Friday 31 May 2013

99 Peratus Bayi Dilahirkan Ibu Positif HIV Tidak Dijangkiti - Rohani

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Kira-Kira 99 peratus bayi yang dilahirkan ibu positif HIV di Malaysia tidak dijangkiti virus itu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata ini berikutan pelaksanaan program Pencegahan Jangkitan HIV daripada ibu kepada anak (PMTCT) sejak 1998 di semua pusat kesihatan kerajaan.

PMTCT merupakan usaha menyeluruh bagi mencegah jangkitan HIV daripada ibu kepada anak sebelum, semasa hamil dan melahirkan anak serta selepas bersalin.

"Liputan intervensi PMTCT di pusat kesihatan kerajaan meningkat daripada 49.7 peratus pada 1998 kepada 100 peratus pada 2011," katanya dalam ucapan pembukaan pada Forum Anggota Parlimen sempena Persidangan Global Women Deliver ke-3 di sini Selasa.

Rohani berkata kerajaan juga komited untuk menghapuskan jangkitan HIV secara vertikal menjelang 2015 menerusi penyediaan perkhidmatan PMTCT di peringkat nasional yang berkualiti dan menyeluruh.

Strategi semasa Malaysia bertujuan mendekati wanita hamil, pasangan dan bayi mereka serta populasi paling berisiko, katanya.

Rohani berkata akses lebih besar untuk perkhidmatan penjagaan profesional dan perancangan keluarga di Malaysia menyebabkan nisbah kematian ibu menurun daripada lebih 40 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup pada 1993 kepada 30 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup sejak tahun 2000.

Nisbah itu kekal pada 30 kematian bagi setiap 100,000 kelahiran hidup sehingga tahun 2010.

Mengulas pencegahan kanser dalam kalangan wanita dan remaja perempuan, Rohani berkata Malaysia merupakan satu daripada negara pertama Asia yang memperkenal program suntikan vaksin virus human papilloma (HPV) di peringkat nasional.

Beliau berkata sejumlah RM10 juta diperuntuk pada 2010 kepada Kementerian Kesihatan untuk memperkenal program itu kepada remaja perempuan berusia 13 tahun.

Pada sidang akhbar selepas itu, Rohani berkata pencapaian Malaysia dalam menjaga kepentingan wanita berhubung isu kesihatan dan penguasaan ekonomi berada di tahap yang membanggakan.

Peranan Malaysia dalam menjaga hak wanita turut mendapat pengiktirafan agensi dan persatuan wanita antarabangsa, katanya.

Beliau berpendapat kuasa politik yang stabil juga penting bagi memastikan usaha ke arah pemerkasaan peranan wanita Malaysia dapat diterus dan dipertingkat.

"Persidangan kali ini merupakan satu peluang perkongsian bermakna kepada Malaysia bagi memastikan perjalanan negara ke arah negara maju, 2020 (berjalan) lancar," katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment