Tuesday 16 July 2013

Pendarahan dalam mata


AMD lembap adalah wabak senyap yang berlaku dalam kalangan mereka yang berumur 50 tahun ke atas. - Gambar hiasan 
 
PERISTIWA empat tahun lalu benar-benar menguji ketabahan arkitek berkaliber ini yang mula membayangkan apa yang akan terjadi padanya jika bergelar 'orang buta'.

"Ketika itu saya menghadiri majlis rumah terbuka seorang sahabat. Majlis tersebut berlangsung pada waktu malam dan ketika hendak menjamah makanan tiba-tiba mata saya begitu kabur. 

"Saya ke tandas untuk membasuh mata dan makin di basuh mata makin kabur dan gatal. Saya sangka mata dimasuki serangga tanpa menyangka ada sesuatu yang tidak kena," cerita Hoi Lam.
 
Kebetulan waktu itu musim perayaan dan kebanyakan klinik mata ditutup. Seminggu selepas kejadian baru klinik dibuka dan reaksi doktor yang terdiam selepas melakukan pemeriksaan mata, membuatkan Hoi Lam tahu ada sesuatu yang tidak kena.

"Doktor melakukan pemeriksaan selama 15 minit dan bertanya sama ada saya pernah jatuh atau terluka kerana dalam mata sudah berlaku pendarahan. 

"Saya dirujuk ke pakar mata. Barulah saya tahu yang saya kini menghidap penyakit mata yang dinamakan AMD lembap ," katanya dalam sesi berkongsi pengalaman pada majlis pelancaran Eylea, produk penjagaan mata oleh Bayer HealthCare di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Hoi Lam mengetahui penyakit itu memang sesuatu yang serius kerana jika tiada rawatan boleh menjadikannya buta. 

"Saya makin panik. Tiap kali bertemu doktor saya akan bertanya tidak adakah ubat bagi merawat penyakit ini. 

"Mata saya berdarah dan sangat teruk. Terasa panas dan amat tidak menyelesakan.

"Saya mula membayangkan perkara yang tidak baik, bagaimana saya sebagai arkitek boleh bekerja dengan mata yang buta. Ahli keluarga saya juga risau dengan apa yang saya alami," kata datuk kepada seorang cucu perempuan ini.

Seterusnya rawatan demi rawatan dilakukan, mujurlah, mata Hoi Lam dapat diselamatkan.

Nasihat Hoi Lam kepada pembaca agar berjumpa doktor pakar mata bila ada kelainan pada mata dan jangan berpuas hati dengan ujian melihat nombor sahaja.

Sebaliknya, minta doktor melakukan pemeriksaan terhadap mata secara terperinci.
Boleh dicegah, dirawat

Memang ramai yang mengalami AMD lembap yang faktor utamanya adalah berpunca daripada peningkatan usia. 

"Lazimnya, apabila sudah ada pendarahan pada mata barulah pesakit rasa risau dan mula berjumpa doktor. Namun pada keadaan ini, mungkin sudah terlambat.

"Dianggarkan kira-kira dua juta rakyat Malaysia mengalami AMD jenis kering dan ramai yang tidak sedar mereka sedang mengalaminya. 

"Untuk AMD lembap pula kira-kira 150,000 orang sedang menanggungnya. Apa yang menyedihkan mereka hanya berjumpa doktor apabila sudah tidak nampak," ujar Dr. Kenneth Fong Choong Sian, pakar perunding oftalmologi dan bedah vitreoretina dari Pusat Perubatan Sunway, Petaling Jaya.
Antara simptom AMD lembap ialah kekaburan, penurunan kualiti pemandangan mata tengah, kurang kepekaan warna, tidak boleh melihat imej dengan tepat, scotoma, imej berbayang dan tidak boleh melihat pada waktu malam.

"AMD lembap adalah wabak senyap yang berlaku dalam kalangan mereka yang berumur 50 tahun ke atas. Penyakit mata progresif dan kronik ini merupakan punca utama buta yang boleh dicegah dalam kalangan golongan berumur," jelasnya.

Tambah Dr. Choong Sian, masih ramai di kalangan masyarakat yang tidak menyedari tentang AMD lembap dan gejalanya. 

Lebih malang, mereka melengahkan langkah untuk mendapatkan rawatan kerana tidak menyedari bahawa mereka boleh kehilangan penglihatan dalam masa tiga bulan.

"Pesakit AMD lembap selalunya tidak dapat membaca dan menulis dengan baik serta sukar melakukan kerja rumah. Mereka juga sukar mengenali wajah dan objek. 

"Penyakit ini memang mengganggu emosi pesakit. Walau apa pun puncanya, buta menyebabkan kualiti hidup merosot teruk," tambah Dr. Choong Sian.

Saluran darah tidak normal

AMD lembap berlaku apabila saluran darah tidak normal mula tumbuh di bawah makula, iaitu di bawah retina.

Saluran darah baru ini boleh bocor dan melelehkan darah atau bendalir, meninggalkan parut dan mengaburkan penglihatan pusat seseorang. 

Semakin lama salur darah ini tumbuh dan semakin banyak ketirisan membuatkan semakin tinggilah risiko kehilangan penglihatan pusat. 

Kehilangan penglihatan disebabkan AMD lembap berlaku dengan lebih cepat dan lebih ketara berbanding AMD kering. Kerosakan juga lebih teruk pada AMD lembap dan tidak boleh dipulihkan.
Sementara itu, Pakar Perunding Oftalmologi, Penyakit Perubatan dan Pembedahan retina dan Gelemaca, Dr. Wong Jun Shyan berkata, tanpa rawatan sewajarnya, pesakit yang mengalami AMD lembap mungkin akan menjadi buta dalam masa dua tahun.

"Jadi pesakit perlu mendapatkan diagnosis dan rawatan secepat mungkin. Buat masa ini tidak ada ubat untuk menyembuhkan AMD lembap, tetapi rawatan boleh dilakukan untuk membantu melambatkan penularan penyakit, malah boleh mengembalikan penglihatan yang hilang," jelas beliau.

Antara pilihan rawatan untuk AMD lembap termasuk pancaran laser yang digunakan untuk menghapuskan saluran darah bocor yang tumbuh di belakang mata. 

"Rawatan lain seperti terapi fotodinamik, iaitu ubat disuntik pada lengan dan cahaya digunakan untuk mengaktifkan tersebut di dalam salur darah mata. 

"Ubat tersebut akan bertindak memulihkan saluran darah halus yang bocor," jelas Dr. Jun Shyan.
Sementara itu Pengarah Urusan Bayer Co. (Malaysia) Sdn. Bhd., Thomas Steffen pula berkata, dengan ubat terbaru yang diberi nama Eylea, pesakit yang menghidapi AMD lembap boleh mendapat manfaat daripada keberkesanan terapi perencat faktor pertumbuhan endotelium vaskular (VEGF).
Ini bagi membolehkan pesakit menikmati kualiti hidup yang lebih baik dengan mengurangkan pemeriksaan susulan dan suntikan.

"Eylea menandakan satu kejayaan dalam rawatan AMD lembap dan membulatkan lagi komitmen kami untuk menambah baik kehidupan menerusi sains," ujarnya.- NOOR FAZRINA KAMAL

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment