Friday 5 July 2013

Awas jika demam berulang




BAGI kebanyakan orang, nyamuk bukanlah ancaman yang besar. Bahkan, ramai berpendapat, digigit nyamuk merupakan perkara biasa dan tiada apa yang perlu dibimbangkan. Namun, lain pula pandangan wanita berusia 39 tahun ini.

Suzanne Selvarajah mempunyai alasan kukuh untuk melancarkan perang terhadap serangga yang hampir meragut nyawanya itu.

Menurut Suzanne, demam selama tiga hari yang dialaminya 13 tahun lalu dengan suhu badannya mencatatkan 40 darjah Celsius masih kuat dalam ingatannya.

Dia hanya ke klinik selepas tiga hari demam dan hasil ujian darah mengesahkan dia positif denggi. Suzanne kemudiannya ditahan di hospital selama empat hari kerana bacaan plateletnya mencatatkan bawah 100.

Menurut Suzanne, selepas kejadian tersebut, dia menyangka sudah bebas daripada denggi, tetapi sangkaannya meleset. Lapan tahun selepas kejadian pertama, Suzanne sekali lagi disahkan menghidap demam denggi.

"Saya mengalami simptom yang sama iaitu demam panas selama tiga hari dan suhu badan kekal panas walaupun sudah makan ubat demam.

"Benar, saya terkejut apabila sekali lagi disahkan menghidap demam denggi, walhal saya pernah diserang denggi sebelum ini," katanya ditemui pada sesi dialog mengenai denggi sempena Hari Denggi ASEAN anjuran SC Johnson bersama Kementerian Kesihatan Malaysia di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

PENGHIDAP demam denggi berdepan dengan dua pilihan iaitu sama ada hidup ataupun mati.


Pada hari ketiga di hospital, tubuhnya dimasukkan plasma gara-gara bacaan platelet merosot sehingga bacaan 26.

Tompok-tompok merah

Selepas dimasukkan plasma, tompok-tompok merah timbul di seluruh badannya. Selepas itu, Suzanne tidak sedarkan diri.

Kemunculan tompok-tompok merah di kulit menyebabkan dia dibawa ke bawah pancuran air untuk menyejukkan suhu badannya. Namun usaha tersebut tidak menunjukkan sebarang penurunan malah bacaan plateletnya semakin merosot.

"Suhu badan saya mula rendah selepas saya diletakkan di dalam air sejuk kerana badan saya rasa panas seperti sedang dibakar.

"Bacaan platelet paling rendah yang pernah dicatatkan ialah 22. Pesakit yang tinggal sebilik dengan saya mencatatkan bacaan platelet 32 dan dia meninggal dunia," katanya yang ditahan di wad selama lima hari ketika diserang kali kedua.

Sepanjang berada di hospital bertarung dengan denggi, Suzanne mengalami pendarahan yang serius di telinga, hidung, mata, gusi dan kemaluan.

MENYEMBUR asap merupakan salah satu cara untuk membasmi populasi nyamuk Aedes.


Sejak itu, Suzanne trauma terhadap nyamuk. Dia sering menyembur rumahnya dengan aerosol, menggunakan ubat nyamuk 24 jam, losen dan apa sahaja yang boleh menyahkan nyamuk.

"Azabnya sakit akibat denggi umpama tulang dipatah-patahkan dan kita tidak mampu mengawal kesakitan tersebut walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk mengatasinya.

"Sebagai seorang dewasa pun saya tidak mampu tahan kesakitannya, bayangkan jika kanak-kanak kecil yang melalui semua itu," ujar ibu kepada seorang cahaya mata berusia setahun lapan bulan ini.

Kajian syarikat pengeluar jenama racun serangga terkemuka, SC Johnson mendedahkan, rata-rata orang ramai tidak mengambil langkah pencegahan di rumah. Dianggarkan 74 peratus beranggapan tidak banyak nyamuk di rumah dan selebihnya tidak menggunakannya atas alasan menjaga alam sekitar dan menganggap denggi bukan ancaman.
PLASMA beku segar dimasukkan ke dalam badan sebagai talian hayat buat pesakit.


Sementara itu, personaliti televisyen popular, Sasha Bashir Ahmad, 33, tidak pernah terfikir bahawa dia akan menghidap denggi.

Peristiwa lima tahun lalu itu masih berbekas dalam memorinya. Bermula dengan simptom klasik iaitu demam panas yang teruk, Sasha dinasihatkan supaya datang ke klinik semula andai demamnya tidak kebah.

Selepas tiga hari, demamnya semakin teruk.

"Muka saya pucat dan suami memberitahu ada sesuatu yang tidak kena berlaku, kemungkinan denggi.

"Hasil ujian darah menunjukkan saya disahkan positif denggi," katanya yang sukar menerima hakikat pada peringkat awal.

Dua tahun lalu, suaminya menerima nasib yang sama. Kini, ibu kepada anak lelaki berusia 17 bulan itu begitu berhati-hati dengan persekitaran di luar atau di dalam rumah.

"Saya tidak sanggup melaluinya lagi, apatah lagi jika anak saya diserang denggi.

"Kebersihan sangat penting. Ia tanggungjawab bersama kerana sesiapa sahaja boleh diserang denggi dengan hanya satu gigitan," ujarnya menyarankan orang ramai segera ke hospital andai menghidap demam panas.

No comments:

Post a Comment