Friday 16 August 2013

Alahan kulit pada anak kecil

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

Pemilihan produk bayi berasaskan organik seperti yang diperkenalkan oleh Buds Organic mungkin boleh membantu. 
 
MUNGKIN ia bukan disengajakan tapi itulah hakikatnya. Tanpa disedari ibu bapa sebenarnya mendedahkan kulit anak-anak kecil kepada bahan kimia menerusi bahan pencuci yang digunakan di rumah sehari-hari.

Niat murni untuk anak mendapat persekitaran yang bersih dan selamat mungkin bertukar sebaliknya apabila salah memilih bahan pencuci atau apa saja yang mengandungi bahan kimia berbahaya.
Lebih membimbangkan apabila pengabaian ini menyumbang kepada epidemik kepada anak-anak anda sendiri.

Demikian yang dikongsi oleh Pakar Kanak-kanak atau kardiologi pediatrik dari Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL), Dr. Azam Mohd Nor di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut beliau, epidemik tersebut terhasil daripada kesan alahan yang merupakan tindak balas negatif pada sistem ketahanan badan.

"Organ utama yang mudah mendapat kesan alahan ialah kulit, mata dan sistem pernafasan.
"Kombinasi penyakit genetik dan faktor persekitaran menambah risiko alahan pada anak-anak yang mengalaminya," jelas beliau pada majlis pelancaran rangkaian produk pembersihan kediaman Buds Organic baru-baru ini.

Antara bahan kimia yang terdedah pada anak-anak kecil di rumah ialah seperti penyegar udara, peluntur, syampu karpet, pencuci pakaian, lantai, tandas longkang dan perabot.

Tanpa disedari pemilihan sabun mandi, sabun basuh pakaian, pelembut fabrik, minyak wangi, krim wajah, krim pelindung matahari dan sebagainya, juga mengandungi bahan kimia yang boleh memudaratkan kulit bayi dan kanak-kanak. 

Ejen lain adalah seperti bahan yang terkandung dalam cat, penyembur racun perosak dan asap rokok.
"Kulit merupakan organ terbesar pada tubuh manusia. Ia bertindak sebagai pelindung utama sebarang ancaman dari luar tubuh. Pada kulit juga mengandungi sel istimewa untuk sistem ketahanan badan manusia. 

"Apabila kulit menghadapi masalah alahan atau iritasi ia mengurangi fungsi sebagai penghalang ancaman seperti kuman dari luar. 

"Masalah lain yang mungkin timbul adalah seperti penyakit kulit seperti ekzema, kerengsaan saluran pernafasan dan mata, alahan, keracunan

"Kesan kesihatan yang tidak diketahui seperti kanser, penyakit mental dan disfungsi endokrin," jelas Dr. Azam.

Menurut beliau, ibu bapa perlu prihatin tentang pembacaan label yang terdapat pada botol ejen pencuci. Antara yang perlu dijauhi ialah yang mengandungi phthalates.

"Ibu bapa juga boleh melakukan pilihan bijak seperti memilih produk yang bebas haruman atau berasaskan organik yang tidak semestinya boleh mencegah penyakit kulit tapi diyakini lembut pada kulit," katanya.

No comments:

Post a Comment