AHMAD pulang ke rumah dari sekolah dalam keadaan pucat dan lemah.
Sambil memegang perut yang sakit, dia memberitahu ibunya bahawa telah
muntah di sekolah dan cirit-birit sebanyak tiga kali. Ibu membawanya
berjumpa doktor dan Ahmad disahkan mengalami keracunan makanan.
Keracunan makanan berlaku apabila keradangan perut atau usus yang disebabkan oleh pengambilan makanan tercemar.
Selalunya tanda-tanda keracunan makanan akan muncul dalam masa dua hingga dua puluh empat jam selepas makan.
Bergantung kepada tahap keracunan, mereka yang mengalaminya mungkin
juga akan mengalami demam dan seram sejuk, najis berdarah serta
penyahhidratan.
Walaupun keracunan makanan kerap berlaku dan biasanya merupakan
sejenis penyakit yang ringan, kadangkala ia boleh membawa maut,
terutamanya di kalangan kanak-kanak.
Bakteria berjangkit
punca keracunan
Keracunan makanan biasanya berpunca daripada agen toksik atau agen
berjangkit. Agen-agen toksik adalah seperti racun perosak pada
buah-buahan dan sayur-sayuran, makanan eksotik yang tidak disediakan
dengan betul (seperti siput dan ikan alu-alu), atau cendawan beracun.
Bagaimanapun, kebanyakan kes keracunan makanan di negara ini disebabkan makanan yang telah dicemari oleh agen-agen berjangkit.
Ini bermakna, makanan tersebut mengandungi virus, bakteria dan
parasit berbahaya. Bakteria-bakteria ini membebaskan racun yang boleh
menyebabkan keradangan pada lapisan usus.
E. coli, salmonella, shigella dan staphylococci merupakan
bakteria-bakteria berjangkit umum yang mengakibatkan keracunan makanan.
Amalan kebersihan
elak makanan tercemar
Amalan kebersihan yang kurang baik atau penyediaan makanan yang tidak betul selalunya punca pencemaran makanan.
Pengendali makanan sepatutnya mengamalkan kebersihan kendiri dan
memastikan kawasan penyediaan makanan sentiasa bersih. Pencemaran
makanan juga boleh berlaku jika makanan tidak disimpan dengan betul atau
pada suhu yang tidak sesuai.
--- UTUSAN MALAYSIA
No comments:
Post a Comment