Saturday 4 May 2013

KENALI BATUK KOKOL|RAWATAN UNTUK PENYAKIT BATUK KOKOL


LENDIR yang tidak disedut boleh mengakibatkan kanak-kanak sukar bernafas.

SEMUA orang pernah batuk. Kita batuk kerana sakit tekak, debu, asap rokok, selesema, jangkitan pada saluran pernafasan atau atas banyak lagi sebab. Oleh kerana itu kebanyakan kita sering menganggap batuk adalah sesuatu yang biasa dalam kehidupan seharian.
Namun, ramai yang tidak sedar ada beberapa jenis batuk yang jika tidak disusuli dengan rawatan boleh mengundang maut terutamanya jika ia menyerang kanak-kanak atau bayi.

Salah satu jenis batuk yang wajar menjadi perhatian ibu bapa ialah batuk kokol atau disebut jugawhooping cough.

Berpunca daripada sejenis bakteria bordetella pertussis lazimnya batuk kokol akan bermula dengan sindrom selesema biasa yang disertai batuk. Sebelum ia disahkan sebagai batuk kokol, anak anda akan diserang batuk yang lebih teruk hingga menyebabkan dia sukar bernafas.

Untuk mengesan lagi keadaan itu, anda akan terdengar bunyi whoop ketika anak itu sedang menarik nafas. Keadaan ini berbahaya untuk bayi hingga boleh membawa maut kerana bayi tidak tahu membuang lendiran yang menyekat pernafasan dan menyedut udara.

Kerana itu, kematian disebabkan batuk kokol pernah dicatatkan sebelum ini terutamanya di negara-negara miskin seperti benua Afrika. Malah, jika batuk kokol dalam kalangan bayi dan kanak-kanak tidak diatasi segera sebanyak 20 peratus daripada mereka biasanya mendapat radang paru-paru (pneumonia).

Adakalanya selepas kerap batuk, anak akan muntah. Lebih malang lagi, keadaan itu boleh berlanjutan sehingga lebih dua bulan. Justeru, bagi mengelak anak daripada terkena jangkitan kedua selepas batuk kokol, pastikan anak anda mendapatkan suntikan imun daripada doktor untuk penyakit berjangkit itu.

Tindakan segera

Untuk perhatian ibu bapa juga, jika anda mengesyaki anak anda menghidap batuk kokol, jangan biar dia pergi ke sekolah atau tadika sebelum membawanya berjumpa doktor terlebih dahulu.

Sementara mendapatkan rawatan daripada doktor, ketika anak anda mengalami serangan batuk yang berterusan, dudukkan anak dan pegang anak supaya badannya menjengah sedikit ke depan.

Pastikan mangkuk yang disediakan untuk memudahkan anak muntah itu dekat dengan mulut supaya tidak berlaku jangkitan terhadap kanak-kanak lain.

Selain itu, jika anak anda muntah selepas serangan batuk, beri dia sedikit makanan dan minuman. Ini akan mengembalikan semula tenaganya.

Ini kerana, ketika anak anda sedang menghidap penyakit itu dia akan mudah letih. Selain itu, jangan biarkan anak anda bergerak lebih aktif kerana ia mungkin akan memudaratkan kesihatannya.

Rawatan untuk jangkitan itu adalah dengan memberi antibiotik. Biasanya pegawai perubatan akan menyediakan dos itu mengikut keperluan anak yang sedang dijangkiti.

Namun, diagnosis batuk kokol sukar dilakukan semasa peringkat permulaan jangkitan walaupun hakikatnya ubat yang perlu diambil lebih berkesan jika diambil pada peringkat awal.

Selain itu, jangan beri anak anda sebarang ubat batuk tanpa nasihat doktor.

Selain ubat, doktor mungkin akan melakukan sapuan tekak untuk membuat diagnosis batuk kokol kerana bayi jarang sekali menghasilkan bunyi whoop.

Doktor akan melakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa dan jika penyakit itu masih teruk, pakar perubatan akan mengesyorkan bayi dimasukkan ke hospital untuk mengelak berlakunya penyahhidratan.

 http://www.mummynemo.com/2012/01/kenali-batuk-kokolrawatan-untuk-penyakit-batuk-kokol/#more-15065

No comments:

Post a Comment