Sunday 19 May 2013

Jangkitan HIV tunjuk peningkatan mendadak


PUTRAJAYA 19 Mei - Trend jangkitan virus HIV melalui hubungan seksual di negara ini menunjukkan peningkatan mendadak sejak 2011 berbanding jangkitan melalui suntikan dalam kalangan penagih dadah.

Setiausaha Kehormat Majlis AIDS Malaysia (MAM), Hisham Hussein berkata, trend membabitkan hubungan kelamin itu begitu membimbangkan biarpun secara keseluruhannya jumlah statistik jangkitan HIV mengalami penurunan.

"Hubungan seks tidak selamat tanpa menggunakan kondom merupakan salah satu sebabnya, jadi kalau kita tidak banteras jumlah itu akan naik mendadak sehingga tindakan tertentu terpaksa diambil seperti pemberian suntikan percuma kepada penagih sebelum ini.

"Oleh itu, sekarang kita perlu cakap pasal trend jangkitan HIV, jangan cakap pasal jumlah jangkitan. Perlu buat pencegahan dan pendidikan awal untuk beritahu kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sambutan Hari Memperingati AIDS Sedunia di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Insan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Razali Shihabuddin.

Seramai 300 wakil-wakil agensi kerajaan yang terlibat dalam aktiviti pencegahan HIV, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam sekitar Lembah Klang serta Selangor menghadiri program anjuran Jakim, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan kerjasama MAM itu.

Para peserta turut didedahkan dengan kupasan isu mengenai AIDS melibatkan ahli panel yang terdiri daripada Ketua Penolong Pengarah Jakim, Mohd. Zamri Mohd. Shapik; Presiden Kumpulan Sokongan Komuniti Positive Warrior, Mohamad Wahid dan Selebriti Sokongan Riben Merah MAM, Fahrin Ahmad.

Hisham berkata, kurangnya pendidikan berhubung penularan jangkitan HIV melalui hubungan seksual itu di kalangan rakyat negara ini terutamanya melibatkan golongan muda menyumbang kepada risiko jangkitan.

Beliau memberi contoh, mengenai gaya kehidupan golongan muda dalam lingkungan umur 20 sehingga 30 tahun yang kerap bertukar pasangan sebelum mereka mengambil keputusan mengakhiri zaman bujang.

"Tindakan tersebut hanya mendatangkan risiko kepada pasangan masing-masing setelah berkahwin biarpun mereka tidak pernah terlibat dengan aktiviti melanggan pekerja seks sebelum ini.

"Jelas di sini, persepsi mereka berbeza dan pendidikan sangat diperlukan. Pendidikan amat perlu untuk jelaskan bagaimana HIV boleh menular melalui cecair badan melibatkan darah, air mani, air faraj dan susu ibu," katanya.

Pada masa sama, beliau meminta orang ramai agar tidak takut untuk menjalani ujian HIV kerana langkah itu dapat mengurangkan risiko jangkitan daripada terus menular.

"Kalau kita tahu cepat, kita boleh sekat virus HIV daripada merosakkan badan dengan ubat khas, dan ini membolehkan badan jadi kuat.

"Memang penyakit ini tidak boleh disembuhkan tetapi ia boleh dirawat," katanya.

Sementara itu, Razali menasihatkan orang awam tidak meminggirkan pesakit dan komuniti HIV kerana tindakan tersebut hanya menambah bebanan dan tekanan yang dialami mereka.

No comments:

Post a Comment