Friday 12 April 2013

Kesan saintifik dioksin kepada manusia

APAKAH dioksin dan mengapa orang begitu mengambil berat mengenainya? Nama saintifiknya ialah 2,3,7,8-tetrachlorodibenzo-p-dioxin atau diringkaskan menjadi TCDD.

Dioksin ialah bahan kimia pencemar, iaitu hasil sampingan produk berasaskan klorin ketika proses pembuatan pelbagai bahan kimia. Bahan ini didapati begitu aktif dalam kitaran biologi, walau pun dalam kepekatan yang sangat rendah.

Malah, Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EOA) di Amerika Syarikat (AS) menetapkan kandungan dioksin dalam air minuman tidak boleh melebihi 13 bahagian setiap quintillion. Satu quintillion adalah angka satu dalam gandaan 18 sifar - atau disebut satu kuasa bilion billion!

Untuk memudahkan kefahaman kita, Dioksin merupakan komponen racun serangga dikenali sebagai Agent Orange yang digunakan oleh tentera AS semasa perang Vietnam.
Apakah kesan buruk dioksin kepada kesihatan manusia?

Kajian kesan buruk dioksin ke atas kesihatan telah dilakukan oleh pelbagai agensi.
Penyelidikan juga meliputi kesan kesihatan yang timbul daripada bencana kilang kimia di Seveso, Itali pada 1976.

Kesan serta-merta bencana berkenaan ialah kematian banyak haiwan-haiwan bersaiz kecil serta kulit mengelupas di kalangan kanak-kanak, yang dikenali sebagai chloracne .

NIEHS terus memantau sekumpulan penduduk yang terdedah secara langsung yang berkemungkinan menerima kesan dioksin - sama ada sekarang atau dalam jangka masa yang lebih panjang.

Kesan jangka panjang pendedahan dioksin kepada sistem keimunan manusia, pembiakan dan pembangunan, serta organ-organ dan sistem lain - di peringkat molekul dan selular - kekal menjadi tumpuan dalam penyelidikan yang berterusan.

Apakah kesan dioksin terhadap sistem keimunan manusia?
Salah satu kesan yang cukup ketara bahan kimia dioksin tehadap haiwan makmal ialah ia mengurangkan fungsi sistem keimunan sehingga mengurangkan kerintangan perumah terhadap jangkitan dan kanser.

Mekanisme dan hubung kait antara gangguan terhadap sistem keimunan perumah dan hilang upaya keimunan didapati sangat rumit.

Untuk itu, NIEHS telah membangunkan sistem in vitro (kutur tisu) iaitu kaedah pematangan sel B, yang telah menunjukan halangan TCDD terhadap fungsi limfosit, Ah-receptor dan sebagainya. Keupayaan untuk merencat sel B juga sedang dikaji, serta perkaitannya dengan hormon tiroid.

Apa pula hasil kajian kesan dioksin terhadap kelahiran?
Tiada kesan terhadap manusia, walau ada kesan terhadap tikus makmal. Bagaimanapun, kajian mendapati dioksin memberi kesan kepada pengeluaran hormon perkembangan manusia.

Dioksin memberi kesan kepada sistem pembiakan lelaki dengan menjelaskan fungsi androgenik ekoran berkurangnya penghasilan hormon testosterone - hormon yang sangat penting begi perkembangan seseorang lelaki.

Kajian juga sedang dilakukan terhadap kesan dioksin kepada wanita.
Kesan-kesan lain dioksin terhadap manusia juga sedang dikaji, misalnya kesan bahan kimia itu terhadap limpa dan kulit, peranannya sebagai penyebab kanser (carcinogenicity), dan kepada gen (genotoxicity).

1 comment:

  1. Mungkin juga ada dan tisu atau lemak haiwan...susu...minyak masuk dll

    ReplyDelete