|
Kita sering kali mendengar berlakunya keracunan makanan. Malah kematian berpunca dari keracunan makanan juga dilaporkan.
Walaupun
secara sedar atau tidak, ramai di antara kita biasa mengalami keracunan
makanan sekurang-kurangnya sekali setahun. Dari Januari hingga Ogos
tahun ini tiga belas kes keracunan makanan melibatkan 801 orang termasuk
satu kematian telah dilaporkan. Daripada jumlah tersebut, 601 mangsa
terdiri dari pelajar sekolah.
Daripada segi perundangan kita
mempunyai Akta Makanan 1983 yang bertujuan melindungi orang ramai
terhadap bahayanya penipuan dalam penyediaan, penjualan dan penggunaan
makanan. Tetapi jarang kita dengar mereka didakwa kerana kesalahan
tersebut.
Kebiasaannya, keracunan makanan berlaku dalam tempoh 48
jam setelah memakan makanan yang tercemar. Tanda-tandanya termasuklah
rasa mual, muntah, cirit- birit, pening-pening serta gangguan perut.
Kebanyakan
kes-kes keracunan makanan disebabkan oleh bakteria, mikro-organisma,
virus, racun atau toksin dan bahan-bahan kimia. Kesan bahaya akibat
keracunan makanan adalah kehilangan air dalam badan. Sekiranya tubuh
kekurangan air dan terlalu serius, ia boleh membawa maut. Ada juga yang
lebih serius, hingga melibatkan keracunan sistem saraf.
Antara
punca keracunan makanan ialah kemunculan bakteria dalam makanan, akibat
proses penyediaan makanan yang kotor, makanan tidak dimasak dengan
sempurna dan makanan yang terdedah kepada persekitaran suhu 30 darjah
Celsius.
Berikut adalah makanan yang sering dipengaruhi bakteria;
- Susu atau makanan bersusu seperti keju dan krim
- Masakan berlemak seperti nasi lemak, nasi beriyani, mi dan sebagainya
- Roti dan kuih-muih
- Makanan laut seperti kerang
- Daging- lembu, ayam, ikan
- Makanan dalam tin yang telah kemik atau yang kembung pada bahagaian atasnya atau berkarat.
Keadaan
sekitar anda dan pengendalian makanan yang tidak teliti juga
menggalakkan bakteria mencemari makanan. Beberapa contoh keadaan yang
sering berlaku, termasuklah;
- Makanan mentah
- Daging, ayam dan ikan tidak disimpan di tempat dingin
- Makanan beku yang dibiarkan `cair' pada suasana yang panas untuk terlalu lama
- Makanan dalam tin terdedah kepada suhu bilik selepas dibuka
- Makanan basah dan berair yang didedahkan pada tempat panas
- Buah-buahan serta sayur-sayuran yang tidak dicuci dengan baik
- Makanan tercemar semasa dimasak atau dibungkus
- Makanan tidak disimpan segera
Tanda-tanda khusus keracunan makanan bergantung kepada jenis bakteria atau organismanya seperti:
Keracunan oleh bakteria
- Campylobacterosis
disebabkan oleh bakteria campylobacter jenis ini yang terdapat dalam
ayam mentah, daging dan susu tidak pasteur. Tanda-tanda keracunan
bermula 2-5 hari selepas makan. Selain dari tanda-tanda umum, pesakit
akan mengalami demam dan najis mengandungi darah.
Toksin
- Cirit-birit yang dialami oleh pengembara disebabkan oleh bakteria Escherichia coli atau E. coli yang boleh menghasilkan toksin.Penyakit ini berlaku kerana penyediaan makanan dan air tidak bersih.
- Cereus
disebabkan oleh bakteria bacillus cereus.Tanda-tanda umum dirasai di
antara 1-18 jam selepas makan. Bagaimanapun, keracunan jenis ini tidak
melebihi 24 jam.
- Cholera
disebabkan oleh bakteria vibro cholera yang terdapat dalam ikan,
kerang, kupang dan jenis-jenis siput yang ditangkap di kawasan air yang
tercemar. Tanda-tanda bermula antara 1-3 hari selepas makan dan boleh
bermula dengan cirit-birit ringan dan seterusnya maut akibat badan
kehilangan air hasil daripada cirit-birit yang teruk.
- Gastroenteritis
disebabkan oleh Yersinia enterocolitica, sejenis bakteria yang terdapat
dalam daging, air, sayuran mentah dan susu tidak pasteur.Tanda-tanda
bermula 2-5 hari selepas makan. Selain daripada tanda umum, demam dan
kelesuan mungkin berlaku sama seperti demam selsema. Jika tidak dirawat
pesakit boleh menjadi lebih teruk lagi.
- Listeriosis
kerana bakteria Listeria monocytogenes. Walaupun jarang berlaku ia
boleh menyebabkan maut. Tanda penyakit termasuklah kesejukan, keracunan
darah dan kelahiran tidak cukup bulan bagi wanita mengandung. Dalam kes
yang parah, penyakit ini boleh menyebabkan kerosakan otak dan saraf
tunjang.
- Shigeliosis atau Disenteri disebabkan
oleh bakteria Shigella sp., tanda- tanda bermula dalam masa 1-7 jam
selepas makan. Selain daripada tanda-tanda umum, darah, nanah atau
lendir boleh terdapat dalam najis.
- Salmonelosis. Keracunannya disebabkan oleh bakteria Salmonella yang didapati dalam ayam. Tanda-tanda umum dirasakan selepas 24-48 jam.
- Staphylococcus
aureus sejenis bakteria yang sukar dihapuskan walaupun pada suhu
tinggi. Keracunan jenis ini sering berlaku. Tandanya dirasai dalam
jangkamasa 1-8 jam selepas makan, serta berlarutan sehingga 24-48 jam.
Tanda-tandanya agak umum.
Keracunan berpunca dari virus
- Hepatitis
A disebabkan oleh virus yang terdapat dalam kerang dan siput- siput
yang ditangkap di dalam air yang dicemari oleh air kumbahan dan sayuran
mentah yang tidak dibersihkan dengan sempurna.Tanda-tanda bermula dari
2-6 minggu selepas makan dan pesakit akan mengalami demam,lemah badan,
tidak berselera dan jaundis. Bagi kes yang parah, kerosakan hati boleh
berlaku dan membawa maut.
- Norwalkvirus
disebabkan oleh virus Norwalk yang didapati dalam kerang dan
siput-siput yang ditangkap di kawasan yang dicemari najis manusia.
Keracunan berpunca akibat memakan siput-siput mentah dan dimasak tidak
sempurna.
Keracunan berpunca dari protozoa
- Giardiasis
disebabkan oleh protozoa Giardia lamblia terdapat dalam saluran usus
dan najis manusia. Air kumbahan yang digunakan sebagai baja pada sayur
dan penyedia makanan tidak membersihkan tangan adalah punca berlaku
keracunan ini.
- Amebiasis
dikenali juga sebagai disenteri amebik dan disebabkan oleh Entamoeba
histolytica. Puncanya adalah sama seperti keracunan protozoa Giardia
lamblia.Tanda-tanda keracunan ialah kawasan badan di sekitar hati dan
usus besar menjadi lembut, cirit-birit, rasa berdebar, kehilangan berat
dan lemah badan.
Punca-punca lain keracunan Keracunan
makanan juga boleh disebabkan oleh cendawan beracun atau buah dan
sayuran yang dicemari dengan racun serangga yang tinggi kepekatannya.
Toksin daripada kulat seperti aflatoksin yang terdapat pada bijirin juga salah satu punca keracunan makanan.
Cara terbaik mengelak keracunan JENIS makanan yang mudah dicemari ketika disimpan, disediakan, dimasak dan dihidangkan ialah daging, ayam dan telur.
Berikut ialah beberapa cara yang betul dalam pengendalian makanan dan keselamatan di dapur.
- Peti
sejuk mestilah kurang dari 4 darjah celsius atau 0 darjah celsius untuk
peti dinginbeku. Perlu diingatkan bahawa suhu sejuk tidak membunuh
bakteria, tetapi menghalang daripada membiak. Makanan yang disimpan
mestilah dalam bekas yang ditutup atau dibungkus.
- Basuh
tangan dengan teliti sebelum atau selepas mengendalikan makanan bagi
mengelakkan pencemaran bakteria salmonella atau organisme lain.
- Peralatan dapur seperti alatpemotong perlu dibasuh dengan air panas sebelum penggunaan terutamanya alas pemotong daging.
- Alas
pemotong yang terbaik ialah jenis arkrilik kerana mudah dibasuh dan
tidak meninggalkan alur yang membolehkan bakteria hidup.
- Sebaik-baiknya gunakan alas pemotong yang berasingan bagi daging dan sayur- sayuran.
- Jangan sekali-kali memakan makanan berkulat.
- Elakkan
dari menggunakan telur retak yang berkemungkinan mangandungi bakteria
Salmonella. Bagaimanapun telur yang sempurna juga berkemungkinan
mengandungi salmonella.
- Kerana
salmonella mudah dihapuskan pada suhu tinggi, masak dengan sempurna
merupakann cara yang terbaik. Elakkan makan telur mentah dan separuh
masak.
- Mengasingkan
makanan yang telah dimasak dengan makanan yang belum dimasak atau yang
mentah. Ini kerana makanan yang telah dimasak lebih mudah tercemar
berbanding makanan belum masak.
- Pilih
makanan yang telah dimasak untuk menjaga keselamatan. Banyak makanan
seperti buah dan sayur agak selamat dalam keadaan semulajadinya.
- Makan makanan yang dimasak serta merta. Apabila makanan telah sejuk, bakteria lebih mudah mencemarinya.
- Simpan makanan yang telah dimasak dengan cermat pada keadaan yang sesuai. Simpan di atas pemanas atau kawasan dingin.
- Panaskan
semula makanan dengan teliti. Ini adalah cara yang paling baik untuk
menjauhi daripada kuman yang mungkin muncul semasa dalam simpanan.
Sesiapa
yang ingin mendapatkan naskah percuma buletin dari Pusat Racun Negara,
hantarkan sampul surat (6"x9") bersetem 40 sen dan beralamat sendiri
kepada Pengarah, Pusat Racun Negara, USM, 11800 Minden P.Pinang. |
|
No comments:
Post a Comment