Thursday 24 June 2010

Kawalan malaria di pintu masuk negara diperketat

2010/06/24
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengetatkan lagi kawalan di pintu masuk negara bagi memastikan kadar kes malaria dalam negara terkawal, di samping memastikan kes "import" penyakit itu tidak merebak dengan berleluasa dalam negara.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata walaupun kadar jangkitan malaria dalam negara ketika ini adalah rendah dan dapat dikawal dengan baik, namun kes import adakalanya tetap muncul.

"Sekali-sekala ada 'imported cases' daripada Indonesia dan Thailand. Ketika ini masih ada tiga kes malaria lagi di hospital Tanjung Karang membabitkan pekerja asing dari Mynamar, selain itu seorang nelayan juga warga Myanmar baru-baru ini meninggal dunia di Sekinchan, Selangor, setelah didapati menghidap malaria," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan anugerah perkhidmatan cemerlang kepada warga Kementerian Kesihatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan menunjukkan ketiga-tiga kes di kalangan pekerja asing itu adalah kes malaria yang dibawa daripada luar negara dan kawasan Sekinchan juga didapati bebas daripada penyakit itu.

Liow berkata, pejabat Kesihatan daerah Sekinchan menjalankan pemeriksaan terhadap 122 pekerja tempatan dan 216 pekerja asing dan semuanya disahkan negatif.

"Oleh itu, tiada tanda-tanda jangkitan penyakit ini menular di kalangan penduduk tempatan," katanya dan menambah kadar penyakit malaria di dalam negara adalah sangat sedikit, kebanyakan berlaku di kawasan estet dan ladang.

Beliau berkata, pada masa ini, bilangan kes malaria di dalam negara adalah sebanyak 3,000 kes setahun.

"Berbanding kadar malaria pada tahun 70-an, jumlah ketika itu cukup serius iaitu kira-kira 60,000 kes setahun, begitu juga pada tahun 90-an. Tetapi sekarang, turun kepada kadar 3,000 kes setahun," katanya. - BERNAMA
 
--- BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment