Sunday 2 June 2013

890 Penghidap Penyakit Tibi Dikesan Di Pahang Tahun Lepas


TEMERLOH, 2 Jun (Bernama) -- Seramai 890 kes penghidap tibi dikesan di Pahang sepanjang tahun lepas berbanding 788 kes pada 2011 manakala jumlah kematian akibat penyakit itu pula berlaku pada kadar 7.1 bagi setiap 100,000 penduduk.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang Dr Norhizan Ismail berkata seramai 112 penghidap penyakit itu meninggal dunia tahun lepas berpunca daripada batuk berpanjangan dan pelbagai faktor termasuk penularan jangkitan kuman HIV.

Beliau berkata penghidap HIV berisiko tinggi menghidap tibi selain punca diabates, buah pinggang dan penyakit berjangkit.

"Tibi perlu dikawal kerana boleh merebak melalui ahli keluarga dan orang sekitar jika penyakit itu tidak dikawal dari awal," katanya ketika merasmikan Hari Tibi Sedunia peringkat Negeri Pahang di Felda Lakum semalam.

Dr Norhizan berkata berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) seramai 1.4 juta orang meninggal dunia akibat penyakit tibi pada tahun 2011 daripada 8.7 juta kes baharu tibi dikesan pada tahun yang sama.

Katanya sejak tahun 2000, Pahang berjaya mencapai kadar pengesanan yang disarankan WHO iaitu sebanyak 70 peratus tetapi saranan itu ditingkatkan kepada 85 peratus pada tahun 2011 dan tahun ini meningkat kepada 95 peratus.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment