Friday 28 March 2014

Peranan Aktif Combi Digiatkan, Kekang Penularan Denggi Di Daerah Petaling



PUTRAJAYA, 28 Mac (Bernama) -- Kementerian Kesihatan akan menggiatkan peranan aktif projek Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) di daerah Petaling dalam usaha mengekang penularan wabak denggi di kawasan itu.

Menterinya Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata langkah itu diambil berikutan daerah Petaling melaporkan kes denggi tertinggi iaitu antara 25 hingga 30 peratus kes di seluruh negara dan 60 peratus untuk kes di Selangor.

"Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kementerian di kawasan terbabit namun kurangnya penglibatan masyarakat dalam usaha tersebut menyebabkan kesan yang diberikan tidak begitu baik dan kita melihat adanya keperluan mengaktifkan semula peranan Combi ini," katanya dalam sidang media di kementeriannya di sini Jumaat.

Combi adalah pendekatan menggunakan komunikasi bagi mengubah tingkah laku manusia yang diperkenalkan di Malaysia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sejak 2001.

Katanya sehingga 31 Disember tahun lepas, sebanyak 2,668 lokaliti Combi ditubuhkan di seluruh negara, namun hanya 60 peratus daripadanya yang masih aktif.

Katanya di kawasan Petaling sahaja, daripada 42 lokaliti Combi yang ditubuhkan hanya 20 yang masih aktif dan kementerian amat memerlukan sokongan masyarakat setempat untuk melaksanakan aktiviti pencegahan denggi.

"Jika kita berjaya di Petaling, model yang sama akan turut diguna pakai di seluruh kawasan di Malaysia," katanya sambil menambah projek Combi ini berjaya dijalankan di Taman Paroi Jaya, Seremban, Negeri Sembilan.

"Kawasan tersebut yang dahulunya kawasan panas pada lima, enam tahun dahulu, namun sejak dua tahun berturut-turut tidak ada satu kes (denggi) pun di kawasan tersebut, " katanya.

Sementara itu, Subramaniam berkata trend kes denggi terus menunjukkan penurunan pada minggu ke-12 (bagi tempoh 16 hingga 22 Mac) di mana sejumlah 1,666 kes dilaporkan, menurun 12 peratus berbanding minggu sebelumnya iaitu 1,902 kes.

Sebanyak lima kematian dilaporkan pada minggu lepas iaitu satu di Perak, dua di Selangor dan masing-masing satu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dan Melaka.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment