Sunday 4 August 2013

Inkontinens selepas melahirkan anak


Soalan
KENAPAKAH saya sering tak dapat mengawal pundi kencing saya? Berapa lamakah inkontinens saya akan berlangsung? Bagaimana saya boleh merawat inkontinens stres? Bagaimanakah saya melakukan senaman lantai pelvis itu? Apa lagi yang saya boleh cuba?
n Siti, Selangor

Jawapan

Apabila anda hamil, badan anda mengeluarkan hormon yang membuatkan tisu dan otot yang menyokong pundi kencing, usus dan uterus (rahim) lebih elastik daripada normal. 

Tisu-tisu dan otot-otot ini merangkumi lantai pelvis anda. Perubahan hormon semasa hamil dan pembesaran berat bayi anda boleh menyebabkan lantai pelvis anda menjadi lemah. 

Lantai pelvis yang lemah mengakibatkan lebih susah bagi anda untuk mengetatkan otot-otot (sfinkter) di bahagian bawah pundi kencing untuk menahan air kencing daripada meleleh keluar. 

Apabila anda sudah melahirkan bayi anda, otot-otot lantai pelvis anda lebih mengendur lagi. Kombinasi hormon kehamilan dan kelahiran yang melibatkan usaha keras boleh menyebabkan masalah kencing tidak terkawal atau inkontinens. 

Lelehan air kencing dengan tidak sengaja yang dialami anda, yang mungkin berlaku apabila anda ketawa, bersin, batuk atau bersenam, diberi nama inkontinens stres. Ini adalah masalah yang sering berlaku di kalangan ibu baru. 

Anda boleh menggunakan tuala sanitari jika anda mengalami kebocoran air kencing sedikit-sedikit pada peringkat awal selepas melahirkan anak.

Anda mempunyai lebih kemungkinan mengalami inkontinens stres jika anda pernah berhadapan masalah mengawal pundi kencing semasa hamil, terutama sekali semasa trimester pertama dan kedua. 

Bagi sesetengah wanita, masalah ini hilang dalam beberapa minggu selepas bersalin. Bagi yang lain, boleh berlanjutan untuk beberapa bulan atau terus menjadi masalah dalam jangka panjang. 

Jika anda masih mengalami kebocoran semasa pemeriksaan postnatal, iaitu lebih kurang enam minggu selepas bayi dilahirkan, beritahu doktor anda. Anda tidak harus mengalami simptom sebegini sebagai kesan normal akibat melahirkan anda. 

Cara untuk mengawal kembali pundi kencing adalah dengan melakukan senaman lantai pelvis secara kerap. Anda perlu melakukan senaman itu sekurang-kurangnya tiga kali sehari dan menjadikannya sebagai sebahagian kehidupan anda untuk selama-lamanya. Jika anda berhenti membuat senaman itu, otot-otot anda akan menjadi lemah dan anda akan mendapati masalah dalam mengawal pundi kencing anda akan kembali. 

Ada ibu yang bimbang mereka akan mencederakan diri jika membuat senaman lantai pelvis terlalu cepat selepas bersalin. Sebenarnya, melakukan senaman ini akan membantu badan anda pulih semula.
Memperkuatkan lantai pelvis anda akan mengurangkan sebahagian daripada bengkak yang disebabkan jahitan dan calar lebam. Lebih cepat anda melakukan senaman pelvis adalah lebih baik.
Jika senaman lantai pelvis tidak membantu, minta doktor anda merujukkan anda kepada pakar urologi. 

Kadangkala, kurang kawalan ke atas aliran kencing anda adalah tanda bahawa anda mempunyai infeksi saluran urin (UTI - urinary tract infection). Jika anda menghidap UTI, anda juga mungkin terasa sakit apabila kencing, mengeluarkan urin yang keruh, berbau busuk dan demam.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment