Botox® adalah jenama bagi produk toksin botulinum jenis A yang
dihasilkan oleh bakteria Clostridium botulinum. Toksin yang terdapat
dalam produk tersebut telah mengalami proses penulenan. Walaupun toksin
tersebut akan menyebabkan keracunan dalam kuantiti besar, namun
sekiranya diberi dalam kuantiti yang kecil melalui injeksi secara terus
ke otot-otot tertentu dalam badan, Botox® menghalang isyarat kimia
melalui saraf yang menyebabkan otot mengecut. Apabila ini berlaku, otot
tersebut tidak dapat mengecut, kedutan tidak akan terbentuk dan
permukaan kulit nampak lebih licin.
Di Malaysia, Botox® boleh digunakan untuk merawat beberapa jenis masalah kesihatan seperti:-
- Masalah neurologikal yang menyebabkan penegangan otot leher dan bahu yang serius
- Masalah spastik akibat daripada kecederaan pada sistem saraf tunjang seperti strok dan cerebral palsy
- Kedut pada permukaan kulit di antara bulu kening
- Peluh berlebihan
Botox® diberi melalui rawatan injeksi oleh pakar perubatan. Injeksi
tersebut disuntik ke dalam otot yang terlibat untuk merawat masalah
penegangan otot dan kedut. Manakala untuk merawat masalah peluh
berlebihan, ubat tersebut disuntik ke dalam kulit.
Dos, bilangan injeksi, bahagian badan yang akan disuntik, dan kekerapan
rawatan yang diperlukan bergantung kepada keadaan pesakit dan respons
setiap individu selepas menerima rawatan tersebut. Bagi kebanyakan kes,
kesan rawatan akan mula kelihatan dalam tempoh beberapa hari hingga 2
minggu, dan kesan tersebut akan kekal untuk tempoh lebih kurang 3 hingga
6 bulan.
Kesan sampingan yang mungkin berlaku semasa/setelah menerima injeksi
toksin botulinum adalah rasa sakit semasa menelan (dysphagia), kesulitan
bertutur (dysphonia), keletihan, dan kesusahan bernafas. Kesan
sampingan lain yang mungkin, tetapi jarang berlaku adalah keresahan,
sakit belakang, demam, selsema, sakit leher, ruam kulit, dan sebarang
perubahan yang boleh dilihat pada permukaan kulit. Laporan kesan advers
mendapati bahawa sesetengah kesan sampingan akan timbul sehari selepas
menerima rawatan dan ada juga yang hanya timbul beberapa minggu setelah
menerima rawatan.
Sekiranya anda mengalami sebarang kesan sampingan yang serius ataupun
berlanjutan, sila hubungi doktor ataupun ahli farmasi anda dengan
segera.
Pada September 2005, satu kertas kerja telah diterbitkan dalam Journal
of American Academy of Dermatology, FDA melaporkan terdapat 28 kes
kematian berkaitan dengan penggunaan Botox® telah berlaku antara 1989
hingga 2003. Namun, kes-kes kematian tersebut bukanlah disebabkan oleh
penggunaan untuk tujuan kosmetik. Pada 8 Februari 2008, FDA telah
mengumumkan bahawa penggunaan Botox® "ada kaitan dengan beberapa kes
kesan advers termasuklah kegagalan sistem pernafasan dan kematian,
berikutan penerimaan pelbagai rawatan dan dos berlainan". Kes tersebut
berlaku kerana ubat ini boleh menyerap ke bahagian badan lain selain
daripada bahagian otot/kulit yang menerima injeksi. Terdapat juga
beberapa kes kematian yang berhubung kait dengan penggunaan Botox®
palsu.
Botox® mestilah digunakan dengan nasihat doktor sahaja. Produk ini
boleh membahayakan jika disalahgunakan. Pastikan doktor yang
berkelayakan dalam bidang perubatan dermatologi, telinga, hidung dan
tekak (otolaryngology) ataupun surgeri plastik dan doktor tersebut
mempunyai pengalaman dalam memberikan rawatan Botox®.
Doktor yang
bertauliah dapat memberikan nasihat berkenaan dengan prosedur terlibat
dan dapat menentukan sama ada produk tersebut adalah sesuai untuk
kegunaan dan kesihatan anda.
Kini terdapat dua jenis produk toksin botulinum yang telah berdaftar di
Malaysia, iaitu Botox® dan Dysport®, masing-masing mempunyai nombor
pendaftaran MAL19970915A dan MAL20000731A. Kedua-dua jenis produk
tersebut mengandungi toksin botulinum jenis A. Pada Januari 2008, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan
telah menerima laporan kesan advers ubat (ADR) di mana pesakit
mengalami demam dan kesusahan bernafas lima jam selepas menerima injeksi
Dysport®.
Sebelum menggunakan ubat ini, anda perlu memaklumkan kepada doktor atau
ahli farmasi anda mengenai semua ubat dan produk kesihatan herba yand
sedang diambil, terutamanya sesetengah ubat antibiotik, ubat cair darah,
ubat untuk penyakit Alzheimer's, ubat untuk myasthenia gravis dan
quinidine.
Kebelakangan ini, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi telah menjalankan
pemeriksaan secara berkala terhadap premis tertentu untuk memastikan
produk toksin botulinum yang digunakan adalah berdaftar dengan Pihak
Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Malaysia.
Sesiapa yang didapati melanggar
undang-undang boleh didakwa bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan Kawalan
Dadah dan Kosmetik 1984 dengan denda tidak melebihi RM 25,000 atau
penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.
Semakan akhir | : | 20 April 2012 |
Penulis | : | Debbie Sim Sook En |
Penyemak | : | Hairanie bt. Sa'ban |
No comments:
Post a Comment