Wednesday 3 July 2013

17 Premis Makanan, Kedai Nasi Kandar Kotor Diarah Tutup Di Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 3 Julai (Bernama) -- Sebanyak 17 premis makanan termasuk beberapa kedai nasi kandar dan restoran vegetarian di bandar ini, diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Pulau Pinang Rabu, setelah didapati gagal mematuhi peraturan kebersihan.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Lailanor Ibrahim berkata Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan serta Unit Inspektorat dan Perundangan Bahagian Kesihatan Awam jabatan itu, membuat pemantauan selama beberapa hari di premis makanan berkenaan sebelum melakukan serbuan.

"Kesemua premis itu tidak mematuhi elemen penting kebersihan seperti kehadiran serangga vektor dan amalan pengendalian makanan yang kotor," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata sebanyak 32 premis diperiksa iaitu sembilan di Daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Timur (lima), Seberang Perai Selatan (lima), Daerah Timur Laut (enam) dan tujuh di Daerah Barat Daya.

Katanya sehingga Mei tahun ini sebanyak 2,748 premis makanan telah diperiksa dan 35 daripadanya diarah tutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Lailanor berkata operasi itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengusaha makanan mempunyai kesedaran terhadap tanggungjawab menjaga kebersihan dan mengamalkan cara pengendalian makanan yang selamat.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Jabatan Kesihatan negeri akan melancarkan Ops Ramadan di bazar seluruh negeri ini termasuk di rumah-rumah pengendali makanan bagi memastikan kebersihan semasa proses penyediaan makanan.

"Kita turut akan ambil sampel makanan dan pantau cara penyediaannya termasuk di rumah peniaga sekiranya terdapat aduan," katanya menambah operasi di bazar Ramdan akan dilakukan lebih kerap.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment