Friday 12 April 2013

FAQ: Apa Yang Anda Perlu Tahu Berkenaan Aflatoksin?

Ditulis Oleh  Zamanhuri Umordin Wednesday, 13 July 2011 15:47
1. Apa itu Aflatoksin?

Aflatoksin adalah kumpulan mikotoksin yang terbentuk secara semulajadi daripada kulat yang tertentu sahaja terutama sekali Aspergillus flavus dan Aspergillus parasiticus.

2. Bagaimana makanan boleh dicemari Aflatoksin?

Keadaan yang boleh menyebabkan makanan dicemari Aflatoksin:
  • Makanan yang terdedah kepada kelembapan persekitaran yang tinggi dalam tempoh masa yang panjang.
  • Makanan yang disimpan dalam keadaan berlonggok atau disimpan dalam kuantiti yang banyak yang menghalang pengaliran udara yang baik.
3. Apakah kumpulan makanan yang biasa dicemari Aflatoksin?
  •  Kekacang dan hasilannya seperti kacang tanah, mentega kacang, badam dan sebagainya.
  • Bijirin dan hasilannya seperti jagung, beras, gandum, sekoi, minyak kacang soya, minyak jagung, minyak biji matahari dan sebagainya.
  • Rempah-ratus seperti cili, lada hitam, kunyit, halia, ketumbar dan sebagainya.
4. Apa kesan Aflatoksin terhadap kesihatan?

Pendedahan terhadap Aflatoksin pada paras yang tinggi dan berpanjangan berkemungkinan boleh menyebabkan barah hati dan keracunan makanan (Aflatoksikosis).

5. Siapakah yang paling berisiko terdedah kepada Aflatoksin?

Pengguna yang berisiko tinggi  terdedah kepada keracunan Aflatoksin adalah pengguna yang paling kerap mengambil makanan seperti kekacang dan hasilannya, bijirin dan hasilannya dan rempah-ratus. Ia juga lebih berisiko kepada seseorang yang berpenyakit hepar atau mempunyai jangkitan virus Hepatitis B.

6. Berapakah paras Aflatoksin yang dibenarkan dalam makanan?Berdasarkan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, kadar maksimum yang dibenarkan adalah:
  • Kacang tanah untuk diproses - 15 ug/kg cemaran Aflatoksin
  • Kacang tanah sedia dimakan - 5 ug/kg cemaran Aflatoksin
  • Susu - 0.5 ug/kg cemaran Aflatoksin
  • Lain-lain makanan - 5 ug/kg cemaran Aflatoksin atau mikotoksin lain
7. Mengapa Peraturan hanya ditetapkan untuk makanan tertentu sahaja?

Peraturan yang ditetapkan lebih difokuskan kepada produk makanan yang berisiko tinggi dan kerap dicemari Aflatoksin. Makanan tersebut juga biasanya diambil dalam kuantiti yang banyak.

8. Apa yang perlu dilakukan oleh pengguna?

  •  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat, makan makanan yang seimbang dan diet yang sihat termasuklah buah-buahan dan sayur-sayuran. Kekacang dan bijirin juga boleh dimakan dalam jumlah yang sederhana.
  • Simpan makanan di tempat yang kering dan kedap udara mengikut arahan penyimpanan yang betul seperti dinyatakan pada label.
  • Sebelum membeli bijirin atau kekacang, pilihlah dengan berhati-hati.
  • Elakkan mengambil makanan yang menunjukkan tanda-tanda kerosakan seperti ditumbuhi kulat, perubahan ari segi fizikal dan sebagainya.
9. Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak Kerajaan bagi menangani masalah ini?
  •  KKM sentiasa membuat pengawasan terhadap kumpulan makanan yang berisiko tinggi mengandungi Aflatoksin supaya ianya di bawah paras yang dibenarkan dan selamat.
  • KKM akan terus menjalankan kajian berkenaan Aflatoksin di dalam makanan yang terlibat. KKM juga sentiasa peka terhadap kajian-kajian yang dijalankan oleh pihak antarabangsa seperti CODEX, FAO, WHO USFDA dan sebagainya.
  • KKM akan memaklumkan kepada pengguna sebarang maklumat terkini berkenaan Aflatoksin.
Last modified on Monday, 25 July 2011 14:08

 http://fsq.moh.gov.my/v3/soalan-lazim/soalan-lazim-umum/item/270-faq-apa-yang-anda-perlu-tahu-berkenaan-aflatoksin/270-faq-apa-yang-anda-perlu-tahu-berkenaan-aflatoksin??tmpl=component&print=1

No comments:

Post a Comment