Tuesday 3 December 2013

10,000 langkah jauhi diabetes


Sebahagian petugas SJMC menunjukkan denyutan jantung yang sihat sempena kempen Cabaran 10,000 Langkah, di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini. 
 
Di negara ini, jumlah kes penyakit diabetes telah meningkat sebanyak hampir 230 peratus dalam tempoh 25 tahun.

Pada tahun 2011 sahaja ia meningkat 20.8 peratus dengan andaian 2.5 juta rakyat di negara ini yang berumur 30 tahun ke atas menghidap diabetes.

Justeru, sempena Hari Diabetes Sedunia baru-baru ini, Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) mengadakan Cabaran 10,000 Langkah iaitu kempen berjalan sebanyak 10,000 langkah dalam satu hari.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Vasuhi Murugiah berkata, matlamat kempen adalah menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup sihat melalui aktiviti yang menyeronokkan sebagai cara untuk menjauhi diabetes. 

"Diabetes bukan sahaja melibatkan cara pemakanan atau diet, tetapi gaya hidup yang sihat juga memainkan peranan yang besar dalam mencegah penyakit ini.

"Satu penyelidikan telah menunjukkan bahawa dengan berjalan 10,000 langkah setiap hari, kualiti kesihatan dapat ditingkatkan kerana berjalan dapat membina stamina, membakar kalori berlebihan di dalam badan dan juga menjamin kesihatan jantung," katanya.

Dr. Vasuhi berkata, amalan hidup yang sihat harus dijadikan rutin kerana dapat membantu mencegah penambahan berat badan dan mengurangkan risiko pelbagai masalah kesihatan lain yang disebabkan oleh gaya hidup yang tidak sihat. 

Berjalan katanya, adalah perkara asas yang boleh dilakukan di mana-mana sahaja. Pergerakan serta kelajuan setiap individu dapat disesuaikan mengikut keselesaan masing-masing. 

Dalam pada itu Pengurus Perkhidmatan Diabetes SJMC, Yong Lai Mee, berkata, digalakkan pesakit diabetes jenis 2 untuk bersenam selama 30 minit setiap hari. 

"Diabates sering dikaitkan dengan diet yang tidak sihat, tetapi kita sering mengabaikan kepentingan senaman sebagai salah satu cara untuk mencegah daripada pelbagai penyakit. 

"Kami menjalankan Cabaran 10,000 Langkah ini untuk menunjukkan bagaimana senaman boleh dipraktikkan dalam rutin mereka.

"Cabarannya sangat mudah. Hanya menggunakan aplikasi Accupedo, ia sudah memadai untuk mereka menyertai cabaran ini dan berpeluang memenangi hadiah menarik," tambah Lai Mee.
Sementara itu permulaan yang menarik bagi kempen Cabaran 10, 000 Langkah ini adalah menerusi tarian flash mob yang telah dipersembahkan pada hari pelancaran kempen tersebut.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment