|
Pengawet
adalah salah satu daripada bahan tambahan yang dimasukkan ke dalam
makanan. Bahan-bahan tambahan lain termasuklah pewarna, perasa, ejen
pengemulsi dan ejen penstabil.
Semua bahan ini digunakan untuk tujuan membuat makanan tahan lama di samping lebih menarik dan enak rasanya.
Perbincangan hari ini ialah mengenai penggunaan dua bahan pengawet asid benzoik serta nitrat dan nitrit kepada manusia.
Tujuan
penggunaan bahan pengawet adalah untuk mengurangkan atau mencegah
pertumbuhan mikroorganisma seperti bakteria, kulat dan ragi.
Pengawet berupaya mencegah pertumbuhan mikroorganisma yang mengakibatkan makanan berbau busuk dan basi.
Namun
demikian penggunaan bahan pengawet ini tidak selalunya selamat terutama
sekali jika digunakan dalam kuantiti yang berlebihan.
Ini
berlaku seperti mana yang dilaporkan baru-baru ini apabila bahan
penggunaan itu digunakan berlebihan dalam cili boh dan sos cili.
Pengawet asid benzoik: Asid
benzoik boleh didapati secara semula jadi, tetapi biasanya disediakan
secara sintetik. Ia digunakan sebagai pengawet dalam beberapa sediaan
makanan yang tidak tahan lama seperti jam, sos dan cili boh.
Ini adalah kerana asid benzoik mempunyai keupayaan untuk bertindak sebagai ejen antibakteria dan antikulat.
Asid
benzoik juga didapati dalam pelbagai bentuk seperti natrium benzoat,
kalium benzoat atau kalsium benzoat, atau bentuk benzoat yang lain
seperti para- hidroksibenzoat.
Garam-garam ini juga digunakan sebagai pengawet dan penggunaannya sepatutnya tercatat pada label dibekas bahan-bahan makanan.
Misalnya, garam natrium benzoat digunakan dalam marjerin, minuman ringan, kicap dan sos daging panggang.
Kerengsaan
Apabila digunakan secara berlebihan, pengawet seperti asid benzoik boleh menyebabkan kerengsaan perut.
Ada juga laporan yang menujukkan bahawa ia boleh menjejaskan sistem saraf.
Bagi
mereka yang mengalami lelah atau pun yang mempunyai penyakit ruam kulit
(seperti jenis urtikaria dan ekzema) bahan pengawet seumpama ini boleh
memburukkan lagi keadaan.
Para-hidroksi benzoat boleh menyebabkan rasa kebas di mulut.
Bagi
seseorang yang alah kepada pewarna-pewarna tiruan yang umumnya disebut
sebagai pewarna jenis azo (seperti tartazin), kemungkinan besar ia akan
mengalami alahan terhadap pengawet kumpulan benzoat.
Begitu juga
bagi mereka yang alah kepada ubat aspirin, memandangkan ketiga-tiga
bahan ini berkaitan dari segi struktur kimianya.
Pengawet nitrat dan nitrit: Satu
lagi jenis pengawet yang boleh menimbulkan masalah adalah daripada
kumpulan nitrat dan nitrit ataupun bentuk garamnya (garam kalium dan
natrium).
Pengawet jenis ini sering kali digunakan untuk hasilan makanan yang diperbuat daripada daging.
Tujuan pengawet ini digunakan adalah untuk mencegah pertumbuhan mikroorganisma seperti bakteria.
Clostridium botulinum boleh menyebabkan keracunan yang dipanggil botulisme yang membawa kematian.
Namun
demikian, pengawet nitrit boleh mengakibatkan beberapa kesan yang tidak
diingini seperti rasa mual, muntah-muntah, pening kepala dan tekanan
darah menjadi rendah.
Di dalam perut terdapat sebahagian kecil
nitrit, ia boleh membentuk nitrosamina yang diketahui menyebabkan kanser
pada haiwan ujian.
Bagi bahan pengawet nitrat pula, kesakitan
pada bahagian perut boleh berlaku di samping muntah-muntah, lemah otot
serta kadar nadi tidak menentu.
Pengawet nitrat boleh bertukar
menjadi nitrit apabila makanan ini basi ataupun oleh bakteria di dalam
perut yang kemudiannya boleh menghasilkan nitosamina.
Awas Semasa Membeli Makanan:
- Jika boleh dapatkan bahan makanan segar. Kerana ia tidak mengandungi bahan tambahan atau pengawet.
- Apabila membeli produk yang diproses, pastikan kandungan bahan tambahan yang terdapat di dalamnya.
- Sedapat mungkin pastikan bahan tersebut adalah dalam sukatan yang dibenarkan.
- Pastikan tarikh luput makanan. Ikut cara penyimpanan makanan yang betul.
|
|
No comments:
Post a Comment