penamat 90 minit.

Kedudukan 4-1 itu memaksa permainan dilanjutkan selama 30 minit masa tambahan.

Terdahulu Terengganu memperolehi gol menerusi Vincent Bikana seawal minit ke-4 menerusi sepakan percuma yang terus menerjah gawang gol menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Terenganu yang ghairah mencari gol untuk merapatkan agregat melakukan serangan bertali arus ke kubu lawan dan hasilnya G.Puaneswaran meletakkan kedudukan 2-0 pada minit ke-26 selepas menanduk masuk bola hantaran Ashaari Shamsuddin.

Gerakan arkitek pemain bertubuh kecil, Puaneswaran untuk mengkucar-kacirkan benteng pertahanan lawan membuahkan hasil di mana tuan rumah yang semakin bersemangat terus merapatkan jurang menerusi Effa Owona yang menanduk masuk bola hantaran Puaneswaran pada minit ke-70.

Manaf Mamat menjaringkan gol keempat Terengganu untuk kedudukan 4-0 ketika masa kecederaan, sekali gus memintas kedudukan agregat perlawanan 5-4.

Ketika perlawanan yang seakan-akan memihak kepada tuan rumah, muncul Obinna Nwaneri yang memusnahkan harapan Terengganu untuk ke final setelah terikat kembali agregat 5-5 sebelum Dickson Nwakaeme memusnahkan harapan penyokong skuad Peteh Ganu Peteh.

-- BERNAMA

Malaysia Antara Yang Teratas Tangani Kematian Ibu Bersalin

 

 Oleh Kurniawati Kamarudin


PUTRAJAYA, 28 Mei (Bernama) -- Bagi kaum ibu yang tinggal di kawasan pedalaman dan kampung, kedatangan Jururawat Desa ke rumah amat dinantikan setiap kali selepas melahirkan anak.

Selain melakukan pemeriksaan, jururawat yang biasanya menaiki motosikal mahupun berjalan kaki akan memberi khidmat nasihat mengenai penjagaan kesihatan dan pemakanan bagi memastikan ibu, yang baru melahirkan anak, kembali sihat dengan cepat.

Penempatan jururawat di klinik desa seluruh negara adalah sebahagian usaha yang dijalankan oleh kerajaan selepas merdeka lagi bagi meningkatkan kesihatan penduduk terutama dalam kalangan wanita.

Ia bagi mengurangkan kadar kematian ibu bersalin yang dikesan dahulunya berpunca bersalin di rumah tanpa peralatan perubatan yang sempurna dan bersih serta bidan terlatih.

Kini, pada saat banyak negara lain masih bergelut membendung masalah kematian ibu bersalin, Malaysia telah mencapai kemajuan yang pantas ke arah mengurangkan masalah itu.

Buktinya Malaysia berjaya mengurangkan kematian ibu bersalin sebanyak 45 peratus iaitu daripada 53 kematian bagi setiap 100,000 kelahiran hidup pada tahun 1990 kepada 29 orang pada 2010.

KONGSI KEJAYAAN MALAYSIA

Kejayaan itu adalah antara faktor Malaysia dipilih menjadi negara Asia pertama menjadi tuan rumah persidangan "Global Women Deliver 2013" ketiga selama tiga hari mulai 28 Mei ini. Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, yang juga sekretariat persidangan, To'Puan Dr Safurah Jaafar berkata kejayaaan Malaysia melalui usaha dan strategi yang dilakukan bagi mengurangkan kematian ibu bersalin menarik minat penganjur memilih Malaysia kali ini.

Mereka ingin berkongsi kaedah yang digunakan Malaysia bagi menyelesaikan isu itu, katanya.

"Dalam kalangan negara membangun lain, Malaysia paling berjaya dalam usaha memastikan keselamatan ibu bersalin bermula ketika mengandung, bersalin dan selepas bersalin.

"Statistik menunjukkan Malaysia telah melakukan usaha terbaik ke arah itu dan persidangan berkenaan akan menjadi platform untuk berkongsi pengalaman dan idea," katanya kepada Bernama di sini.

CABARAN MALAYSIA

Dasar kerajaan sejak Rancangan Malaysia pertama dan kedua yang memberi keutamaan bagi meningkatkan tahap kesihatan masyarakat terutama kawasan kampung dan pedalaman telah menyaksikan banyak kemudahan kesihatan dibina antaranya klinik desa, klinik bidan dan hospital.

Ia menjadi satu agenda negara yang mana tidak banyak negara di dunia terutama negara yang sedang membangun melaksanakannya. Ini kerana ia melibatkan kos dan peruntukan yang tinggi untuk membangunkan kemudahan dan perkhidmatan berkenaan.

"Apa yang kita lakukan sejak dahulu, bukan sahaja wanita perlu pergi ke klinik untuk pemeriksaan berkala ketika mengandung, sebaliknya jururawat turut datang ke rumah menjalankan pemeriksaan kepada ibu yang baru bersalin.

"Kemudahan yang disediakan lengkap untuk meningkatkan tahap kesihatan ibu dan anak," katanya.

Selain itu, bersesuaian dengan keadaan dan keperluan semasa, perkhidmatan yang lebih 'mobile' turut disediakan melalui laluan darat, udara dan air untuk sampai ke kumpulan sasaran seperti kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

Contohnya, di beberapa kawasan Sabah dan Sarawak, perkhidmatan penghantaran doktor melalui pengangkutan udara dipraktikkan sekurang-kurangnya sekali atau dua kali sebulan.

Kaedah ini ternyata memberi manfaat sekurang-kurangnya kepada 100 penduduk kampung di kedua-dua negeri itu.

"Millenium Development Goal (MDG) menyasarkan peningkatkan kesihatan bersalin dengan menetapkan jumlah mengurangkan kematian kepada 11 orang bagi setiap 100,000 kelahiran pada tahun 2015.

"Untuk tempoh dua tahun sebelum sasaran itu, Malaysia akan meneruskan apa yang telah dilaksanakan sebelum ini dan akan cuba mengatasi kekangan dan cabaran bagi mencapai sasaran itu," katanya.

TINGKATKAN KESEDARAN

Jika dahulu, kekurangan ilmu pengetahuan antara masalah utama kematian ibu-ibu bersalin, namun dengan tahap pendidikan yang semakin tinggi ia bukan lagi menjadi kekangan utama.

Mengakui bukan mudah mencapai sasaran yang ditetapkan oleh MDG itu, Dr Safurah berkata kini tumpuan diberikan kepada masalah kecil terutama meningkatkan kesedaran ibu.

Kebanyakan kes kematian ibu bersalin disebabkan komplikasi kesihatan yang dialami seperti masalah darah tinggi, jantung dan seumpama yang kadangkala tidak diketahui oleh ibu.

"Kita faham, apabila berkahwin sudah tentu ingin membina keluarga dengan melahirkan zuriat sendiri. Jadi mereka yang mempunyai masalah kesihatan lebih awal patut dinasihatkan supaya tidak mengandung. Namun itu bukan perkara yang mudah," katanya merancang keluarga bukan bermakna menghadkan jumlah kelahiran.

Oleh itu, Kementerian Kesihatan menyasarkan kepada ibu-ibu yang dikenalpasti menghadapi masalah dan komplikasi kesihatan untuk merancang keluarga terutama dengan menjarakkan tempoh mengandung sekurang-kurangnya dua tahun.

Ini bagi memastikan badan dapat berehat secukupnya serta dapat menumpukan kepada penyusuan bayi sekurang-kurangnya enam bulan secara eksklusif.

"Kerana itu ibu-ibu perlu mengenalpasti masalah kesihatan yang dihadapi lebih awal dengan membuat pemeriksaan di hospital.

"Mereka perlu datang membuat pemeriksaan pada usia 12 minggu atau tiga bulan setelah tidak datang haid untuk pemeriksaan berkala sehingga bersalin," katanya.

Langkah itu penting agar doktor dapat memantau keadaan kesihatan mereka dengan lebih dekat terutama memberi khidmat nasihat apa yang perlu dan tidak boleh dilakukan serta pemakanan yang sesuai untuk memastikan kesihatan mereka.

Selain itu, pihak hospital juga perlu memaklumkan kepada klinik berdekatan untuk ibu datang membuat pemeriksaan susulan selepas bersalin.

Ia turut diparktikkan bukan sahaja di hospital kerajaan malah hospital swasta, katanya.

PERSIDANGAN

Tiga tema akan dibincangkan pada persidangan kali ini, yang melibatkan 5,000 perwakilan dari 150 buah negara, iaitu wanita, keperluan yang belum dipenuhi bagi perancangan keluarga dan Rangka Kerja Pembangunan Pasca 2015.

Bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (PICC) akan disertai penceramah hebat seluruh dunia antaranya Melinda Gates yang merupakan pengasas bersama Yayasan Bill & Melinda Gates, bekas Presiden Chile, Michelle Bachelet dan Puteri Mahkota Mette-Marit dari Norway.

Penceramah lain ialah anggota Parlimen Kemboja MuSochua, Anuradha Gupta dari Kementerian Kesihatan India dan Gita May dari Kementerian Kesihatan Indonesia.

Women Deliver adalah pertubuhan yang tidak bermatlamatkan keuntungan serta memberi fokus kepada kesihatan wanita. Ia menjadi forum berpengaruh untuk memperjuangkan kepentingan kanak-kanak perempuan dan wanita pada tahun-tahun mendatang.

Negara yang akan mengambil bahagian termasuk 10 buah negara yang menyatakan komitmen pada Sidang Perancangan Keluarga London iaitu Ghana, Indonesia, India, Benin, Afrika Selatan, Ethiopia, Tanzania, Rwanda, Senegal, Burkina Faso, Niger dan Nigeria.

Turut diadakan ialah pameran yang disertai lebih 100 pempamer sepanjang persidangan berlangsung.

Dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, Sekreteriat Persidangan akan turut menganjurkan lawatan tapak untuk pelbagai peserta termasuk media.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Women Deliver, boleh melayari laman sesawang www.womendeliver.org.



-- BERNAMA

Kelantan Mara Ke Final Piala FA

KUALA TERENGGANU, 28 Mei (Bernama) -- Kelantan mara ke final Piala FA 2013 walaupun kalah 4-2 kepada Terengganu pada separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, Selasa.

Kelantan layak dengan agregat 6-5 selepas mereka mencatatkan kemenangan 4-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, Sabtu lepas.

Satu lagi perlawanan separuh akhir kedua antara Pahang dan Johor Darul Takzim (Johor DT) akan berlangsung di Stadium Darulmakmur, Kuantan, pada pukul 8.45 malam ini.

Johor DT menang 1-0 pada separuh akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu lepas.

-- BERNAMA

Tuesday 21 May 2013

Nekad berhenti merokok

ARKIB : 21/05/2013

 
 
Soumitra Sen (kiri) dan Dr. Lokman Hakim Sulaiman (tiga dari kiri) pada pelancaran Program Kempen Berhenti Merokok anjuran Glaxo Smith Kline di Kuala Lumpur, baru-baru ini. 
 
KEMPEN mungkin satu cara dan medium terbaik untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap rokok. Apatah lagi jika alat kempen yang digunakan itu tepat dan betul, jadi tidak mustahil menjadi pencetus kepada seseorang yang hendak berhenti merokok.
Seperti semua sedia maklum merokok memang tidak mendatangkan apa-apa kebaikan malah kemudaratan pada tubuh manusia.
Seperti yang diperkatakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Bahagian Kesihatan Awam, Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman, rokok menyumbang kepada lima juta kematian setiap tahun.
"Bahan nikotin yang ada dalam rokok merupakan substans yang mempengaruhi ketagihan yang tinggi, malangnya untuk memberi amaran kepada orang awam tentang bahaya rokok memang tidak mudah, ia memakan masa yang panjang.
"Ironinya rokok merupakan satu-satunya produk yang 'halal' dijual tapi sebenarnya 'membunuh'.
"Sementara itu syarikat pengeluar rokok pula sanggup menghabiskan berjuta ringgit setiap tahun untuk menambah jumlah perokok sekali gus seolah-olah menegah perokok tegar untuk berhenti," jelasnya pada majlis pelancaran kempen Berikrar Berhenti Secara Tepat di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau berkata, di negara ini penggunaan tembakau dalam kalangan rakyat Malaysia adalah menjangkau 48.8 peratus dalam golongan lelaki manakala 1.9 peratus adalah perokok wanita.
"Walaupun tiada statistik tertentu untuk remaja, tapi diyakini kadar perokok remaja meningkat setiap tahun.
"Menerusi kajian yang dinamakan Global Youth Tobacco Survey (GYTS), remaja berusia 13 hingga 15 tahun dilaporkan merokok dan keputusan pada satu kaji selidik dalam kalangan orang dewasa pula mendapati 43.9 peratus lelaki manakala satu peratus wanita menggunakan tembakau.
"Setakat ini Malaysia mempunyai beberapa pendekatan komprehensif untuk mengawal pengeluaran tembakau.
"Bermula tahun 2004 Kementerian Kesihatan Malaysia telah memulakan kempen Tak Nak yang menumpukan kepada perokok dan juga mereka yang ada di sekeliling perokok," jelas Lokman Hakim.
Baru-baru ini, syarikat Glaxo Smith Kline (GSK) telah melancarkan kempen Berikrar Berhenti Secara Tepat bagi meneruskan misi untuk membantu rakyat Malaysia berhenti merokok.
Kempen bertujuan mengumpul ikrar yang menyokong negara ini menjadi negara bebas rokok dan berkongsi maklumat tentang cara berhenti merokok yang tepat.
Aktiviti yang dilakukan semasa siri jelajah kempen berkenaan yang pertama seumpamanya ini dibentuk bukan sahaja untuk perokok yang benar-benar ingin berhenti, tetapi juga ditujukan kepada rakyat Malaysia yang inginkan persekitaran yang bebas rokok.
Begitu juga untuk ahli farmasi yang akan diundang untuk mendidik pelanggan mereka mengenai penggunaan alat bantuan berhenti merokok secara komprehensif.
Selain itu, kempen ini juga bertujuan membantu perokok merancang cara-cara berhenti merokok, mempelajari cara-cara menjauhi diri dari rokok selama-lamanya menerusi bantuan nasihat, produk terapi penggantian nikotin (NRT), dan Program Sokongan Perilaku (BSP) GSK yang unik.
Kempen seperti ini yang kini sudah berada dalam tahun ketiga, menunjukkan daya usaha GSK yang berpanjangan untuk membantu rakyat Malaysia berhenti merokok, dengan sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Kajian kami menunjukkan bahawa ramai perokok mempunyai keinginan untuk berhenti, tetapi tidak mengambil langkah yang mantap disebabkan kekurangan pengetahuan tentang kaedah pemberhentian merokok atau takut gagal.
"Menerusi kempen ini, kami menggabungkan unsur-unsur penting yang dapat mempertingkatkan kadar kejayaan, seperti memperoleh khidmat nasihat daripada Pengkhidmat Nasihat Pemberhentian Merokok Bertauliah (CSCSP) di farmasi, memperkuatkan sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan.
"Kempen ini juga menggunakan sistem yang teruji seperti rancangan berhenti merokok 3-langkah 12-minggu dengan NiQuitin, produk bantuan berhenti merokok kami yang berasaskan terapi pengganti nikotin," kata Soumitra Sen, Pengarah Pemasaran Kawasan Asia - Kesihatan, GSK.
Menurutnya, ramai perokok pernah terfikir untuk berhenti dan pihaknya ingin mendorong lebih ramai mengambil langkah bukan sahaja untuk cuba berhenti, tetapi untuk berhenti dengan berjaya menggunakan kaedah-kaedah yang tepat.
"Menerusi kempen ini, ikrar yang dikumpulkan akan mendorong mereka, kerana kali ini, mereka tahu bahawa seluruh negara menyokong hasrat mereka ingin bebas dari rokok.
"Melalui roadshow kami dengan kerjasama radio cruiser Era FM dan My FM, kami berharap untuk menerima ribuan ikrar, daripada perokok yang sedang mempertimbangkan niatnya atau merancang untuk berhenti dan daripada orang ramai yang menyokong keinginan untuk bebas merokok daripada bergantung pada rokok," tambah Sen.

--- UTUSAN MALAYSIA

Sunday 19 May 2013

Jangkitan HIV tunjuk peningkatan mendadak


PUTRAJAYA 19 Mei - Trend jangkitan virus HIV melalui hubungan seksual di negara ini menunjukkan peningkatan mendadak sejak 2011 berbanding jangkitan melalui suntikan dalam kalangan penagih dadah.

Setiausaha Kehormat Majlis AIDS Malaysia (MAM), Hisham Hussein berkata, trend membabitkan hubungan kelamin itu begitu membimbangkan biarpun secara keseluruhannya jumlah statistik jangkitan HIV mengalami penurunan.

"Hubungan seks tidak selamat tanpa menggunakan kondom merupakan salah satu sebabnya, jadi kalau kita tidak banteras jumlah itu akan naik mendadak sehingga tindakan tertentu terpaksa diambil seperti pemberian suntikan percuma kepada penagih sebelum ini.

"Oleh itu, sekarang kita perlu cakap pasal trend jangkitan HIV, jangan cakap pasal jumlah jangkitan. Perlu buat pencegahan dan pendidikan awal untuk beritahu kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sambutan Hari Memperingati AIDS Sedunia di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Insan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Razali Shihabuddin.

Seramai 300 wakil-wakil agensi kerajaan yang terlibat dalam aktiviti pencegahan HIV, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam sekitar Lembah Klang serta Selangor menghadiri program anjuran Jakim, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan kerjasama MAM itu.

Para peserta turut didedahkan dengan kupasan isu mengenai AIDS melibatkan ahli panel yang terdiri daripada Ketua Penolong Pengarah Jakim, Mohd. Zamri Mohd. Shapik; Presiden Kumpulan Sokongan Komuniti Positive Warrior, Mohamad Wahid dan Selebriti Sokongan Riben Merah MAM, Fahrin Ahmad.

Hisham berkata, kurangnya pendidikan berhubung penularan jangkitan HIV melalui hubungan seksual itu di kalangan rakyat negara ini terutamanya melibatkan golongan muda menyumbang kepada risiko jangkitan.

Beliau memberi contoh, mengenai gaya kehidupan golongan muda dalam lingkungan umur 20 sehingga 30 tahun yang kerap bertukar pasangan sebelum mereka mengambil keputusan mengakhiri zaman bujang.

"Tindakan tersebut hanya mendatangkan risiko kepada pasangan masing-masing setelah berkahwin biarpun mereka tidak pernah terlibat dengan aktiviti melanggan pekerja seks sebelum ini.

"Jelas di sini, persepsi mereka berbeza dan pendidikan sangat diperlukan. Pendidikan amat perlu untuk jelaskan bagaimana HIV boleh menular melalui cecair badan melibatkan darah, air mani, air faraj dan susu ibu," katanya.

Pada masa sama, beliau meminta orang ramai agar tidak takut untuk menjalani ujian HIV kerana langkah itu dapat mengurangkan risiko jangkitan daripada terus menular.

"Kalau kita tahu cepat, kita boleh sekat virus HIV daripada merosakkan badan dengan ubat khas, dan ini membolehkan badan jadi kuat.

"Memang penyakit ini tidak boleh disembuhkan tetapi ia boleh dirawat," katanya.

Sementara itu, Razali menasihatkan orang awam tidak meminggirkan pesakit dan komuniti HIV kerana tindakan tersebut hanya menambah bebanan dan tekanan yang dialami mereka.

Saturday 4 May 2013

KENALI BATUK KOKOL|RAWATAN UNTUK PENYAKIT BATUK KOKOL


LENDIR yang tidak disedut boleh mengakibatkan kanak-kanak sukar bernafas.

SEMUA orang pernah batuk. Kita batuk kerana sakit tekak, debu, asap rokok, selesema, jangkitan pada saluran pernafasan atau atas banyak lagi sebab. Oleh kerana itu kebanyakan kita sering menganggap batuk adalah sesuatu yang biasa dalam kehidupan seharian.
Namun, ramai yang tidak sedar ada beberapa jenis batuk yang jika tidak disusuli dengan rawatan boleh mengundang maut terutamanya jika ia menyerang kanak-kanak atau bayi.

Salah satu jenis batuk yang wajar menjadi perhatian ibu bapa ialah batuk kokol atau disebut jugawhooping cough.

Berpunca daripada sejenis bakteria bordetella pertussis lazimnya batuk kokol akan bermula dengan sindrom selesema biasa yang disertai batuk. Sebelum ia disahkan sebagai batuk kokol, anak anda akan diserang batuk yang lebih teruk hingga menyebabkan dia sukar bernafas.

Untuk mengesan lagi keadaan itu, anda akan terdengar bunyi whoop ketika anak itu sedang menarik nafas. Keadaan ini berbahaya untuk bayi hingga boleh membawa maut kerana bayi tidak tahu membuang lendiran yang menyekat pernafasan dan menyedut udara.

Kerana itu, kematian disebabkan batuk kokol pernah dicatatkan sebelum ini terutamanya di negara-negara miskin seperti benua Afrika. Malah, jika batuk kokol dalam kalangan bayi dan kanak-kanak tidak diatasi segera sebanyak 20 peratus daripada mereka biasanya mendapat radang paru-paru (pneumonia).

Adakalanya selepas kerap batuk, anak akan muntah. Lebih malang lagi, keadaan itu boleh berlanjutan sehingga lebih dua bulan. Justeru, bagi mengelak anak daripada terkena jangkitan kedua selepas batuk kokol, pastikan anak anda mendapatkan suntikan imun daripada doktor untuk penyakit berjangkit itu.

Tindakan segera

Untuk perhatian ibu bapa juga, jika anda mengesyaki anak anda menghidap batuk kokol, jangan biar dia pergi ke sekolah atau tadika sebelum membawanya berjumpa doktor terlebih dahulu.

Sementara mendapatkan rawatan daripada doktor, ketika anak anda mengalami serangan batuk yang berterusan, dudukkan anak dan pegang anak supaya badannya menjengah sedikit ke depan.

Pastikan mangkuk yang disediakan untuk memudahkan anak muntah itu dekat dengan mulut supaya tidak berlaku jangkitan terhadap kanak-kanak lain.

Selain itu, jika anak anda muntah selepas serangan batuk, beri dia sedikit makanan dan minuman. Ini akan mengembalikan semula tenaganya.

Ini kerana, ketika anak anda sedang menghidap penyakit itu dia akan mudah letih. Selain itu, jangan biarkan anak anda bergerak lebih aktif kerana ia mungkin akan memudaratkan kesihatannya.

Rawatan untuk jangkitan itu adalah dengan memberi antibiotik. Biasanya pegawai perubatan akan menyediakan dos itu mengikut keperluan anak yang sedang dijangkiti.

Namun, diagnosis batuk kokol sukar dilakukan semasa peringkat permulaan jangkitan walaupun hakikatnya ubat yang perlu diambil lebih berkesan jika diambil pada peringkat awal.

Selain itu, jangan beri anak anda sebarang ubat batuk tanpa nasihat doktor.

Selain ubat, doktor mungkin akan melakukan sapuan tekak untuk membuat diagnosis batuk kokol kerana bayi jarang sekali menghasilkan bunyi whoop.

Doktor akan melakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa dan jika penyakit itu masih teruk, pakar perubatan akan mengesyorkan bayi dimasukkan ke hospital untuk mengelak berlakunya penyahhidratan.

 http://www.mummynemo.com/2012/01/kenali-batuk-kokolrawatan-untuk-penyakit-batuk-kokol/#more-15065

Botox (Toksin Botulinum)


Toksin Botulinum merupakan sejenis toksin yang dihasilkan oleh bakteria Clostridium botulinum. Sebanyak 7 jenis toksin botulinum telah dikenalpasti, iaitu jenis A, B, C (C1, C2), D, E, F dan G. Sindrom Botulisme akan berlaku sekiranya seseorang termakan makanan yang telah dicemari bakteria berkenaan. Sindrom tersebut juga boleh berlaku akibat daripada kolonisasi oleh bakteria dalam sistem penghadaman bayi, ataupun daripada jangkitan pada luka. Sindrom Botulisme pada manusia biasanya disebabkan oleh bakteria jenis A, B, E, dan kadang-kala F; manakala jenis C and D hanya akan membawa kesan kepada binatang sahaja.
Botox® adalah jenama bagi produk toksin botulinum jenis A yang dihasilkan oleh bakteria Clostridium botulinum. Toksin yang terdapat dalam produk tersebut telah mengalami proses penulenan. Walaupun toksin tersebut akan menyebabkan keracunan dalam kuantiti besar, namun sekiranya diberi dalam kuantiti yang kecil melalui injeksi secara terus ke otot-otot tertentu dalam badan, Botox® menghalang isyarat kimia melalui saraf yang menyebabkan otot mengecut. Apabila ini berlaku, otot tersebut tidak dapat mengecut, kedutan tidak akan terbentuk dan permukaan kulit nampak lebih licin.

Di Malaysia, Botox® boleh digunakan untuk merawat beberapa jenis masalah kesihatan seperti:-
  • Masalah neurologikal yang menyebabkan penegangan otot leher dan bahu yang serius
  • Masalah spastik akibat daripada kecederaan pada sistem saraf tunjang seperti strok dan cerebral palsy
  • Kedut pada permukaan kulit di antara bulu kening
  • Peluh berlebihan
Botox® diberi melalui rawatan injeksi oleh pakar perubatan. Injeksi tersebut disuntik ke dalam otot yang terlibat untuk merawat masalah penegangan otot dan kedut. Manakala untuk merawat masalah peluh berlebihan, ubat tersebut disuntik ke dalam kulit.

Dos, bilangan injeksi, bahagian badan yang akan disuntik, dan kekerapan rawatan yang diperlukan bergantung kepada keadaan pesakit dan respons setiap individu selepas menerima rawatan tersebut. Bagi kebanyakan kes, kesan rawatan akan mula kelihatan dalam tempoh beberapa hari hingga 2 minggu, dan kesan tersebut akan kekal untuk tempoh lebih kurang 3 hingga 6 bulan.

Kesan sampingan yang mungkin berlaku semasa/setelah menerima injeksi toksin botulinum adalah rasa sakit semasa menelan (dysphagia), kesulitan bertutur (dysphonia), keletihan, dan kesusahan bernafas. Kesan sampingan lain yang mungkin, tetapi jarang berlaku adalah keresahan, sakit belakang, demam, selsema, sakit leher, ruam kulit, dan sebarang perubahan yang boleh dilihat pada permukaan kulit. Laporan kesan advers mendapati bahawa sesetengah kesan sampingan akan timbul sehari selepas menerima rawatan dan ada juga yang hanya timbul beberapa minggu setelah menerima rawatan.

Sekiranya anda mengalami sebarang kesan sampingan yang serius ataupun berlanjutan, sila hubungi doktor ataupun ahli farmasi anda dengan segera.

Pada September 2005, satu kertas kerja telah diterbitkan dalam Journal of American Academy of Dermatology, FDA melaporkan terdapat 28 kes kematian berkaitan dengan penggunaan Botox® telah berlaku antara 1989 hingga 2003. Namun, kes-kes kematian tersebut bukanlah disebabkan oleh penggunaan untuk tujuan kosmetik. Pada 8 Februari 2008, FDA telah mengumumkan bahawa penggunaan Botox® "ada kaitan dengan beberapa kes kesan advers termasuklah kegagalan sistem pernafasan dan kematian, berikutan penerimaan pelbagai rawatan dan dos berlainan". Kes tersebut berlaku kerana ubat ini boleh menyerap ke bahagian badan lain selain daripada bahagian otot/kulit yang menerima injeksi. Terdapat juga beberapa kes kematian yang berhubung kait dengan penggunaan Botox® palsu.

Botox® mestilah digunakan dengan nasihat doktor sahaja. Produk ini boleh membahayakan jika disalahgunakan. Pastikan doktor yang berkelayakan dalam bidang perubatan dermatologi, telinga, hidung dan tekak (otolaryngology) ataupun surgeri plastik dan doktor tersebut mempunyai pengalaman dalam memberikan rawatan Botox®.

Doktor yang bertauliah dapat memberikan nasihat berkenaan dengan prosedur terlibat dan dapat menentukan sama ada produk tersebut adalah sesuai untuk kegunaan dan kesihatan anda.

Kini terdapat dua jenis produk toksin botulinum yang telah berdaftar di Malaysia, iaitu Botox® dan Dysport®, masing-masing mempunyai nombor pendaftaran MAL19970915A dan MAL20000731A. Kedua-dua jenis produk tersebut mengandungi toksin botulinum jenis A. Pada Januari 2008, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan telah menerima laporan kesan advers ubat (ADR) di mana pesakit mengalami demam dan kesusahan bernafas lima jam selepas menerima injeksi Dysport®.

Sebelum menggunakan ubat ini, anda perlu memaklumkan kepada doktor atau ahli farmasi anda mengenai semua ubat dan produk kesihatan herba yand sedang diambil, terutamanya sesetengah ubat antibiotik, ubat cair darah, ubat untuk penyakit Alzheimer's, ubat untuk myasthenia gravis dan quinidine.

Kebelakangan ini, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi telah menjalankan pemeriksaan secara berkala terhadap premis tertentu untuk memastikan produk toksin botulinum yang digunakan adalah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Malaysia.

Sesiapa yang didapati melanggar undang-undang boleh didakwa bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dengan denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.
Semakan akhir : 20 April 2012
Penulis : Debbie Sim Sook En
Penyemak : Hairanie bt. Sa'ban

Kesan pengawet dalam makanan


  Oleh: Dr. Rahmat Awang

Sumber: Utusan Malaysia
   
 

Pengawet adalah salah satu daripada bahan tambahan yang dimasukkan ke dalam makanan. Bahan-bahan tambahan lain termasuklah pewarna, perasa, ejen pengemulsi dan ejen penstabil.

Semua bahan ini digunakan untuk tujuan membuat makanan tahan lama di samping lebih menarik dan enak rasanya.

Perbincangan hari ini ialah mengenai penggunaan dua bahan pengawet asid benzoik serta nitrat dan nitrit kepada manusia.

Tujuan penggunaan bahan pengawet adalah untuk mengurangkan atau mencegah pertumbuhan mikroorganisma seperti bakteria, kulat dan ragi.

Pengawet berupaya mencegah pertumbuhan mikroorganisma yang mengakibatkan makanan berbau busuk dan basi.

Namun demikian penggunaan bahan pengawet ini tidak selalunya selamat terutama sekali jika digunakan dalam kuantiti yang berlebihan.

Ini berlaku seperti mana yang dilaporkan baru-baru ini apabila bahan penggunaan itu digunakan berlebihan dalam cili boh dan sos cili.

Pengawet asid benzoik:
Asid benzoik boleh didapati secara semula jadi, tetapi biasanya disediakan secara sintetik. Ia digunakan sebagai pengawet dalam beberapa sediaan makanan yang tidak tahan lama seperti jam, sos dan cili boh.

Ini adalah kerana asid benzoik mempunyai keupayaan untuk bertindak sebagai ejen antibakteria dan antikulat.

Asid benzoik juga didapati dalam pelbagai bentuk seperti natrium benzoat, kalium benzoat atau kalsium benzoat, atau bentuk benzoat yang lain seperti para- hidroksibenzoat.

Garam-garam ini juga digunakan sebagai pengawet dan penggunaannya sepatutnya tercatat pada label dibekas bahan-bahan makanan.

Misalnya, garam natrium benzoat digunakan dalam marjerin, minuman ringan, kicap dan sos daging panggang.

Kerengsaan

Apabila digunakan secara berlebihan, pengawet seperti asid benzoik boleh menyebabkan kerengsaan perut.

Ada juga laporan yang menujukkan bahawa ia boleh menjejaskan sistem saraf.

Bagi mereka yang mengalami lelah atau pun yang mempunyai penyakit ruam kulit (seperti jenis urtikaria dan ekzema) bahan pengawet seumpama ini boleh memburukkan lagi keadaan.

Para-hidroksi benzoat boleh menyebabkan rasa kebas di mulut.

Bagi seseorang yang alah kepada pewarna-pewarna tiruan yang umumnya disebut sebagai pewarna jenis azo (seperti tartazin), kemungkinan besar ia akan mengalami alahan terhadap pengawet kumpulan benzoat.

Begitu juga bagi mereka yang alah kepada ubat aspirin, memandangkan ketiga-tiga bahan ini berkaitan dari segi struktur kimianya.

Pengawet nitrat dan nitrit:
Satu lagi jenis pengawet yang boleh menimbulkan masalah adalah daripada kumpulan nitrat dan nitrit ataupun bentuk garamnya (garam kalium dan natrium).

Pengawet jenis ini sering kali digunakan untuk hasilan makanan yang diperbuat daripada daging.

Tujuan pengawet ini digunakan adalah untuk mencegah pertumbuhan mikroorganisma seperti bakteria.

Clostridium botulinum boleh menyebabkan keracunan yang dipanggil botulisme yang membawa kematian.

Namun demikian, pengawet nitrit boleh mengakibatkan beberapa kesan yang tidak diingini seperti rasa mual, muntah-muntah, pening kepala dan tekanan darah menjadi rendah.

Di dalam perut terdapat sebahagian kecil nitrit, ia boleh membentuk nitrosamina yang diketahui menyebabkan kanser pada haiwan ujian.

Bagi bahan pengawet nitrat pula, kesakitan pada bahagian perut boleh berlaku di samping muntah-muntah, lemah otot serta kadar nadi tidak menentu.

Pengawet nitrat boleh bertukar menjadi nitrit apabila makanan ini basi ataupun oleh bakteria di dalam perut yang kemudiannya boleh menghasilkan nitosamina.

Awas Semasa Membeli Makanan:
  • Jika boleh dapatkan bahan makanan segar. Kerana ia tidak mengandungi bahan tambahan atau pengawet.
  • Apabila membeli produk yang diproses, pastikan kandungan bahan tambahan yang terdapat di dalamnya.
  • Sedapat mungkin pastikan bahan tersebut adalah dalam sukatan yang dibenarkan.
  • Pastikan tarikh luput makanan. Ikut cara penyimpanan makanan yang betul.

APA ITU PENYAKIT BUASIR





As-Salam,Seluruh dunia . Kali ini aku nak memberi info mengenai Buasir. Penyakit buasir ni atau Hemmoroid iaitu penyakit yang boleh terjadi dibahagian dubur. Ia terjadi bila saluran darah venus (veins) yang mengembang dan bengkak di sekitar dubur (rektum dan anus). Ada dua jenis buasir yang utama iaitu :

Buasir Luar. Ia berlaku di bawah kulit, betul-betul di luar pembukaan dubur. Ia mungkin akan menyebabkan sakit dan rasa gatal, terutamanya semasa pembuangan air besar. Buasir jenis ini agak lembut (jika dipegang dengan tangan). Ia selalunya berbentuk bulat, berwarna purple.

Buasir Dalam. Buasir jenis ini berlaku di bahagian dalam rektum. Selalunya buasir jenis ini tidak sakit. Penderita buasir jenis ini hanya akan menyedari masalah yang menimpanya bila terdapat darah yang keluar dari duburnya.
Sesetengah pesakit mengalami buasir dan luka (anal fissures) manakala sesetengahnya hanyamenderita akibat anal fissures tersebut. Thrombotic haemorrhoids (sekiranya darah di dalam saluran venus yang membengkak ini menjadi beku), pesakit mungkin akan mengalami pendarahan (tidak kira sama ada buasir dari jenis dalaman atau luaran). Sakit yang dialami oleh penderita thrombotic haemorrhoids ini selalunya menjadi semakin teruk bila adanya irritasi atau pertambahan tekanan (contohnya bila batuk).

Kebiasaan tanda-tanda awal ia sewaktu kita meneran ataupun  korang bagi tekanan semasa membuang air besar. Sehinggakan rasa sangat sakit kalau nk keluar. Jadi, buasir ni adalah pembengkakan sel-sel pada melapisi saluran dubur itu. jadi, bila sudah membengkak, tahi nak keluar akan bergesel dengan buasir ni. jadi, memang sakit dan perit yg amat sangat.Buasir ni ada 4 peringkat, jika ada tanda-tanda macam kat bawah ni, korang boleh jumpa Doktor cepat-cepat untuk mengelakkan berlarutan ;
 
Tahap 1
Berlaku pendarahan dan bengkak menonjol keluar.
Tahap 2
Disebabkan oleh pergerakan usus, bengkak akan keluar tetapi secara spontan akan masuk balik kat dubur tu.
Tahap 3
Keadaan yang sama seperti tahap dua, tetapi bengkak tersebut akan hanya berada di dalam setelah ditolak masuk secara fizikal, maknanya korang kena la tolak guna jari,memang sakitlah sikit.sebaiknya gunakan Minyak But but  keluaran HPA dan lain- lain. 
Tahap 4:
Darah pekat keluar, menyebabkan rasa sakit dan susah untuk meneran. Buasir akan berada di luar kawasan dubur. Memang sakit dan perlu  dibedah kalau dah macam nie.

FAKTOR-FAKTOR PENYEBAB BUASIR

1. Regangan yg optimum/terlampau semasa pergerakan usus atau dalam bahasa mudahnya perut korang rasa macam dipulas-pulas.
2. Cirit birit kronik. memang selalu keluar masuk tandas.
3. Kurangnya pengambilan makanan berserat dalam diet harian seperti sayur dan buah-buahan dan antara faktor- faktor lain adalah;


Tekanan (pressure)

Saluran darah venus di bahagian anus dan rektum adalah sangat sensitif terhadap tekanan. Pertambahan tekanan ini boleh menyebabkan buasir. Sebenarnya buasir hanya berlaku pada manusia sahaja kerana manusia secara azalinya berdiri di atas dua kaki. Ini memberikan tekanan kepada saluran venus di kawasan dubur sebanyak tiga kali ganda berbanding apa yang dialami oleh binatang-binatang lain yang berjalan menggunakan empat kaki.

Di samping itu, tekanan di dalam perut yang menyebabkan pertambahan tekanan di bahagian dubur juga adalah faktor utama berlakunya buasir.

Duduk atau berdiri dalam jangka masa yang terlalu lama


Orang yang selalunya terpaksa duduk atau berdiri dengan lama lebih berkemungkinan untuk mendapat penyakit ini. Berdiri akan menyebabkan berlakunya peningkatan dalam tekanan, menyebabkan saluran venus membengkak atau terkeluar. Sila lihat di atas.


Sembelit

Najis yang besar dan kering memerlukan teranan yang kuat untuk membuangnya. Ini menyebabkan berlakunya peningkatan tekanan pada salurang venus di bahagian dubur, menyebabkannya membengkak dan menjadi buasir. Sekiranya ada buasir dalaman pada masa tersebut, ia mungkin akan ditolak keluar.

Berat badan berlebihan

Berat badan berlebihan memberikan tekanan yang lebih kepada saluran venus.


Mengandung

Mengandung adalah penyebab utama buasir kepada wanita muda. Ia berlaku bila adanya tekanan yang meningkat disebabkan oleh rahim yang membesar. Di samping itu, bekalan darah wanita yang mengandung sememangnya meningkat lebih daripada biasa. Ini dengan sendirinya memberikan sedikit tekanan kepada saluran venus. Hormon yang hadir semasa wanita mengandung pula menyebabkan otot-otot menjadi lebih "relax", dan ini memburukkan lagi keadaan. Ditambah pula dengan fakta bahawa proses mengandung itu sendiri selalunya menyebabkan berlakunya sembelit. Wanita yang mengandung perlu meminum air yang banyak untuk membantu mengurangkan masalah ini.

Simptom-simptom penyakit buasir ini pula ;

1. Rasa sakit yang berdenyut-denyut , rasa gatal pada lubang dubur.

2. Pendarahan  berlaku selepas dan sebelum membuang air besar dan rasa kepanasan di situ.
3.Sukar untuk membuang air besar dan rasa tidak selesa pada bahagian dubur apabila berdiri lama atau bertinggung.

4.Kesakitan pada bahagian dubur menyebabkan pesakit akan mengalami perubahan di dalam corak membuang air besar.
 5. Darah menitis dan tersembur keluar dari saluran dubur.
  6. Dalam tempoh pendarahan ini, pesakit itu boleh mengalami kekurangan darah.

7. Ada yang tidak mengalami pendarahan, tetapi dikenali sebagai pembengkakan dubur.

Jika ada tanda-tanda penyakit buasir seperti yang dinyatakan, pesakit perlu memahami keadaan penyakit jika ingin mendapatkan ubat bagi merawat buasir. Namun demikian, sekiranya terdapat tanda-tanda tambahan seperti pendarahan, najis atau cairan terkeluar dengan sendirinya tanpa disedari, penyakit buasir yang terjadi berulangkali atau buasir yang tidak sembuh melalui pengubatan sendiri selepas seminggu, maka pesakit perlulah mendapatkan rawatan lanjut daripada doktor pakar. Ini kerana kemungkinan terdapat penyakit-penyakit yang lebih serius yang diakibatkan oleh buasir tersebut termasuklah:

1.  Nanah di kawasan dubur yang disebabkan oleh jangkitan bakteria.

2.  Luka pada saluran dubur yang disebabkan oleh nanah yang bocor.

3.  Kanser pada bahagian dubur yang dicirikan juga dengan sembelit, pendarahan dan kesakitan pada kawasan dubur.

4.  Ketumbuhan pada kawasan dubur.


KOMPLIKASI
Komplikasi yang terjadi akibat dari buasir jarang dilihat tetapi ia boleh terjadi dan ia merangkumi:
  1. Anemia : Kehilangan darah yang sangat banyak akan menyebabkan anemia(kurang darah merah).Oleh sebab itu kita akan cepat merasa letih dan lemah-lemah badan .
  2. Dalam sesetengah keadaan pesakit mengalami sakit yang teruk hingga menyebabkan tisu mati atau rosak(gangrene) .
Adakah buasir penyakit keturunan ?

Tidak ada bukti yang sahih menyatakan bahawa buasir adalah penyakit yang diwarisi. Bagaimanapun ada keluarga yang nampaknya lebih cenderung menghidap penyakit ini berbanding keluarga lain. Ini berlaku mungkin kerana pemakanan yang diamalkan oleh sesebuah keluarga tersebut.

Adakah buasir akan menyebabkan kanser ?

Buasir tidak menyebabkan kanser atau bertukar menjadi kanser. Haruslah diingat bahawa pendarahan di bahagian dubur mungkin bukan disebabkan oleh buasir sahaja. Pendarahan mungkin adalah sebagai tanda awal penyakit kanser usus. Adalah sangat mustahak untuk anda membuat pemeriksaan lanjut sekiranya berlaku pendarahan di bahagian dubur anda, atau bila anda mendapati najis anda menjadi merah atau hitam (darah telah bercampur dengan najis).


Pencegahan


Pemakanan yang sihat


Pemakanan yang sihat terutamanya yang mengandungi serat yang tinggi akan mengurangkan risiko berlakunya sembelit. 

Pengambilan ubat laxative

Ubat laxative terutamanya bulk laxative bertindak sama seperti pengambilan serat yang tinggi. Ia akan memudahkan pembuangan air besar tanpa perlu melakukan teranan yang kuat.


Senaman

Senaman yang kerap dan berjadual akan memberikan "tone" yang sihat kepada otot-otot yang berkaitan. Ini mengurangkan lagi risiko menghidap buasir. 

http://adanaberkat-petuaideadanpandangan.blogspot.com/2011/01/petua-merawat-buasir.html

Friday 3 May 2013

4 langkah gaya hidup sihat

Pastikan ada buah-buahan dan sayuran dalam sajian harian anda.
- Gambar hiasan
ADAKAH anda bangun tidur sebelum matahari terbit dan pulang ke rumah setelah terbenamnya matahari? Atau adakah anda sering bergegas dari satu mesyuarat ke mesyuarat yang lain setiap hari? Mungkin anda pernah mengalami situasi tersebut malah sering berulang.

Sebaik-baiknya, pencegahan terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, penyakit jantung, kanser dan sebagainya, harus dimulakan sejak kecil, namun masih belum terlambat untuk dimulakan sekarang. Jangan lagi bertangguh atau menunggu sehingga anda mengalami sakit dada baru anda mengambil berat tentang kesihatan. Mula amalkan pemakanan sihat dan kehidupan aktif sekarang.
Langkah 1 - Amalkan pemakanan sihat

Sarapan - Kajian saintifik membuktikan jika anda memulakan hari dengan sarapan yang seimbang, anda boleh fokus, meningkatkan tahap tumpuan, kepintaran dan daya ingatan.

Makan tengah hari - Jangan sesekali tinggalkan makan tengahari tidak kira sibuk manapun anda. Namun begitu, elakkan makan terlalu kenyang yang boleh menyebabkan anda berasa kembung, mengantuk dan tidak produktif.

Makan Malam - Sentiasa ingat untuk mengambil makanan yang seimbang, pelbagai dan tidak makan berlebihan. Pulang awal ke rumah untuk makan makanan yang dimasak di rumah dengan ahli keluarga.

Langkah 2 - Pilih makanan dengan bijak
a)Sentiasa memilih makanan yang disediakan dengan cara sihat seperti mengukus, membakar atau sup berbanding makanan bergoreng.

b)Pilih makanan rendah lemak, gula dan garam.

c) Pastikan ada buah-buahan dan sayuran dalam sajian harian anda 

d)Elakkan mengambil terlalu banyak kuah, kerana ia biasanya tinggi lemak dan garam.

e)Pilih makanan berasaskan bijirin penuh.

f) Pilih makanan tinggi serat.

g)Minum banyak air kosong dan elakkan minuman manis dan bergas.

Langkah 3 - Jadi lebih aktif dengan bersenam.

Langkah 4 - Pantau kesihatan anda

Rancang jadual pemeriksaan kesihatan anda secara berkala iaitu bulanan, suku tahun atau tahunan kerana anda perlu sentiasa mengetahui kedudukan tahap kesihatan anda. Anda juga boleh melakukan pemantauan diri sendiri seperti mengukur ketinggian dan berat badan supaya sentiasa dalam keadaan normal. 

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang maklumat pemakanan yang menarik, sertai kami di Karnival Bulan Pemakanan Malaysia 'Makan Dengan Betul, Jadi Aktif: Kekal Bebas Daripada Penyakit Berkaitan Diet' di Mid Valley Exhibition Centre (Hall 1) pada hari Jumaat dan Sabtu 3 dan 4 Mei 2013. Terdapat saringan kesihatan percuma, khidmat nasihat pemakanan oleh pakar pemakanan dan dietetik, aktiviti-aktiviti menarik dan banyak lagi. Jadi, bawa keluarga anda bersama dan sertai keriangan ini bermula jam 10 pagi.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my