Friday 28 September 2012

83 murid keracunan makanan

Wartawan Sinar Harian
28 September 2012
Ahmad
Ahmad masih keletihan akibat keracunan selepas minum susu kotak di sekolah, semalam.
 
MUAR – Seramai 83  murid Sekolah Rendah Kebangsaan Parit Setongkat, Jalan Salleh di sini mengalami cirit-birit dan muntah dipercayai akibat keracunan makanan dalam kejadian pagi semalam.

Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 10.30 pagi, iaitu kira-kira setengah jam selepas sekumpulan murid berkenaan diberikan minuman susu kotak secara percuma pada waktu rehat dan kemudiannya mengadu sakit perut dan mengalami muntah-muntah.

Difahamkan daripada kira-kira 950 murid di sekolah berkenaan yang diberikan susu tersebut, hanya 83 murid yang melibatkan murid darjah satu hingga darjah enam mengalami keracunan makanan.

Sekumpulan kakitangan Pusat Kesihatan daerah dikejarkan ke sekolah berkenaan untuk merawat murid-murid yang terlibat dengan  memberikan suntikan dan ubat kepada mereka yang ditempatkan dalam bilik Kemahiran Hidup.

Tinjauan Sinar Harian ke sekolah berkenaan mendapati kantin sekolah sedang dibersihkan dan kerja-kerja membuang bekalan susu  giat dijalankan.

Namun pihak sekolah enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu.

Dalam pada itu, Sinar Harian turut berusaha mendapatkan kenyataan dari Pusat Kesihatan Muar, namun  gagal kerana menyatakan kes tersebut masih dalam siasatan dan belum disahkan sama ada benar-benar disebabkan oleh susu kotak berkenaan ataupun sebaliknya.

Salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 10, berkata, selepas setengah jam minum susu itu, tiba-tiba tekaknya berasa loya dan disertai sakit perut yang memulas.

Menurutnya, ketika itu dia berada dalam kelas untuk mengikuti sesi pembelajaran seterusnya.  Pada mulanya dia menyangka sakit biasa tetapi sakit itu  menyerang kali kedua hingga memaksanya berlari ke tandas.

“Dalam tandas saya muntah sebanyak tiga kali dan cirit birit dua kali. Saya berasa sangat lemah, namun tetap  menggagahkan diri masuk ke dalam kelas.

“Di dalam kelas beberapa rakan lain turut mengalami masalah yang sama sehingga memaksa guru membawa kami ke dalam bilik lain untuk rawatan,” katanya.

Katanya lagi, selepas diberikan suntikan dan ubat oleh petugas kesihatan, keadaannya beransur pulih dan dibenarkan pulang ke rumah.

Ibu kepada Ahmad yang enggan dikenali berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan anaknya mengalami keracunan makanan selepas  minum susu sebaik pulang daripada sekolah.

“Namun saya sangat bersyukur kerana dia selamat dan keracunan yang dialaminya tidak serius,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai ketika dihubungi berkata,  pihak sekolah perlu untuk memastikan semua bekalan makanan dan minuman di sekolah sentiasa bersih serta segar.

“Masalah keracunan makanan ini mesti diselesaikan segera kerana ia melibatkan kanak-kanak.

“Kanak-kanak memerlukan persekitaran sekolah dan suasana pembelajaran yang selesa untuk supaya tumpuan terhadap pelajaran tidak terjejas,” katanya

--- SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment