Tuesday 21 May 2013

Nekad berhenti merokok

ARKIB : 21/05/2013

 
 
Soumitra Sen (kiri) dan Dr. Lokman Hakim Sulaiman (tiga dari kiri) pada pelancaran Program Kempen Berhenti Merokok anjuran Glaxo Smith Kline di Kuala Lumpur, baru-baru ini. 
 
KEMPEN mungkin satu cara dan medium terbaik untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap rokok. Apatah lagi jika alat kempen yang digunakan itu tepat dan betul, jadi tidak mustahil menjadi pencetus kepada seseorang yang hendak berhenti merokok.
Seperti semua sedia maklum merokok memang tidak mendatangkan apa-apa kebaikan malah kemudaratan pada tubuh manusia.
Seperti yang diperkatakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Bahagian Kesihatan Awam, Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman, rokok menyumbang kepada lima juta kematian setiap tahun.
"Bahan nikotin yang ada dalam rokok merupakan substans yang mempengaruhi ketagihan yang tinggi, malangnya untuk memberi amaran kepada orang awam tentang bahaya rokok memang tidak mudah, ia memakan masa yang panjang.
"Ironinya rokok merupakan satu-satunya produk yang 'halal' dijual tapi sebenarnya 'membunuh'.
"Sementara itu syarikat pengeluar rokok pula sanggup menghabiskan berjuta ringgit setiap tahun untuk menambah jumlah perokok sekali gus seolah-olah menegah perokok tegar untuk berhenti," jelasnya pada majlis pelancaran kempen Berikrar Berhenti Secara Tepat di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau berkata, di negara ini penggunaan tembakau dalam kalangan rakyat Malaysia adalah menjangkau 48.8 peratus dalam golongan lelaki manakala 1.9 peratus adalah perokok wanita.
"Walaupun tiada statistik tertentu untuk remaja, tapi diyakini kadar perokok remaja meningkat setiap tahun.
"Menerusi kajian yang dinamakan Global Youth Tobacco Survey (GYTS), remaja berusia 13 hingga 15 tahun dilaporkan merokok dan keputusan pada satu kaji selidik dalam kalangan orang dewasa pula mendapati 43.9 peratus lelaki manakala satu peratus wanita menggunakan tembakau.
"Setakat ini Malaysia mempunyai beberapa pendekatan komprehensif untuk mengawal pengeluaran tembakau.
"Bermula tahun 2004 Kementerian Kesihatan Malaysia telah memulakan kempen Tak Nak yang menumpukan kepada perokok dan juga mereka yang ada di sekeliling perokok," jelas Lokman Hakim.
Baru-baru ini, syarikat Glaxo Smith Kline (GSK) telah melancarkan kempen Berikrar Berhenti Secara Tepat bagi meneruskan misi untuk membantu rakyat Malaysia berhenti merokok.
Kempen bertujuan mengumpul ikrar yang menyokong negara ini menjadi negara bebas rokok dan berkongsi maklumat tentang cara berhenti merokok yang tepat.
Aktiviti yang dilakukan semasa siri jelajah kempen berkenaan yang pertama seumpamanya ini dibentuk bukan sahaja untuk perokok yang benar-benar ingin berhenti, tetapi juga ditujukan kepada rakyat Malaysia yang inginkan persekitaran yang bebas rokok.
Begitu juga untuk ahli farmasi yang akan diundang untuk mendidik pelanggan mereka mengenai penggunaan alat bantuan berhenti merokok secara komprehensif.
Selain itu, kempen ini juga bertujuan membantu perokok merancang cara-cara berhenti merokok, mempelajari cara-cara menjauhi diri dari rokok selama-lamanya menerusi bantuan nasihat, produk terapi penggantian nikotin (NRT), dan Program Sokongan Perilaku (BSP) GSK yang unik.
Kempen seperti ini yang kini sudah berada dalam tahun ketiga, menunjukkan daya usaha GSK yang berpanjangan untuk membantu rakyat Malaysia berhenti merokok, dengan sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Kajian kami menunjukkan bahawa ramai perokok mempunyai keinginan untuk berhenti, tetapi tidak mengambil langkah yang mantap disebabkan kekurangan pengetahuan tentang kaedah pemberhentian merokok atau takut gagal.
"Menerusi kempen ini, kami menggabungkan unsur-unsur penting yang dapat mempertingkatkan kadar kejayaan, seperti memperoleh khidmat nasihat daripada Pengkhidmat Nasihat Pemberhentian Merokok Bertauliah (CSCSP) di farmasi, memperkuatkan sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan.
"Kempen ini juga menggunakan sistem yang teruji seperti rancangan berhenti merokok 3-langkah 12-minggu dengan NiQuitin, produk bantuan berhenti merokok kami yang berasaskan terapi pengganti nikotin," kata Soumitra Sen, Pengarah Pemasaran Kawasan Asia - Kesihatan, GSK.
Menurutnya, ramai perokok pernah terfikir untuk berhenti dan pihaknya ingin mendorong lebih ramai mengambil langkah bukan sahaja untuk cuba berhenti, tetapi untuk berhenti dengan berjaya menggunakan kaedah-kaedah yang tepat.
"Menerusi kempen ini, ikrar yang dikumpulkan akan mendorong mereka, kerana kali ini, mereka tahu bahawa seluruh negara menyokong hasrat mereka ingin bebas dari rokok.
"Melalui roadshow kami dengan kerjasama radio cruiser Era FM dan My FM, kami berharap untuk menerima ribuan ikrar, daripada perokok yang sedang mempertimbangkan niatnya atau merancang untuk berhenti dan daripada orang ramai yang menyokong keinginan untuk bebas merokok daripada bergantung pada rokok," tambah Sen.

--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment