Sunday 1 September 2013

Alternatif dialisis buah pinggang

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

Wakil MSN, Dr Wong Hin Seng, Dr Ghazali Ahmad, pesakit buah pinggang, Abdullah Yeob Ahmad dan Razak Omar dan Pengurus Negara, Baxter Healthcare Sdn Bhd, Iftekhar Ahmed. 
 
SETIAP kali membaca mengenai rawatan dialisis yang terpaksa dilalui pesakit buah pinggang timbul persoalan, adakah mereka selesa menerima rawatan tersebut?

Lebih-lebih lagi, setelah sekian lama memiliki buah pinggang yang sihat, menjalani dialisis pasti menimbulkan suasana berbeza.

Pesakit terpaksa bergantung pada mesin hemodialisis atau menggunakan rawatan Dialisis Peritoneal (PD) dengan menukar cecair dalam badan setiap empat jam. 

Ketika ini sokongan ahli keluarga diperlukan. Di Malaysia, bilangan pesakit buah pinggang peringkat akhir (ESRD) meningkat setiap tahun. Walaupun dianggap masalah biasa, tetapi ia boleh dirawat dengan adanya terapi selamat dan berkesan yang boleh disesuaikan dengan keperluan dan gaya hidup.

PD adalah terapi ESRD yang boleh digunakan di rumah dan sambutan terhadap penggunaannya adalah semakin menggalakkan.

Dengan kebebasan dan rawatan yang lebih terkawal, PD menjadi pilihan rawatan utama bagi pesakit yang memilih untuk meneruskan gaya hidup aktif dan mengambil peranan proaktif dalam mengawal penyakit ini.

Menyedari senario ini, Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN) dan Baxter Healthcare (M) Sdn Bhd melancarkan kempen Kebebasan dengan PD untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai PD sebagai pilihan rawatan untuk ESRD.

Kempen ini bertujuan untuk mendidik masyarakat Malaysia, terutamanya pesakit, mengenai penyakit buah pinggang dan memilih PD sebagai pilihan rawatan yang menawarkan lebih banyak kebebasan, fleksibiliti dan mobiliti kepada pesakit .

Pada masa yang sama, kempen ini juga ingin mengetengahkan bahawa penyakit buah pinggang kronik (CKD) dan ESRD boleh ditangani dengan mengamalkan pengurusan dan kawalan penyakit yang sewajarnya agar pesakit dapat terus menjalani kehidupan yang normal dan aktif.
CKD ialah keadaan yang dicirikan sebagai pengurangan fungsi buah pinggang secara berterusan, atau kehadiran struktur yang tidak normal, atau jumlah protein yang abnormal dalam air kencing selama tiga bulan atau lebih.

GagalApabila buah pinggang gagal berfungsi secara kekal, ini dikenali sebagai ESRD, satu keadaan yang tidak boleh diterbalikkan.

Menurut Ketua Jabatan dan Penasihat Nasional, Perkhidmatan Nefrologi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Ghazali Ahmad, ESRD ialah salah satu potensi akibat CKD yang memerlukan terapi penggantian buah pinggang yang menelan belanja besar.

"Bilangan ESRD di Malaysia meningkat setiap tahun dan pada tahun 2012, sebanyak 28,590 pesakit menerima dialisis. Pesakit buah pinggang perlu tahu tentang faktor-faktor risiko dan juga pengurusan penyakit bagi memperlahankan perkembangan CKD," ujarnya.

Di Malaysia, kurang daripada satu peratus daripada pesakit ESRD yang menerima pemindahan buah pinggang, di mana ia dianggap sebagai rawatan terbaik. Manakala, selebihnya dirawat dengan dialisis. 

Daripada jumlah pesakit itu, hanya lapan peratus pesakit dirawat dengan PD ambulatori berterusan (continuous ambulatory PD atau CAPD). 

Berbanding dengan jenis dialisis yang lain, PD memberikan keputusan klinikal yang sama atau lebih baik di samping kebebasan yang lebih tinggi, seterusnya dapat meningkatkan kepuasan pesakit .

"Kemajuan dalam pilihan terapi seperti PD serta kawalan dan pengurusan yang sewajarnya telah memungkinkan pesakit ESRD menjalani kehidupan yang lebih berkualiti. Pengambilan PD di negara ini tidak begitu tinggi kerana orang ramai dan kebanyakan pesakit tidak menyedari tentangnya. Kajian menunjukkan bahawa PD bukan sahaja menjimatkan kos, malah mampu memberikan impak positif kepada kehidupan pesakit, membolehkan pesakit bekerja atau pergi ke sekolah dan meneruskan rutin harian mereka," tambah beliau.

Dalam pada itu, kempen ini bermula dengan pelancaran semula laman web 'www.freedomtolive.com.my. Selain menyediakan maklumat yang komprehensif dan terkini berkaitan penyakit buah pinggang, laman web yang dipertingkatkan ini juga dilengkapi panel tambahan yang terdiri daripada pakar penjagaan kesihatan seperti pakar nefrologi dan pakar pemakanan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment