Apakah itu aditif makanan?
Aditif makanan adalah bahan yang selamat dimakan yang ditambah secara
sengaja ke dalam makanan dalam kuantiti yang sedikit tetapi tidak
termasuk vitamin dan mineral.
Tujuan aditif makanan ditambah dalam makanan adalah untuk:
- Memanjangkan jangka hayat penyimpanan makanan
- Meningkatkan kualiti makanan dan persembahan (tekstur, warna, rupa, rasa dan konsistensi)
- Menambah keenakan makanan
- Memberi pilihan kepada pengguna
Aditif makanan seharusnya tidak dikelirukan dengan bahan pencemaran
(kontaminan). Bahan pencemaran adalah bahan yang tidak ditambah secara
sengaja dalam makanan seperti logam berat, residu racun perosak dan drug veterinar.
Salah faham terhadap aditif makanan
Sesetengah orang percaya aditif makanan itu adalah bahan kimia dan
justeru itu, ia seharusnya diharamkan penggunaannya. Dalam konteks sains
makanan, perkataan ‘bahan kimia’ tidak mempunyai maksud kerana udara,
air, gula dan garam juga adalah bahan kimia seperti aditif makanan.
Perkara penting yang perlu diambil perhatian adalah kebanyakan aditif
makanan yang digunakan boleh didapati secara semula jadi. Contohnya:
- Pektin yang digunakan untuk memekatkan jem diperolehi daripada tumbuhan.
- Lesitin yang digunakan untuk menghalang pengasingan makanan diperolehi daripada kuning telur.
- Aditif semula jadi yang lain termasuk karamel sebagai pewarna, vitamin C sebagai antipengoksida, agar daripada rumpair laut sebagai penstabil.
Salah faham mengenai aditif makanan telah membuat pengguna lebih
tertumpu kepada mengelakkan aditif makanan lebih daripada mengamalkan
diet yang seimbang.
Sejak bila aditif makanan digunakan dan kenapa?
Penggunaan aditif makanan telah menjadi amalan biasa sejak ratusan
tahun dahulu di mana aditif makanan ditambah ke dalam makanan melalui
pelbagai cara untuk membantu mengawet, menyedapkan, mencampur,
memekatkan atau mewarna makanan. Nenek moyang kita telah menggunakan
garam untuk mengawet daging dan ikan serta rempah ratus untuk
menyedapkan makanan. Sementara kuning telur selalu digunakan bagi tujuan
mengadunkan air dan minyak. Cuka serta gula juga digunakan sebagai
aditif makanan bagi mengawet buah-buahan dan membuat jeruk.
Jenis-jenis aditif makanan
Mengikut Peraturan-peraturan Makanan 1985, jenis-jenis aditif makanan yang dibenarkan adalah:
- Bahan pengawet
- Bahan pewarna
- Bahan perisa
- Penambah perisa
- Antipengoksida
- Kondisioner makanan
Aditif Makanan
|
Takrifan
|
Contoh aditif yang dibenarkan
|
Contoh makanan yang dibenarkan ditambahkan aditif makanan
|
---|---|---|---|
Bahan Pengawet | Bahan pengawet digunakan untuk mengawal pertumbuhan kulat, bakteria dan yis bagi memanjangkan jangka hayat penyimpanan makanan | Asid benzoik, asid sorbik, sulphur dioksida | Jem, jus buah, cuka |
Bahan pewarna | Bahan pewarna digunakan untuk menjadikan makanan lebih menarik dan merangsang selera makan | Allura Red, Sunset Yellow, anthocyanin | Kek, ais krim, minuman berperisa |
Bahan perisa | Bahan perisa digunakan untuk memberi dan mengekalkan rasa yang unik bagi sesuatu makanan | Bahan perisa ais krim (contohnya vanila, strawberi, durian dan lain-lain) Bahan perisa untuk minuman (contohnya jagung, oren, anggur dan lain-lain) | Ais krim, minuman berperisa |
Penambah perisa | Penambah perisa digunakan untuk menambah dan memperkuatkan rasa sesuatu makanan | Monosodium glutamate (MSG) | Sos, susu berperisa |
Antipengoksida | Antipengoksidaan berfungsi untuk melambatkan proses pengoksidaan yang menyebabkan ketengikan dalam makanan | Tokoferol Asid askorbik, Butylated hydroxytoulene (BHT) | Marjerin, mentega kacang, krim kelapa, gum kunyah |
Kondisioner makanan |
Kondisioner makanan ditambah dalam makanan untuk memberi fungsi
teknologi untuk mendapatkan makanan yang dihasratkan Jenis-jenis
kondisioner makanan yang dibenarkan adalah :
|
Asid fosforik, magnesium karbonat, gum xanthan, lecithin | Buah berkaling, coklat, kek, biskut |
Bagaimana penggunaan aditif makanan dikawal?
Kementerian Kesihatan bertanggungjawab mengawal dan meluluskan
penggunaan aditif dalam makanan. Oleh kerana penggunaan aditif digunakan
secara meluas dalam makanan kawalan ketat terhadap penggunaan aditif
amatlah penting. Hanya aditif yang sesuai dan selamat saja yang boleh
ditambah pada makanan.
Penggunaan aditif makanan hanya dibenarkan dalam makanan tertentu
sahaja dan kadar maksimum adalah ditetapkan seperti yang disenaraikan di
bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Kementerian Kesihatan hanya
meluluskan aditif makanan untuk kegunaan dalam makanan apabila terdapat
bukti kukuh bahawa aditif makanan tersebut tidak mendatangkan kesan
bahaya kepada kesihatan manusia hasil dari penggunaannya.
Pada masa yang sama ,Kementerian Kesihatan menjalankan program
pemantauan yang berterusan bagi memastikan penggunaan aditif makanan
mematuhi kadar yang dibenarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan
1985.
Bagaimana untuk mengetahui aditif makanan telah ditambah ke dalam makanan?
Pengguna perlu membaca label. Di bawah undang-undang sedia ada,
apa-apa makanan yang telah ditambah dengan aditif makanan mesti
mempunyai penyataan "mengandungi (jenis aditif makanan yang berkenaan) yang dibenarkan di senarai ramuan. Contohnya "mengandungi pewarna yang dibenarkan".
Kadang kala label juga memberikan maklumat tambahan berkaitan jenis
aditif makanan secara spesifik yang telah ditambah ke dalam makanan.
Contohnya "mengandungi pewarna yang dibenarkan (Ponceau 4R)".
Ada juga label yang mengandungi maklumat tambahan di mana nombor
rujukan aditif yang digunakan di peringkat antarabangsa dinyatakan pada
label .Contohnya "mengandungi pengemulsi (sodium pyrofosfat(E450) sebagai kondisioner makanan yang dibenarkan".
Bolehkah aditif memberi kesan sampingan yang menjejaskan kesihatan kepada pengguna?
Terdapat segelintir pengguna yang alah terhadap sesetengah aditif
makanan. Namun demikian dengan penyataan aditif yang ditambah pada
label, pengguna yang alah terhadapnya dapat mengelakkan dari memakan
makanan yang mengandungi aditif tersebut.
Antara aditif yang biasa dikaitkan dengan kesan sampingan dan alahan
kepada pengguna adalah sulfur dioksida atau sulfit. Sulfit atau sulfur
dioksida merupakan bahan pengawet yang biasa ditambah pada jeruk dan
buah-buahan kering.
Sulfur dioksida atau sulfit boleh menyebabkan serangan lelah yang teruk
bagi sesetengah pengguna yang alah dengannya. Oleh itu penyataan "mengandungi sulfur dioksida" diwajibkan sekiranya sulfit atau sulfur dioksida ditambah melebihi 10mg/kg dalam makanan.
Aditif lain yang sering dikaitkan dengan kesan alahan adalah penambah
perisa Monosodium glutamate (MSG). Kesan sampingan yang dikaitkan dengan
penggunaan MSG digolongkan ke dalam Sindrom Restoran Cina. Ini kerana
MSG sering digunakan dalam masakan dan hidangan di kalangan masyarakat
Cina. Tanda-tanda sindrom ini termasuk panas badan dan rasa
menggelenyar di tengkuk dan belakang badan serta perasaan tertekan di
bahagian dada dan muka.
Walau bagaimanapun, kajian saintifik gagal membuktikan kesemua kesan
sindrom tersebut disebabkan secara langsung oleh MSG. Sebaliknya kesan
sampingan buruk hanya dialami oleh pengguna yang alah terhadap MSG.
Pernyataan "mengandungi Monosodium glutamate (MSG) sebagai penambah
perisa yang dibenarkan" wajib dinyatakan pada label makanan.
Nasihat kepada pengguna
Pengguna dinasihatkan untuk selalu membaca label makanan sebelum
membeli makanan. Bagi pengguna yang alah terhadap makanan atau aditif
tertentu amatlah penting untuk membaca senarai ramuan pada label makanan
dan mengenal pasti makanan atau aditif yang perlu dihindari yang boleh
memberikan alahan.
Semakan akhir | : | 26 September 2011 |
Penulis | : | Norrani bt. Eksan |
http://www.myhealth.gov.my/v2/index.php/my/pemakanan/keselamatan-a-kualiti-makanan/aditif-makanan |
No comments:
Post a Comment