Sunday 4 August 2013

Elakkan sindrom burnout


PERNAHKAH anda rasa terlalu penat semasa melaksanakan kerja atau tugasan yang sedang dilakukan dan sangat-sangat memerlukan rehat secukupnya? Keadaan ini dipanggil sindrom burnout atau nervous breakdown. Sejenis penyakit yang kerap berlaku kepada golongan pekerja pelbagai bidang sama ada kumpulan sokongan, profesional atau pengurusan tertinggi sektor awam, swasta atau korporat.

Pesakit biasanya telah bekerja dalam tekanan dalam tempoh masa yang panjang. Jangan ambil ringan.
Keadaan ini sama seperti yang dialami oleh seorang anggota tentera jika mereka dikerah berperang terus-menerus tanpa kumpulan pengganti.

Tanda-tanda utama penyakit ini adalah perasaan tidak gembira dan kecewa dengan kerja atau tugasan yang sedang dilakukan.

Tanda-tanda lain, keletihan melampau, kesukaran tidur, sakit kepala, masalah penghadaman, selalu mendapat jangkitan, kesukaran mengingat dan masalah tumpuan. Mereka biasanya akan segera mendapatkan bantuan perubatan. Tetapi malangnya ada kes-kes yang gagal dikesan, malah dilabel pula sebagai berpura-pura sakit (malingering) atau terkena buatan orang.

Sekiranya tidak dirawat, penyakit ini kemudiannya akan menyebabkan masalah lain seperti ponteng kerja, salah faham dan masalah kesihatan akibat komplikasi merokok.

Bagi pegawai di dalam kumpulan pembuat keputusan, mereka gagal membuat keputusan dengan baik semasa mempengerusikan mesyuarat. Di luar tempat kerja, kegagalan ini diterjemahkan dengan keterlanjuran mereka pula dalam aktiviti salah laku seperti penagihan dadah, alkohol dan hubungan sulit di luar perkahwinan.

Ketahui punca permasalahanSebab utama adalah tekanan kerja yang berpanjangan, kekurangan penghargaan dan kekecewaan. Saya kongsikan beberapa kes yang biasa berlaku seperti contoh di bawah:

Sindrom burnout boleh berlaku apabila;
l. Seorang pekerja mengalami kekecewaan demi kekecewaan sehingga dia merasakan bahawa pegawai atasan tidak melayannya secara adil dalam membuat keputusan terhadap dirinya. Contoh paling mudah adalah gagal mendapat kenaikan pangkat atau gaji mengikut apa yang selayaknya seseorang pekerja fikir dia patut dapat. 

Benar kenaikan pangkat memang autoriti pegawai atasan tetapi alasan munasabah perlulah dijelaskan supaya ia tidak dianggap sebagai penganiayaan pula oleh pekerja bawahan.

2. Seorang pekerja yang merasakan kerja yang dibuat sekarang tidak memberi sebarang perubahan positif kepada kehidupan. Contohnya seorang pekerja super senior yang berada dalam tangga gaji maksimum atau gaji mati yang mana dia tidak lagi akan menerima sebarang kenaikan gaji tahunan. 

3. Seorang pekerja yang mengalami kekangan semasa bertugas, menghadapi masalah berterusan yang gagal diselesaikan pihak atasan dan perubahan polisi dalam organisasi.
Ini akan menyebabkan mereka merasakan betapa banyak sekalipun tenaga yang telah dan akan dicurahkan tidak akan membawa sebarang manfaat kepada diri dan organisasi.
Ini memaksa mereka membuat tindakan drastik dengan meletak jawatan. Kumpulan ini biasanya amat berpengalaman dan akan merugikan organisasi.

4.Seorang pekerja yang telah berubah keutamaan hidup. Pekerja juga seorang manusia biasa. Mereka juga mengalami dugaan-dugaan dalam kehidupan seperti kematian, perceraian atau sakit.
Kerap kali perkara sebegini akan menyebabkan seseorang menilai semula keutamaan hidup dan jika gagal akan menyebabkan burnout.

5.Seorang pekerja yang berada pada peringkat plateau seperti telah berada pada tahap jawatan yang tertinggi atau tidak lagi mempunyai peluang kenaikan pangkat.
Keadaan ini menyebabkan kebosanan dan akhirnya akan mengubah keutamaan hidup.

Cuti sakit dan cuti rehatSindrom burnout mengambil masa untuk sembuh. Cara paling baik adalah menghantar mereka untuk penilaian pakar dan membenarkan mereka mendapatkan cuti sakit (MC) atau cuti rehat secukupnya.

Seorang pegawai atasan yang baik perlu mengetahui punca permasalahan sebelum membuat sebarang keputusan. 

Sebagai contoh, bagi pekerja yang berada pada peringkat plateau misalnya, mereka boleh dicadangkan untuk menyambung pengajian, menjadi penulis buku/polisi atau mengajar generasi baru.
Pekerja yang rasa teraniaya pula perlu mencari penyelesaian terhadap konflik yang dialami. Anda boleh bincangkan isu tersebut secara terbuka atau memaafkan sahaja individu terlibat.
Elakkan masalah ini daripada memakan diri dan uruskanlah tekanan dengan sistematik.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment