6 November 2012
PETALING JAYA - Kementerian Kesihatan sudah mengambil contoh dari
produk ayam syarikat Ayamas Food Corporation Sdn Bhd (Ayamas) yang
didakwa mengandungi antibiotik Chloramphenicol yang boleh menjejas
kesihatan.
Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pemeriksaan produk itu
sedang dijalankan dan laporan akan dikemukakan oleh Bahagian Keselamatan
Makanan kementerian pada Khamis ini.
Beliau berkata pemeriksaan itu dibuat bagi memastikan produk makanan dari syarikat itu adalah selamat.
"Di samping itu saya nak maklumkan bahawa sebenarnya kementerian sering
memantau keselamatan makanan setiap masa dan pemeriksaan pada produk
Ayamas pernah dibuat beberapa tahun yang lepas," katanya kepada
pemberita selepas merasmikan Ekspo Pelancongan Penjagaan Kesihatan
Antarabangsa Malaysia 2012 di sini hari ini.
Media melaporkan, pada Khamis lepas kerajaan Sarawak mengeluarkan
larangan import produk ayam syarikat terbabit berkuat kuasa serta merta
selepas satu ujian menemui antibiotik Chloramphenicol.
Dalam pada itu, Liow turut menasihati mangsa banjir sekarang supaya
menjaga kebersihan diri serta tempat tinggal bagi mengelak dari penyakit
taun, denggi dan leptospirosis (kencing tikus).- Bernama
--- SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment