Tuesday 25 June 2013

Mengurangkan risiko terkucil

Soalan

SAYA berasa agak pelik doktor. Saya baru sahaja disahkan hamil dalam sebulan yang lepas. Mengapakah saya perlu kerap membuang air kecil ? Apakah cara untuk mengurangkan kekerapan berulang ke tandas? Adakah simptom ini normal? Mohon penjelasan.
n J, Kedah

Jawapan
Kerap membuang air kecil adalah ciri-ciri utama kehamilan. Ini biasa berlaku terutamanya dalam trismeter pertama dan ketiga. Malah, ia merupakan salah satu daripada tanda-tanda awal kehamilan yang biasa. Ia disebabkan daripada perubahan hormon yang berlaku dalam badan anda. 

Apabila bayi dalam kandungan anda semakin membesar, badan anda akan mengeluarkan lebih banyak air kencing, tetapi pundi kencing anda pula semakin mengecut. Oleh itu, walaupun pundi kencing anda kosong, tekanan yang diterimanya akan membuatkan anda merasa seperti ia penuh. Anda akan mengalami perkara ini terutamanya pada hujung kehamilan apabila kepala bayi sudah turun dan bersedia untuk lahir. Ia akan menekan bahagian pundi kencing anda.

Anda juga mungkin mempunyai masalah mengosongkan pundi kencing, menyebabkan anda terpaksa pergi ke tandas berulang kali. 

Cara untuk mengurangkan kekerapan berulang ke tandas
Jangan cuba kurangkan jumlah air yang anda minum. Anda sepatutnya minum enam hingga lapan gelas minuman sehari, yang mana kebanyakannya sepatutnya adalah air. Pengurangan cecair boleh menyebabkan dehidrasi, dan anda perlu minum dengan banyak untuk membantu pengaliran nutrien kepada bayi anda. 

Anda boleh cuba minum hanya sedikit dalam masa satu atau dua jam sebelum tidur untuk mengurangkan kekerapan berulang ke tandas pada waktu malam. 

Jika ini tidak berhasil, anda mungkin terpaksa bertahan sahaja untuk beberapa bulan lagi hingga bayi anda lahir. Anda boleh menganggapnya sebagai satu cara melatih diri untuk menghadapi cabaran selepas bayi anda lahir di mana anda mungkin tidak dapat tidur malam. 

Kerap membuang air mungkin menunjukkan apa-apa masalah.
Bincang dengan doktor anda jika anda rasa sakit apabila membuang air atau apabila anda rasa hendak terkencing tetapi hanya beberapa titik sahaja yang keluar.

Anda mungkin menghidap jangkitan saluran kencing (Urinary Tract Infection-UTI). Minum banyak air untuk mencairkan (mendilusikan) air kencing dan jumpalah doktor secepat mungkin. Anda mungkin memerlukan antibiotik untuk mengubati UTI. Jika tidak diubati, UTI boleh menyebabkan jangkitan pada buah pinggang, yang mana boleh meningkatkan risiko anda sakit untuk bersalin terlalu awal. 

Masalah ini akan berkurangan tidak lama selepas bayi anda lahir. Dalam tempoh beberapa hari selepas melahirkan, anda akan mengeluarkan lebih banyak air kencing, dan lebih kerap. Ketika ini, badan anda sedang membuang segala cecair tambahan yang terkandung dalam sistem darah anda semasa hamil. Selepas beberapa hari, keperluan untuk membuang air akan kembali seperti sebelum anda hamil.

Bersama profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain
Penyelaras Unit Perkembangan Kesihatan Wanita (Pakar Obstetrik & Ginekologi)
Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan
Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan.
Sebarang soalan dan pertanyaan berkaitan sakit puan, boleh emel ke adawiyah.koh@utusan.com.my

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment