UMAT Islam berada dalam minggu pertama Ramadan,
pesakit diabetes yang beragama Islam dinasihati mengambil langkah
berjaga-jaga untuk mengawasi paras gula darah mereka demi mengelakkan
hipoglisemia (paras gula darah yang terlalu rendah) pada siang hari dan
hiperglisemia (paras gula darah yang terlalu tinggi) pada waktu malam.
Oleh demikian, pesakit-pesakit diabetes yang ingin melaksanakan
ibadah puasa diminta terlebih dahulu mendapatkan nasihat daripada doktor
mereka.
Semasa berpuasa, risiko gula darah menurun ke bawah paras normal
adalah lebih tinggi daripada waktu biasa. Jika tanda-tanda hipoglisemia
timbul, anda harus mempertimbangkan berhenti puasa dan mengambil jus
buah-buahan ataupun satu sudu besar gula dengan segera. Lakukan ujian
paras gula darah anda jika telah berhenti puasa dan juga laporkan
sebarang ketidakselesaan ataupun keletihan yang dialami kepada doktor
anda.
Menurut Pakar Runding Endokrin Dr. Norashinah Datuk Kamarudin, pengawasan secara tetap terhadap paras gula darah adalah mandatori semasa bulan Ramadan.
"Pengukuran tahap gula darah sebaik-baiknya dijalankan pada awal pagi
sebelum puasa dan selepas Iftar dan Sahur. Bagaimanapun, anda adalah
dinasihati supaya berhenti puasa jika bacaan gula darah menurun ke bawah
paras sasaran yang sepatutnya pada waktu pagi dan tengahari," ujarnya
yang ditemui di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur.
Beliau menambah, umat Islam dengan penyakit kencing manis jenis 2
yang tidak memerlukan suntikan insulin biasanya dapat menjalankan ibadah
puasa tanpa sebarang masalah semasa Ramadan.
Pesakit-pesakit yang hanya memerlukan satu suntikan insulin biasanya
boleh berpuasa tanpa masalah besar tetapi mereka dinasihati berjumpa
doktor untuk mengetahui jenis insulin yang sesuai untuk mereka.
Semasa berpuasa, adalah penting untuk pesakit-pesakit mengenali
tanda-tanda hipo dan hipeglisemia, mengetahui cara-cara menangani
mereka, mengukur paras gula darah dengan cara yang tertentu, meminum air
yang cukup dan mengamalkan kesederhanaan dari segi pemakanan.
Di samping masalah-masalah yang tersebut di atas, terdapat satu lagi
perkara yang tidak kurang pentingnya iaitu mengetahui tentang
tanda-tanda ketoasidosis. Ketoasidosis adalah sejenis keadaan serius
yang mengancam nyawa dan ia berlaku apabila badan pesakit benar-benar
kekurangan insulin dan tahap gula darah menjadi terlalu tinggi.
HipoglisemiaTambah Dr. Norshinan, hipoglisemia
merujuk kepada keadaan apabila kandungan glukosa berkurangan dalam darah
dan berada di bawah paras normal.
"Tanda-tanda hipoglisemia termasuklah rasa gelisah dan tidak tentu
arah, lemah, teramat lapar, berpeluh, pucat, berdebar-debar,
menggeletar, denyutan nadi terlalu laju dan tidak sedarkan diri
sekiranya terlalu serius. "Pengetahuan mengenai tanda-tanda komplikasi
kesihatan ini sangat penting untuk difahami pesakit untuk mengelakkan
sebarang masalah serta komplikasi lebih teruk," ujarnya.
Siapa yang berisiko?Salah satu punca hipoglisemia
berlaku adalah ia ada kaitan dengan jenis ubat yang diambil oleh pesakit
untuk mengawal paras glukos dalam darah. Dua jenis ubat yang selalu
digunakan di hospital iaitu metformin dan sulfonylurea. Metformin yang
berfungsi memperbaiki paras glukos dalam darah tanpa merangsang
pengeluaran insulin mampu meminimumkan atau tidak mendatangkan risiko
hipoglisemia .
Sulfonylurea pula boleh menyebabkan risiko ketara hingga tercetusnya
hipoglisemia kerana ia merangsang pengeluaran insulin selagi berada
dalam badan.
Dr. Norshinah turut menasihatkan, seelok-eloknya sebelum menjalani
ibadat puasa, mereka yang berisiko khususnya pesakit diabetes berjumpa
dengan doktor supaya perubahan dos ubat dan insulin dapat dilakukan
mengikut keadaan kesihatan mereka.
No comments:
Post a Comment