Pembedahan yang dijalankan untuk membuang lesi endometrium. - Gambar hiasan
PAKAR Obstetrik dan Ginekologi serta Pakar Onkologi Ginekologi, Dr. Suresh Kumarasamy berkata, endometriosis adalah penyakit kronik lagi menyakitkan.
"Bagi sesetengah wanita, penyakit ini tiada penawar yang kekal.
Kesakitan yang dialami mereka boleh menyebabkan kelesuan fizikal dan
mental, melemahkan mereka di puncak kehidupan dan menjejaskan kerjaya
dan hubungan peribadi.
"Tinjauan selidik di Malaysia mendedahkan wanita menunggu selama dua
tahun selepas mengalami gejala endometriosis sebelum mereka mendapatkan
rawatan.
"Lebih 60 peratus daripada wanita menangguhkan tindakan mendapatkan
rawatan kerana mereka menjangka gejala ini akan hilang dengan
sendirinya," katanya.
Tambah Dr. Suresh, setiap wanita mengalami tahap kesihatan yang
berbeza. Tahap kesakitan yang dialami tidak semestinya dikaitkan dengan
saiz atau bilangan lesi endometrium.
Sebab itu disarankan supaya wanita yang mengalami gejala
endometriosis agar mendapatkan perhatian perubatan seawal mungkin supaya
tidak menderita dalam diam.
"Meskipun sesetengah wanita mengalami kesakitan pada masa tertentu,
namun, seorang dalam empat wanita penghidap endometriosis mengalami
kesakitan sepanjang kitaran haid mereka.
"Matlamat rawatan untuk wanita yang menghidap endometriosis adalah
untuk melegakan kesakitan, melambatkan pertumbuhan tisu endometrium,
menambah baik atau melindungi kesuburan dan mencegah penyakit daripada
berulang," katanya.
Ujar Dr. Suresh, laparoskopi biasanya dijalankan untuk mengesahkan
diagnosis. Laparoskopi boleh dijalankan untuk membuang lesi endometrium,
tetapi bagi sesetengah pesakit. Lesi mungkin akan kembali selepas
pembedahan.
"Gejala endometriosis biasanya dirawat dengan ubat penahan sakit,
seperti ubat antiradang bukan steroid (NSAID), dan rawatan hormon
seperti pil perancang oral, progestin dan analog hormon pengeluar gonadotropin (analog GnRH)," katanya.
Beliau berkata, faktor-faktor risiko seseorang wanita didiagnosis
termasuk sejarah endometriosis dalam keluarga, kedatangan haid awal,
turun darah haid terlalu banyak, menopaus lewat dan lambat mengandung.
"Gejala biasa termasuk kesakitan pelvis kronik, kesakitan semasa haid
(senggugut), kesakitan semasa dan selepas melakukan hubungan seks dan
tidak subur.
"Sebanyak 30 hingga 50 peratus wanita yang mempunyai gejala endometriosis mempunyai masalah ketidaksuburan.
"Tidak semua wanita dengan gejala endometriosis mempunyai simpton dan
hanya sedikit daripada mereka didiagnosis menghidap penyakit tersebut
apabila membuat rawatan kesuburan," katanya.
Sementara itu, bagi membantu wanita Malaysia yang selama ini
menanggung kesakitan yang melemahkan badan mereka akibat endometriosis
kini boleh mendapat manfaat yang ditawarkan oleh Visanne, iaitu ubat
oral baru yang terbukti berkesan yang dilancarkan oleh Bayer HealthCare.
Dalam ujian klinikal yang dijalankan, Visanne (Dienogest)
terbukti membantu mengurangkan sebahagian besar kesakitan yang di
kaitkan degan endometriosis dan juga mengurangkan pertumbuhan tisu
seperti endometrium yang terdapat di luar rahim.
Profesor Obstetrik dan Ginkologi, Universiti Cologne, Jerman, Thomas Romer,
menjelaskan, bukti klinikal menunjukkan Visanne berkesan melegakan
kesakitan yang dikaitkan dengan endometriosis termasuk kesakitan
senggugut, kesakitan sebelum kedatangan haid, kesakitan pelvis dan
kesakitan semasa melakukan hubungan seks.
"Visanne adalah ubat oral pertama di dunia yang memberi keberkesanan seperti suntikan analog GnRH.
"Lebih penting lagi, kajian klinikal menunjukkan bahawa Visanne
mencatatkan tahap kejadian selaras panas yang lebih rendah dan perubahan
ketumpatan mineral tulang yang minimum berbanding dengan suntikan
analog GnRH," Katanya. - SITI AISHAH YUSOFF
No comments:
Post a Comment