Wednesday 11 September 2013

Ikrar sokong henti rokok


Sokongan dan motivasi daripada rakan-rakan serta ahli keluarga merupakan antara elemen terpenting dalam proses untuk seseorang berhenti merokok. 

Statistik oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan kira-kira 10,000 kematian dicatatkan setiap setahun akibat penyakit yang berkaitan dengan tabiat merokok.

Bahkan pada tahun 2011 sahaja kira-kira 11,056 kematian direkodkan di hospital kerajaan ekoran daripada penyakit berkaitan tabiat buruk tersebut.

Angka tersebut sudah cukup untuk membuktikan bahaya yang menunggu perokok dan pentingnya tabiat tersebut dihentikan. 

Ini bagi meningkatkan tahap kesihatan bukan saja bagi perokok terbabit bahkan insan tersayang serta orang ramai di sekeliling mereka.

Perokok yang sedang mempertimbangkan untuk berhenti merokok kini tidak perlu berasa ragu-ragu memandangkan kini rakyat Malaysia turut menyokong usaha mereka.

Bahkan, ribuan rakyat telah meluahkan hasrat yang tinggi untuk melihat lebih banyak perokok menghapuskan ketagihan rokok sebagaimana yang perlihatkan melalui kempen Berikrar Berhenti Secara Tepat.

Usaha mengumpul ikrar anjuran GlaxoSmithKline Consumer Healthcare Sdn. Bhd. (GSK) dengan sokongan Kementerian Kesihatan ini, terbukti menerima sambutan menggalakkan apabila 903 perokok berikrar untuk berhenti merokok, sementara 6,555 bukan perokok berikrar menyokong usaha berhenti merokok dan 753 pakar farmasi berikrar menasihati perokok tentang cara berhenti merokok yang tepat.

Ketua Pemasaran Produk Kesihatan GSK untuk Malaysia, Raymond Khor berkata, kempen pertama seumpamanya itu telah berlangsung selama dua minggu bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia mengemukakan ikrar mereka.

"Kami bangga melihat kesan positif kempen Berikrar Berhenti Secara Tepat. Sambutan yang mesra oleh rakyat Malaysia dan jumlah ikrar yang diterima amat menggalakkan.

"Sambutan hangat oleh orang awam merupakan satu petunjuk kukuh bahawa sebilangan besar rakyat Malaysia menyokong usaha menggalakkan perokok berhenti, satu pandangan yang kami harap akan menyumbang kepada kesihatan awam yang lebih baik," katanya.

Raymond berkata, dengan membantu mengurangkan jumlah perokok diharap dapat membantu mengurangkan bilangan pesakit penyakit tidak berjangkit (NCD), seperti kanser, penyakit jantung, dan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD). 

Lebih membanggakan kempen mendapat sokongan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam yang turut menandatangani Ikrar Berhenti Secara Tepat sempena majlis sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment