Wednesday 7 November 2012

Tiada penyakit bawaan air dikesan di kawasan banjir


7 November 2012
Datuk Seri Liow Tiong Lai
Datuk Seri Liow Tiong Lai 
 
KLANG - Belum ada penyakit bawaan air dikesan di kawasan yang dilanda banjir di Johor, Perak, Selangor dan Melaka setakat ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini.
  
Katanya antara penyakit berjangkit yang mesti diawasi orang ramai pada musim banjir ialah penyakit tangan, kaki dan mulut; demam kepialu; denggi; leptospirosis serta penyakit kulit.
  
Kementerian Kesihatan menugaskan 31 pasukan kesihatan dan 28 pasukan perubatan di kawasan yang dilanda banjir dan setakat ini dilapor merawat lebih 100 pesakit, katanya pada sidang media selepas merasmikan Kompleks Kesihatan Bandar Botanic, Bukit Tinggi, di sini.
  
Beliau juga mengingatkan orang ramai agar tidak bermain dalam air banjir yang mungkin dicemari kuman mengakibatkan penyakit.
  
Mengenai kompleks bernilai RM39 juta tersebut, Liow berkata selain klinik kesihatan dan pergigian, kompleks itu turut menempatkan Pejabat Kesihatan Daerah Klang dan Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan serta Makmal Kawalan Penyakit Bawaan Vektor.

Klinik kesihatan di kompleks ini dilengkapi kemudahan moden serta menawarkan pelbagai perkhidmatan berkaitan termasuk perkhidmatan sokongan kepada 226,989 penduduk di sini, katanya.
  
Pada majlis itu Liow turut melancarkan buku kecil Panduan Makan Secara Sihat Semasa Perayaan Deepavali yang menggariskan tujuh panduan pengambilan makanan semasa perayaan tersebut.
  
Antaranya masyarakat disaran mengehadkan pengambilan makanan berlemak, berminyak atau bergoreng kepada satu hidangan setiap waktu makan selain meminum sekurang-kurangnya enam gelas air sehari.
  
Terdahulu, Liow meninjau keadaan Klinik Kesihatan Pandamaran dan mengumumkan peruntukan RM700,000 bagi menaik taraf klinik itu serta penubuhan sebuah Klinik 1Malaysia di Pandamaran bagi mengurangkan kesesakan pesakit di klinik kesihatan terbabit. - Bernama

--- SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment