Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

Semakin ramai pesakit mendapatkan rawatan di klinik dan hospital.
JEREBU boleh dikatakan masalah berulang di rantau Asia Tenggara
akibat pembakaran terbuka atas alasan membersihkan kawasan hutan untuk
tujuan pertanian.
Sehingga kini kawasan yang paling teruk terjejas akibat jerebu adalah di Muar dan Ledang yang terletak di Johor.
Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan tersebut mencecah sehingga
746 pada jam 7 pagi 23 Jun lalu dan telah pun diisytihar darurat.
Di Kuala Lumpur dan Selangor, sekolah-sekolah telah diarah tutup pada
24 Jun 2013 bagi mengelakkan kesan kesihatan yang teruk kepada para
pelajar.
Pakar Perunding Kanan Perubatan, Jabatan Perubatan, Hospital Sultanah
Zahirah, Kuala Terengganu, Terengganu, Datuk Dr. A. Shukri Datuk Md
Salleh berkata, pencemaran udara tidak boleh dipandang ringan.
Jika air yang tercemar, kita mempunyai pilihan untuk mencari sumber
yang bersih tetapi apabila udara tercemar kita masih perlu bernafas
seperti biasa.
Air yang diminum melalui beberapa proses di dalam badan sebelum
diserap ke dalam darah dan keluar sebagai air kencing dan peluh,
sedangkan udara yang disedut terus masuk melalui hidung dan diserap di
paru-paru," katanya lagi.
Kajian menunjukkan jerebu bukan saja membawa asap tetapi juga
bahan-bahan lain semasa bertiup dari kawasan pembakaran seperti
partikel, mikrob, toksik (bahan kimia) dan alergen.
Bahan ini akan menyebabkan pelbagai penyakit berkaitan dengan
pernafasan seperti asma, bronkitis, batuk, demam, selesema, penyakit
kulit dan sinus.
Secara tidak langsung akan menyebabkan kos bil hospital yang tinggi dan produktiviti menurun," katanya.
Semasa jerebu, kita tidak digalakkan keluar rumah tetapi adakah persekitaran di dalam bangunan sihat?
Dr. Shukri berkata, pengguna perlu memastikan persekitaran di dalam
bangunan, rumah serta kereta bersih bagi mengurangkan kesan jerebu.
Jika air, kita menggunakan penapis air bagaimana pula dengan udara?" soalnya.
Dr. Shukri berkata, apabila berada di dalam rumah, kita perlu pastikan keadaan persekitaran rumah yang bersih.
Kita perlu memastikan aliran udara yang baik, penghawa dingin
diservis, permaidani dibersih, minum air yang banyak, pakaian dicuci
dengan bersih dan keadaan dalaman kereta yang bersih," katanya.
Pencemaran udara adalah campuran antara bahan semulajadi dan
perbuatan manusia termasuk pembakaran hutan dan lain-lain yang
menghasilkan partikel kecil, ozon dan gas seperti nitrogen oksida,
karbon monoksida dan bahan-bahan kimia yang berada di udara yang disedut
oleh manusia.
Pendedahan kepada udara tercemar seperti jerebu boleh menyebabkan
kegatalan pada kulit, mata, penyakit paru-paru seperti lelah, bronkitis,
resdung dan sekiranya berpanjangan boleh menyebabkan penyakit
kardiovaskular, darah tinggi dan juga kematian.
Terdapat bukti yang menunjukkan pendedahan udara tercemar secara
berpanjangan juga boleh membantut perkembangan paru-paru di kalangan
kanak-kanak.
Kita juga masih terdedah kepada jerebu bila berada di dalam bangunan
tertutup kerana udara tercemar masih boleh masuk melalui saluran udara
luar (fresh air) yang masuk ke dalam unit penghawa dingin sepusat (Air
Handling Unit).
Oleh itu langkah berjaga-jaga masih perlu di ikuti sebagaimana berada di luar bangunan," katanya.
Bagaimanapun Pengarah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang juga
Pensyarah Kanan, Unit Perubatan Pekerjaan dan Persekitaran, Perubatan
Pekerjaan dan Persekitaran, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr. Mohd.
Rafee Baharudin berkata, beberapa langkah perlu dilakukan memandangkan
kejadian jerebu boleh dikatakan sering berlaku.
Masalah yang dihadapi seperti topeng muka yang tidak sesuai untuk semua peringkat usia.
Buat masa sekarang, tidak terdapat topeng yang sesuai untuk
kanak-kanak kerana saiz topeng adalah mengikut saiz orang dewasa,"
katanya.
Kanak-kanak yang memakai topeng orang dewasa masih terdedah kepada
partikel-partikel jerebu jika pemakaiannya tidak sempurna seperti di
bahagian tepi yang longgar.
Dr. Mohd. Rafee menegaskan bahawa satu peraturan menghadkan
penggunaan jalan raya semasa IPU berada di tahap berbahaya perlu
diadakan supaya ianya dapat mengurangkan bilangan kenderaan yang banyak
di jalan raya yang seterusnya akan meningkatkan lagi tahap pencemaran
kualiti udara.
Ianya tidak mustahil untuk dilakukan terutamanya bagi tujuan menjaga kesihatan penduduk di negara ini.
Pihak berkuasa juga hendaklah perlu memastikan bekalan topeng muka
adalah sentiasa mencukupi terutamanya di waktu insiden jerebu ini,"
katanya.
Sistem komunikasi yang berkesan juga harus diadakan seperti
menggunakan balairaya, balai bomba, balai polis dan sekolah sebagai
tempat rujukan atau menyebarkan maklumat yang tepat dan tidak
mengelirukan.
Selain itu menurut Dr. Rafee, pendedahan awal mengenai jerebu juga
amat penting, misalnya memberikan penerangan kepada pelajar mengenai
betapa pentingnya menjaga alam sekitar dari sebarang pencemaran.
Pihak industri yang berkaitan juga perlu menjalani kursus seakan
induksi bagi memberikan pendedahan mengenai pentingnya menjaga alam
sekitar," katanya.
Pihak berkuasa juga perlu peka terhadap golongan berisiko yang bukan
sahaja kanak-kanak sekolah tetapi juga taska, tadika, pusat penjagaan
bayi serta pusat penjagaan warga emas.
Ini kerana peningkatan penyakit respiratori didapati meningkat
melebihi 100 peratus di kalangan bayi, kanak-kanak, ibu hamil dan warga
emas terutamanya bagi kawasan yang diistiharkan darurat.
Dr. Rafee juga menyarankan pengguna agar lebih berhati-hati semasa
makan di kafetaria terbuka kerana makanan yang terdedah itu dikhuatiri
turut tercemar dengan bahan pencemar yang ada dalam jerebu.
"Biasanya makanan yang terdedah kepada bahan kimia berbahaya yang ada
dalam jerebu dikhuatiri akan memberikan kesan negatif kepada pengguna,"
katanya.
Aktiviti sukan di luar juga perlu dikurangkan sama ada di peringkat
sekolah, universiti, badan-badan sukan tempatan mahupun antarabangsa.
Dr. Rafee menambah, ramai yang tidak sedar mengenai bahan kimia dalam
jerebu yang masuk ke dalam tubuh badan dan kesan jangka panjang akibat
pendedahannya.
Jerebu sebenarnya menyebabkan masalah kesihatan awam dan kesihatan pekerjaan secara tidak langsung.
Ini melibatkan mereka yang bekerja di luar seperti petani, ranjer,
polis, posmen, pegawai penguatkuasa dan pekerja binaan," katanya.
Selain itu, bahan-bahan pencemar yang ada dalam udara bukan saja
berbahaya kepada kesihatan manusia tetapi juga kepada haiwan dan
tumbuhan serta didapati mengurangkan nilai estetika bangunan
(menjadikannya pudar).
Pembaca boleh mendapatkan maklumat terkini bacaan IPU dengan melayari
laman web http://www.doe.gov.my/apims/ atau
http://www.nre.gov.my/malay/ pages/IPU.aspx
No comments:
Post a Comment