Thursday 13 September 2012

Seramai 516 perokok dikompaun semasa Ops Balik Kampung




13 September 2012
PUTRAJAYA - Seramai 516 perokok dikompaun kerana merokok dalam kenderaan awam atau di hentian pengangkutan awam sepanjang operasi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 peringkat kebangsaan pada 26 hingga 30 Ogos lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata dalam "Ops Balik Kampung" itu, nilai kompaun yang dikeluarkan adalah sebanyak RM129,000 berdasarkan kompaun minimum RM250 tiap seorang.

"Sejumlah 1,641 kenderaan awam serta 335 hentian pengangkutan awam di periksa di seluruh negara semasa operasi itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi itu memberi fokus kepada penguatkuasaan peraturan larangan merokok untuk melindungi para penumpang kenderaan awam daripada bahaya asap rokok basi (second hand smoke) selain memberi kesedaran kepada perokok.

Katanya kementerian akan meneruskan operasi penguatkuasaan itu secara berkala bagi melindungi orang ramai daripada bahaya asap rokok basi.

Selain itu Dr Hasan berkata enam kompaun turut dikeluarkan terhadap tuan punya kenderaan awam kerana gagal mempamerkan tanda "Larangan Merokok" dalam kenderaan atau tanda yang dipamerkan tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan dengan nilai keseluruhan kompaun RM1,500 atau RM250 setiap satu.

"Para perokok dinasihati berhenti merokok dan prihatin terhadap gangguan serta bahaya asap rokok basi serta tidak merokok di tempat yang dilarang," katanya.

Mereka yang ingin berhenti merokok boleh mendapatkan perkhidmatan di klinik-klinik kesihatan atau hospital kerajaan berdekatan atau menghubungi no infoline 03-8883 4400 untuk mendapatkan maklumat berkaitan. - Bernama

--- SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment