Wednesday 5 June 2013

Dilema penghidap Acromegaly


JURNAL Endokrinologi Antarabangsa mendapati kira-kira 60 kes Acromegaly dikesan dalam sejuta orang di seluruh dunia. - Gambar hiasan 
 
MUZAMIR Mohammad Nasir, 40, seorang juruteknik di sebuah syarikat swasta telah dikesan menghidap penyakit Acromegaly pada tahun 2007. Penyakit ini berpunca daripada tumor di dalam kelenjar pituitari yang telah mengakibatkan tekanan perasaan serta fizikal pada dirinya dan juga ahli keluarga.

“Saiz kasut saya membesar dari saiz lapan ke 11. Saya tidak lagi boleh menjalani kehidupan seperti biasa. Saya tidak dapat bermain dengan anak-anak seperti bapa lain kerana saya amat mudah berasa penat dan sakit dari waktu Zuhur ke Maghrib. Saya boleh tidur sepanjang hari kerana terlalu letih, berjalan juga tidak boleh terlalu jauh.

“Perubahan ini telah menyebabkan isteri saya menangis setiap hari kerana memikirkan saya sudah hampir menemui ajal," kata Muzamir sambil menambah bahagian sendi di kaki mudah membengkak setiap kali dia bersenam atau bermain futsal sukan kegemarannya.

Muzamir juga mendapat perkhabaran kurang baik daripada doktor pakar yang merawatnya apabila ujian imbasan MRI mendapati ada tumor sebesar dua hingga tiga sentimeter di dalam kelenjar pituitarinya.

Lebih merisaukan, tumor tersebut hampir menyentuh saraf mata Muzamir.

“Doktor memberitahu satu-satunya pilihan saya ialah pembedahan membuang tumor. Kemungkinan juga pembedahan tersebut tidak akan membawa apa-apa perubahan kepada keadaan saya sekarang," jelasnya. 

Muzamir akhirnya menjalani pembedahan membuang tumor di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kini telah menerima secara positif segala yang berlaku padanya.

“Alhamdulillah selepas pembedahan di HKL pada tahun 2011 keadaan saya semakin baik dari segi perubahan mood. Sakit kepala yang dialami juga sudah berkurang, jadi mudahlah saya untuk membuat kerja di pejabat.

“Walaupun fizikal saya berubah termasuk suara menjadi semakin garau, saiz kasut membesar dan tidak boleh memakai cincin tapi saya bersyukur kerana sakit yang ditanggung kini semakin hilang," katanya.
Muzamir kini menjadi ahli persatuan penghidap Acromegaly di Malaysia yang dikenali sebagai MyAcro. 

Persatuan yang diwujudkan pada tahun 2012 itu, kini telah mengumpul lebih 100 ahli dalam kalangan pengidapnya di Malaysia dan memberi sokongan antara satu sama lain. 

Saiz sarung tangan berubah
Tahukah anda selain pesakit sindrom Down yang kita boleh kenali menerusi raut wajah yang hampir sama antara satu sama lain, golongan penghidap penyakit Acromegaly juga mempunyai bentuk wajah yang hampir serupa.

Pesakit Acromegaly mempunyai dagu yang lebar dan panjang, muka yang semakin melebar malah saiz kaki dan tangan juga semakin membesar.

Berkongsi satu lagi pengalaman pesakit ialah jururawat di Hospital Putrajaya, Ida Roziani Abu Samah, 29, yang juga ibu kepada seorang cahaya mata berusia empat tahun.

Menceritakan kisah hidupnya, Ida Roziani memberitahu, sejak alam remaja memang dia kerap mengalami sakit kepala. Ketika usianya 19 tahun dia disahkan doktor menghidap penyakit darah tinggi.

“Memang pelik sebab ibu bapa tidak ada yang penyakit tersebut. Saya juga bukannya gemuk. Pada usia 19 tahun saya sudah mula makan pil darah tinggi 50 mg setiap hari dan berhenti makan setelah masuk ke kolej jururawat.

“Bacaan tekanan darah tinggi saya tidak terkawal, cepat berpeluh, letih, tapak tangan dan tapak kaki saya semakin membesar," katanya.
Pada mulanya dia rasa pelik apabila semua kasut tidak muat dan cincin kahwin juga mengetat. Sebagai jururawat, sarung tangannya di hospital juga bertukar daripada saiz enam kepada 7.5. 

“Ketika bertugas saya kerap sakit kepala dan akhirnya pemeriksaan doktor memerlukan saya mengawal tekanan darah tinggi dengan pengambilan dos ubat yang lebih.

“Mujurlah ujian darah dan ujian jantung saya normal. Tapi pada tahun 2011 saya menjalani ujian darah sekali lagi dengan ujian IGF-1 (untuk mengesan hormon) dan ternyata bacaan hormon saya tinggi," ujar Ida Roziani.

katanya, itu diikuti dengan ujian MRI dan pakar endokrin mendapati ada ketumbuhan di kelenjar pituitari sebesar 1.5 sentimeter.
Pada tahun yang sama, dia menjalani pembedahan kaedah endoskopi di HKL. Selepas itu barulah tekanan darahnya kembali normal.
Ida Roziani bagaimanapun mempunyai motivasi diri yang tinggi. 

Dia berfikiran positif dan tidak sesekali membiarkan perubahan fizikal serta keadaan penyakitnya mengganggu rutin harian sebagai isteri, ibu dan jururawat.

“Saya terima dengan hati terbuka malah saya sentiasa mendapat
sokongan moral daripada suami dan rakan-rakan di hospital. 

“Pesan saya kepada mereka yang disyaki menghidap Acromegaly agar jangan putus asa, mesti patuhi temu janji doktor dan prihatin dengan perubahan yang berlaku," katanya yang menyifatkan pengabaian kepada simptom tersebut mendedahkan pesakit pada risiko serangan strok. - NOOR FAZRINA KAMAL

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment