HONG KONG - Para saintis berkata mereka telah mengambil antibodi
daripada seorang bekas pesakit demam denggi di Singapura yang boleh
mengatasi virus denggi.
Penemuan terbaharu itu dijangka boleh mengawal kes kematian akibat demam denggi.
Sehingga kini, masih belum ada penawar bagi demam denggi yang telah
menbunuh lebih 20,000 orang setahun terutama kanak-kanak. Pakar
perubatan setakat ini hanya mampu mengawal simptom penyakit tersebut.
Antibodi itu merupakan di antara 200,000 sampel yang diambil daripada
100 orang pesakit demam denggi yang telah pulih. Antibodi itu dilihat
mampu membunuh kuman virus denggi subjenis 1, jelas satu laporan yang
diterbitkan dalam jurnal Perubatan Sains Translasi.
Terdapat empat subjenis yang berbeza dalam virus denggi yang menyebabkan demam maut itu.
"Penemuan antibodi itu boleh membunuh virus denggi sebelum ia merebak
ke semua sel darah," kata salah seorang saintis penyelidikan, Lok
Shee-Mei.
Dalam satu penyelidikan menggunakan tikus sebagai subjek, para
pengkaji mendapati antibodi itu meliputi seluruh permukaan virus, sekali
gus menghalangnya dari terus merebak.
Berbanding beberapa penemuan lain, antibodi itu boleh membunuh lebih
banyak virus dan bertindak dengan pantas, kata seorang pensyarah Fakulti
Perubatan Universiti Kebangsaan Singapura, Paul MacAry.
Pasukan penyelidik itu juga akan berusaha untuk meningkatkan lagi
antibodi tersebut bagi mengatasi virus denggi subjenis 2, 3 dan 4.
Menurut MacAry, pasukan mereka telah menemui antibodi bagi subjenis 2 tetapi masih dalam proses ujian awal.
"Hampir 99 peratus kes denggi di Singapura melibatkan jenis 1 atau 2.
Maka dalam tempoh enam bulan hingga satu tahun, dua jenis antibodi akan
diperkenalkan untuk membantu pesakit demam denggi di Singapura,"
katanya. - Reuters